TITIK MULA SEBUAH CERITERA

Play
Pause
  • "TITIK MULA SEBUAH CERITERA".

DI SEBALIK keanggunan dan kelembutan wanita pertama Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, tersembunyi kisah perjalanan hidup yang penuh inspirasi, dedikasi dan kecemerlangan. Seorang wanita yang telah melalui pelbagai liku, dugaan, cabaran dan fasa kehidupan — daripada seorang pelajar cemerlang, atlet berbakat, pramugari berpengalaman hingga menjadi isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Kisahnya adalah refleksi ketabahan, kecekalan dan kesungguhan dalam mencapai kejayaan. Toh Puan Fauziah adalah contoh wanita serba boleh yang berjaya dalam pelbagai aspek kehidupan.

Dari dunia pendidikan ke penerbangan, dari sukan ke kerja amal, beliau membuktikan bahawa keazaman dan kesungguhan mampu membawa seseorang ke puncak kejayaan.

Dilahirkan pada 21 November 1980 di Kuala Lumpur, sebuah kota metropolitan yang penuh dengan ranjau dan cabaran. Kehidupan awal Toh Puan Fauziah tidak seindah kanak-kanak lain, walaupun lahir dalam sebuah keluarga yang serba sederhana, beliau tidak menjadikannya halangan untuk berjaya kerana sentiasa menekankan kepentingan pendidikan dan disiplin.

Bahkan sejak kecil, beliau telah menunjukkan sifat kepimpinan dan juang yang tinggi serta semangat tidak mudah mengalah. Toh Puan Fauziah memulakan perjalanan akademiknya di Sekolah Kebangsaan Jalan Hang Tuah (2) dari tahun 1987 hingga 1990, kemudian berpindah ke Sekolah Kebangsaan Klang Gate dari tahun 1991 hingga 1992.

Ketika di bangku sekolah rendah, beliau sering terlibat dalam pelbagai aktiviti kokurikulum, membuktikan dirinya sebagai pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik tetapi juga dalam bidang sukan sehingga dinobatkan sebagai olahragawati sekolah.

Pada tahun 1993, beliau meneruskan pengajian peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati, kemudian bertukar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melati dari tahun 1994 hingga 1997.

Di sini, beliau menghabiskan pembelajaran peringkat menengah sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dalam masa yang sama menyerlahkan bakatnya dalam bidang sukan terutamanya olahraga, bola jaring, badminton dan bola tampar.

Toh Puan Fauziah bukan sekadar pelajar biasa. Sejak awal, beliau sudah menunjukkan kebolehan dalam bidang akademik dan kokurikulum. Penghargaan dan anugerah yang diterimanya sepanjang zaman persekolahan menjadi bukti kepada kecerdasan serta semangatnya dalam mengejar ilmu.

Beliau bukan hanya menonjol dalam beberapa mata pelajaran, malah turut aktif dalam sukan sehingga sering mewakili sekolahnya dalam pelbagai kejohanan. Kejayaan ini bukan datang dengan mudah tetapi hasil daripada disiplin dan kerja keras yang telah dipupuk sejak kecil.

Bahkan, beliau pernah dinobatkan sebagai Tokoh Pelajar 1995/1996 serta Atlet Terbaik SMK Taman Melati, satu pencapaian yang membuktikan keunggulannya dalam akademik dan bidang sukan.

Toh Puan Fauziah seterusnya melanjutkan pelajaran ke Stamford College Kuala Lumpur pada 1998 hingga 1999, sebuah langkah yang memperkukuhkan lagi asas akademiknya sebelum melangkah ke dunia kerjaya.

Minat mendalam terhadap dunia pendidikan membawa Toh Puan Fauziah menjadi guru sementara di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Pandan Jaya pada tahun 1998 dan di SMK Taman Melati pada tahun 2000. Sebagai seorang guru, Fauziah bukan sahaja mengajar dengan penuh dedikasi tetapi juga menjadi mentor kepada ramai pelajar yang mengagumi semangat dan kegigihannya.

