KISAH YANG TIDAK TERUNGKAP

Play
Pause
  • "KISAH YANG TIDAK TERUNGKAP".

MASYARAKAT MENGENALI TOH PUAN SEBAGAI ISTERI YANG DI-PERTUA NEGERI SARAWAK. NAMUN TIDAK RAMAI YANG TAHU SISI LAIN TENTANG MINAT DAN HOBI, JADI BOLEH KONGSIKAN SEDIKIT?

Sejak kecil sukan ibarat nadi saya. Saya suka kepada segala jenis sukan, memang ia merupakan minat utama saya.

Jika ada perlawanan bola sepak, mata saya pasti tertumpu pada bahagian pertahanan, menganalisis bagaimana mereka mengawal permainan dengan disiplin dan strategi.

Saya mengagumi pemain bola sepak terkemuka dunia yang bermain di posisi pertahanan, Kepler Laveran de Lima Ferreira atau lebih dikenali sebagai Pepe, terutama ketika beliau bermain untuk pasukan Real Madrid.

Saya sendiri bermain sebagai pertahanan dalam bola jaring, iaitu di posisi Goalkeeper (GK) dan Goal Defense (GD), jadi saya sering mempelajari teknik pertahanan daripada gaya permainan Pepe.

Lebih menarik, saya cukup bertuah apabila berpeluang bertemu empat mata dengan beliau ketika bertugas dalam penerbangan pesawat Airbus A380 MAS, yang ditempah khas kelab bola sepak gergasi dunia itu bagi menghadiri perlawanan International Champions Cup (ICC) pada Julai 2015, laluan ke Shanghai, China dan Melbourne, Australia.

Penerbangan tersebut berlepas dari Madrid, Sepanyol dan singgah sebentar di Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke Melbourne. Selepas tamat perlawanan ICC di Australia, MAS sekali lagi menyediakan perkhidmatan penerbangan khas untuk membawa pasukan Real Madrid dari Melbourne ke Shanghai bagi meneruskan siri perlawanan mereka.

BILAKAH TOH PUAN MULA BERJINAK-JINAK DENGAN SUKAN BERPASUKAN SEPERTI BOLA JARING?

Sewaktu sekolah rendah, saya lebih cenderung kepada sukan individu seperti lompat tinggi dan olahraga. Pada waktu itu saya percaya bahawa dalam sukan seperti ini, kemenangan atau kekalahan terletak sepenuhnya di bahu sendiri.

Jadi apabila sukan berkumpulan atau berpasukan, saya akan cenderung untuk menyalahkan orang lain apabila kalah. Itulah perangai saya semasa sekolah rendah.

Ketika mula memasuki peringkat sekolah menengah, saya masih meneruskan pelibatan dalam acara olahraga individu seperti lompat tinggi, larian, lontar peluru dan beberapa yang lain kerana ia memang kegemaran saya.

Apabila cikgu menyuruh saya menyertai pasukan bola jaring, saya menghadapi masalah kerana ia merupakan sukan berkumpulan yang mempunyai tujuh orang pemain.

Namun, lama-kelamaan saya mula menyedari sesuatu yang lebih besar daripada sekadar menang atau kalah. Saya belajar tentang kerjasama, keserasian dan kepercayaan dalam pasukan.

Dalam sukan berpasukan, kita tidak boleh hanya memikirkan diri sendiri, sebaliknya perlu melihat bagaimana setiap peranan saling melengkapi. Itu adalah pelajaran paling berharga buat saya.

Untuk sukan badminton pula, pada