Namun, jiwanya yang menginginkan cabaran baharu akhirnya membawa beliau ke dunia penerbangan. Pada Januari 2000, Toh Puan Fauziah memulakan kariernya sebagai pramugari di syarikat penerbangan terkemuka negara, Malaysia Airlines, sebuah kerjaya yang menjadi titik tolak dalam kehidupannya.

Selama lebih dua dekad sehingga Oktober 2022, beliau berkhidmat dengan penuh dedikasi, bukan sahaja sebagai kru kabin tetapi juga sebagai pemimpin yang memainkan peranan penting dalam organisasi sukan syarikat tersebut. Kesungguhan dan profesionalismenya membolehkannya meraih pelbagai pencapaian, menjadikannya figura yang disegani dalam industri penerbangan.

Dunia penerbangan adalah cabang kehidupan yang membawa pengalaman luas dan membuka pintu kepada keindahan dunia luar.

Toh Puan Fauziah telah menempuh perjalanan yang penuh warna-warni sebagai seorang pramugari selama lebih dua dekad.

Sebagai seorang pramugari, beliau telah merentasi pelbagai benua, mengenali bermacam budaya dan berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat. Peranan ini mengasah kemahirannya dalam komunikasi, pengurusan krisis serta membentuk keperibadian yang matang, pelajaran berharga dan cabaran yang membentuk dirinya menjadi seorang individu lebih kuat dan tabah.

Takdir telah membawa Toh Puan Fauziah ke satu lembaran baharu dalam kehidupannya apabila beliau bertemu jodoh dengan negarawan terbilang yang kini memikul tanggungjawab sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Mendirikan rumah tangga pada akhir tahun 2022, peralihan daripada kehidupan sebagai seorang wanita bekerjaya kepada peranan sebagai isteri kepada pemimpin tertinggi, bukanlah perkara yang mudah.

Namun, beliau menerima tanggungjawab ini dengan penuh tanggungjawab, kecekalan dan kebijaksanaan. Sebagai isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, peranannya bukan sekadar menemani suami dalam acara rasmi tetapi turut memainkan peranan penting dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.

Keperibadian beliau yang rendah hati dan mudah didekati menjadikan beliau seorang figura yang dihormati oleh masyarakat. Toh Puan Fauziah bukan sekadar simbol keanggunan, tetapi dengan pengalaman luas yang dimiliki, beliau menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk menggapai impian walaupun menghadapi 1,001 halangan serta dugaan.

Daripada seorang pelajar cemerlang, atlet berbakat, pramugari yang berdedikasi, hingga menjadi wanita yang memainkan peranan penting dalam institusi kenegaraan, Toh Puan Fauziah membuktikan bahawa kejayaan memerlukan usaha, disiplin dan ketabahan.

Setiap langkah yang diambil dalam kehidupannya bukan sekadar perjalanan peribadi, tetapi juga pengajaran hidup yang boleh dijadikan pedoman dan inspirasi.

Kehidupan ini ibarat sebuah penerbangan — ada cabaran di udara, ada keindahan di awan, tetapi yang paling penting adalah bagaimana kita mendarat dengan penuh makna dan membawa kebaikan kepada dunia di sekeliling kita.

Kini, dalam peranan sebagai isteri kepada Yang diPertua Negeri Sarawak, beliau terus mengukir sejarahnya sendiri. Dari awan biru ke Astana, ia bukan sekadar sebuah kisah kehidupan tetapi legasi yang akan dikenang oleh generasi akan datang. Itulah Toh Puan Fauziah – seorang wanita yang telah menjelajahi dunia, merentasi pelbagai cabaran, dan kini berdiri sebagai seorang insan yang memberi inspirasi kepada semua.

Kisahnya menjadi inspirasi kepada semua untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam setiap bidang yang diceburi.

Dengan keberanian, dedikasi dan keikhlasan membantu masyarakat, beliau telah membuktikan bahawa kejayaan bukan hanya diukur melalui pencapaian peribadi tetapi juga sejauh mana seseorang itu mampu memberi manfaat kepada orang lain.

Malah, semangat kemanusiaan yang tinggi menjadikan beliau seorang individu dihormati bukan sahaja dalam bidang profesional tetapi juga dalam masyarakat pelbagai latar belakang.

Hidup ini umpama arus sungai yang deras, mengalir tanpa menoleh ke belakang, membawa bersama pahit dan manis perjalanan sebuah kehidupan. Begitu jugalah kisah hidup insan bernama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, seorang wanita yang telah diasuh dengan kecekalan, dibesarkan dengan pengorbanan yang mengajar erti kehidupan sebenar.

Di dalam sebuah rumah di Jalan Kenanga, Kuala Lumpur, yang menempatkan beberapa blok bertingkat tinggi dan padat dengan penduduk, Toh Puan Fauziah tinggal bersama-sama empat adik-beradik yang lain. Mereka hidup bersama-sama ibu tersayang, Mahni Haji Aman, seorang wanita yang gagah menempuh segala rintangan dan ranjau kehidupan.

Manakala ayahnya sibuk dengan urusan pekerjaan dan menanggung komitmen lain yang menyebabkan beliau akur dengan hakikat kehidupan yang penuh rahsia dan ketentuan Illahi.

Justeru ketika anak-anak masih kecil, ibunya sering tampil sebagai tulang belakang yang memainkan peranan penting membesarkan mereka dengan penuh perhatian, disiplin dan kasih sayang.

Dengan hanya berbekalkan semangat dan kudrat yang ada, ibu berjuang mencari rezeki tanpa kenal erti penat lelah apatah lagi mengeluh dengan kekurangan yang dimilik.

“Saya hidup bersama ibu saya, seorang wanita yang sangat tabah dalam mengharungi ranjau kehidupan. Ketika kami lima adik-beradik masih kecil, ibu tulang belakang bagi kami semua.

“Ibu saya selalu nasihat, selagi ada tulang empat kerat dan sihat tubuh badan, kita jangan meminta. Meminta sahaja tanpa bersusah payah dan tanpa melakukan apa-apa adalah satu kelakuan yang tidak baik.

“Hidup perlu bermaruah dan jaga maruah itu. Pesanan ini ibu sering memberi pesanan yang sama kepada saya dan adik-beradik yang lain, berulang-ulang kali. Sampai terpahat rapi dalam ingatan saya,” ceritanya.

Pada usia kanak-kanak yang masih hingusan, Toh Puan Fauziah sudah mengenali jerih perih kehidupan.

Awal pagi sebelum kaki kecilnya melangkah ke sekolah, beliau akan ke pasar untuk membeli bahan-bahan bagi perniagaan kecil, nasi lemak kukus berlauk untuk menyara keluarga.

Lauk-pauk yang dimasak oleh ibu dengan penuh kasih sayang bukan sekadar hidangan, tetapi juga sumber rezeki buat mereka sekeluarga. Sambal ikan bilis, sambal sotong, sambal udang, telur mata, telur rebus, kangkung goreng belacan, rendang daging, rendang ayam, sambal kerang dan sambal paru, semuanya ialah hasil air tangan ibu yang menjadi penyambung sumber rezeki sekeluarga yang hidup di tengah-tengah kota metropolitan.

“Seawal usia tujuh tahun, saya sudah diajar untuk ke pasar pagi membeli bahan-bahan untuk berniaga nasi lemak kukus berlauk. Kami berniaga selama enam hari seminggu dan tutup cuti pada hari Isnin.

“Setelah pulang dari pasar, saya akan ke sekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Jalan Hang Tuah (2). Habis sesi persekolahan, pada sebelah petang saya akan mengikut ibu berniaga nasi lemak kukus berlauk di Jalan Gurney. Setiap kali saya ikut berniaga, saya akan diberi upah RM5. Begitulah kehidupan awal saya,” katanya.

Panas terik dan letih tidak menjadi halangan kerana setiap kali menerima upah, beliau segera menyimpan wang itu di Bank Simpanan Nasional sebelum ke sekolah.

Pada ketika itu, masih lagi menggunakan buku simpanan bank dan setiap kali mencatat jumlah yang bertambah, ada perasaan bangga dalam hatinya, kerana beliau tahu nilai sebuah usaha dan jerih-perih mencari rezeki.

Toh Puan Fauziah bukan sulung tetapi sebagai anak kedua dan anak perempuan pertama, beliau menggalas tanggungjawab yang besar. Seawal usia 10 tahun, beliau sudah pandai memasak untuk adik-adiknya. Ketika rakan-rakan sebaya masih bermain dengan anak patung, beliau sudah terbiasa dengan periuk dan sudip.

MEMIKUL TANGGUNGJAWAB SEORANG KAKAK

Tanggungjawab itu beliau terima dengan hati yang terbuka kerana beliau tahu, ibu keluar bekerja mencari sesuap nasi. Jadi, jika bukan beliau yang memikul tanggungjawab itu, siapa lagi?

“Disebabkan merupakan kakak sulung, jadi sayalah menyiapkan apa yang patut untuk adik-beradik kerana ibu keluar bekerja dari awal pagi. Bahkan saya mula memasak untuk adik-beradik sejak berusia 10 tahun.

“Saya sedia memikul tanggungjawab itu kerana berasa bahawa saya perempuan yang paling besar di dalam rumah kami ketika itu,” ujarnya.

Begitulah kehidupan Toh Puan Fauziah, tidak seindah kisah dongeng.

Tiada masa untuk bersantai seperti kanak-kanak lain. Namun, dalam kesibukan dan kepayahan hidup, beliau menemui pelangi dalam dunia sukan.

“Kehidupan saya semasa di bangku sekolah rendah tidak seindah mana. Cuma saya memang minat bersukan dan merupakan olahragawati sekolah pada tahun 1992,” katanya.

Di Sekolah Kebangsaan Klang Gate ketika berusia 12 tahun, Toh Puan Fauziah berdiri megah sebagai olahragawati sekolah.

Di trek larian mahupun gelanggang sukan, beliau berasa bebas, seolah-olah segala beban yang dipikul hilang seketika. Setiap langkah larian, setiap titisan peluh adalah bukti bahawa beliau juga mampu berjaya walaupun kehidupan penuh ranjau.

Langit di Kampung Setia Jaya, Taman Melati Kuala Lumpur sering menjadi saksi langkah kecil seorang remaja yang meniti kehidupan dengan penuh tekad. Menginjak usia belasan tahun, namun beban tanggungjawab yang dipikul terasa lebih besar daripada tubuhnya sendiri.

Sewaktu remaja lain sibuk mengejar masa muda dengan gelak ketawa, beliau meniti hidup dengan langkah yang lebih berat.

Kehidupan remaja Toh Puan Fauziah tidak seperti rakan sebaya yang lain, riang berlari di padang permainan atau leka menonton drama di kaca televisyen. Hidupnya adalah tentang perjuangan, satu demi satu cabaran yang harus ditempuh demi kehidupan lebih baik.

Dunia remajanya dipenuhi oleh dua perkara — pelajaran dan pekerjaan. Bermula di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawat dan perpindahan ke sekolah itu membuka lembaran baharu dalam hidupnya.

Namun, tidak banyak yang berubah dalam perjuangannya. Beliau bukan sahaja seorang pelajar, malah seorang pekerja sambilan yang gigih di Club Century Paradise, sebuah kelab keluarga di Melawati yang menjadi saksi bisu akan kesungguhannya.

“Sejak berusia 14 tahun, saya sudah mula bekerja sambilan. Pada masa itu saya diterima bekerja kerana kelebihan fizikal saya yang tinggi walaupun masih di bawah umur,” ceritanya bukan kerana dipaksa, tetapi kerana keinginan untuk berdikari dan memastikan masa depan lebih terjamin.

Di Club Century Paradise itu, beliau diberi kepercayaan menggalas pelbagai tugas. Toh Puan Fauziah tidak pernah memilih, beliau dengan ikhlas menjalankan tugas yang diberikan. Apa sahaja tugasan yang datang, beliau laksanakan sebaik mungkin tanpa mengeluh, tanpa menyerah. Dalam dunia kecilnya ketika itu, istilah rehat hampir tidak wujud.

“Saya bekerja di restoran, membantu jika ada majlis atau jamuan dan pernah menjadi operator, penyambut tetamu dan pembantu taska,” ujarnya.

Rutin hariannya sentiasa padat. Seawal pagi, beliau ke sekolah, tengah hari dihabiskan di perpustakaan menyiapkan kerja sekolah, petang sibuk di padang berlatih sebagai atlet kebanggaan sekolah.

Rutin hariannya sentiasa padat. Seawal pagi, beliau ke sekolah, tengah hari dihabiskan di perpustakaan menyiapkan kerja sekolah, petang sibuk di padang berlatih sebagai atlet kebanggaan sekolah.

Toh Puan Fauziah bukan sekadar pelajar biasa, beliau adalah wakil sekolah dan daerah dalam acara olahraga seperti larian dan lompat tinggi, malah pernah membawa nama negeri dalam acara tersebut.

Antaranya pernah mewakili pasukan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan (MSSWP) Zon Keramat dalam acara lompat tinggi wanita 16 tahun pada tahun 1996 dan memperoleh tempat pertama. Di samping mendapat tempat kedua, dalam acara lompat tinggi bagi Kejohanan Olahraga MSSWP pada tahun yang sama.

Namun, di sebalik kehebatan sebagai atlet, terdapat sisi lain yang lebih mengagumkan. Dalam cahaya suram senja, kakinya melangkah laju, membawa impian dan harapan. Usai berlatih sukan setiap petang, dengan langkah penuh tekad beliau berjalan kaki sejauh hampir empat kilometer ke tempat kerja. Perjalanan itu memakan masa 45 minit, tetapi tidak pernah terasa terlalu jauh kerana dalam hatinya, ia perjuangan hidup untuk masa depan yang lebih baik.

“Bekerja sehingga lewat malam sudah menjadi kebiasaan. Jika sesi latihan sukan tamat awal, saya akan masuk kerja lebih awal tetapi jika latihan berlarutan, saya akan mula bertugas sekitar jam 7 malam. “Jadi saya tidak seperti remaja lain kerana jika ada sahaja peluang dan waktu terluang, saya manfaatkan sebaik mungkin,” ujarnya. Setiap hari, langkah Toh Puan Fauziah berakhir di rumah sekitar jam 12 tengah malam, setelah menghabiskan syif kerja yang membayarnya RM4 sejam.

Gaji diterima setiap hari Rabu dan jumlahnya sekitar RM200 hingga RM250 seminggu, nilai yang amat besar bagi seorang remaja ketika itu.

“Namun, wang yang diperoleh tersebut bukan untuk berseronok. Setiap sen digunakan untuk membeli buku rujukan, bahan bacaan tambahan, alat tulis dan lebih penting lagi, bagi membayar yuran peperiksaan SPM.

“Pada waktu itu, setiap mata pelajaran yang diambil perlu dibayar dan saya tidak mahu menjadi beban kepada keluarga,” imbasnya sambil bangga dengan kejayaannya yang tetap bersinar di sekolah, walaupun melalui segala kepayahan dan penat lelah setiap hari.

Dalam kehidupannya yang padat dengan tanggungjawab, ada satu perkara yang tidak pernah menjadi keutamaannya, iaitu televisyen. Pada Toh Puan Fauziah, menonton TV bukan satu keperluan. Hidupnya sudah cukup sibuk dengan pembelajaran, kerja dan latihan sukan.

Hari ini, apabila anak-anaknya bertanya tentang pelakon-pelakon terkenal, beliau hanya mampu tersenyum. Dunia hiburan itu seakan terpisah daripada hidupnya kerana sejak usia muda lagi, beliau telah memilih perjalanan yang berbeza dan lebih sukar.

“Saya tidak menonton televisyen kerana pada saya ia bukanlah satu keperluan. Itu sebab apabila anak-anak saya di rumah — Sharifah Fariah, Sharifah Nong-Jasima dan Sharifah Nuril Barieyah bertanya, bonda kenal tidak pelakon itu? “Saya jawab — bonda tidak tahu pelakon itu, pelakon ini. Semua bonda tidak tahu,” ceritanya.

Bagi Toh Puan Fauziah, realiti hidupnya sendiri sudah cukup mencabar. Hidupnya dihabiskan untuk sesuatu yang lebih besar — perjuangan, pengorbanan dan impian. Setiap langkahnya adalah cerminan semangat yang tidak mudah dipatahkan. Beliau membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil bagi mereka yang bersungguh-sungguh.

Daripada seorang gadis muda yang berjalan dalam gelap malam untuk mencari rezeki, beliau kini berdiri sebagai simbol kekuatan dan ketabahan. Kisahnya bukan sekadar sebuah cerita tetapi satu inspirasi tentang bagaimana keberanian, ketekunan dan keikhlasan dapat membentuk masa depan yang lebih baik.

Merenung kembali zaman persekolahan Toh Puan Fauziah di SMK Taman Melati, Setapak, Kuala Lumpur, jelas bahawa ciri-ciri kepimpinan dan daya juang beliau telah terpahat kukuh dalam perjalanan hidupnya.

Beliau bukan sekadar pelajar biasa tetapi seorang yang aktif, berdaya saing dan berprinsip tinggi dalam setiap lapangan yang diceburi.

Menerusi surat akuan testimonial bagi tempoh persekolahan dari 1994 hingga 1997, Toh Puan Fauziah terbukti bukan sahaja pelajar cemerlang tetapi juga pemimpin yang disegani dengan pelibatan dalam pelbagai aktiviti kokurikulum.

Sebagai bendahari dan ketua zon dalam lembaga pengawas, beliau diberi kepercayaan untuk memastikan disiplin dan ketertiban sekolah sentiasa terjaga. Tugas ini bukan sesuatu yang mudah, namun beliau melaksanakannya dengan penuh dedikasi dan kecekapan.

Dalam arena sukan, beliau terus mengorak langkah sebagai atlet cemerlang dengan semangat tinggi. Memegang jawatan naib pengerusi bagi pasukan olahraga, bola jaring dan rumah sukan serta setiausaha untuk pasukan badminton dan kelab rekreasi serta kecergasan.

Tidak cukup dengan itu, beliau turut diberi mandat sebagai pengerusi kelab perdagangan, mencerminkan kebolehan luar biasa dalam pengurusan dan kepimpinan organisasi pelajar.

Kecemerlangan ini membuktikan beliau seorang yang berkarisma. Kepercayaan yang diberikan oleh guru-guru dan rakan-rakan sebaya mencerminkan keupayaan beliau sebagai pemimpin sejati—berdisiplin, bijak menyusun strategi serta berjiwa besar dalam membawa perubahan.

Dalam bidang akademik, Matematik menjadi subjek kegemarannya, namun begitu beliau telah dianugerahkan sebagai pelajar terbaik dalam mata pelajaran Sains tulen ketika Tingkatan 4 dan membuktikan kebijaksanaannya yang tidak terbatas.

Kejayaan Toh Puan Fauziah bukan hanya di dalam bilik darjah tetapi juga di padang sukan. Nama beliau terpahat dalam sejarah SMK Taman Melati sebagai olahragawati pada tahun 1994, 1995 dan 1996.

Tahun 1997 menjadi lebih bermakna apabila beliau bukan sahaja merangkul gelaran olahragawati sekali lagi tetapi dianugerahkan tokoh pelajar sekolah.

Kejayaan itu bukan datang bergolek, ia adalah hasil kerja keras, disiplin dan pengorbanan tanpa henti.

Penilaian sahsiah Toh Puan Fauziah juga mencerminkan keperibadiannya yang tinggi. Dalam aspek pergaulan, keyakinan diri, dan kerjasama, beliau mendapat penilaian cemerlang (A), menggambarkan kebolehannya menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi.

Namun, kehidupan bukan hanya tentang pencapaian. Kesungguhan dan ketekunan seseorang juga diukur melalui cabaran yang dihadapi dan cara mereka mengatasinya. Dalam penilaian daya usaha dan keazaman, beliau dinilai sebagai baik (B), membuktikannya seorang yang tidak mudah mengalah dan sentiasa mencari jalan untuk memperbaiki diri.

Sifat kepimpinan yang mula berkembang di bangku sekolah ini menjadi asas kepada kejayaan Toh Puan Fauziah. Keupayaan untuk menggalas tanggungjawab dan menerajui pasukan merupakan kelebihan yang telah mula dibentuk sejak usia muda.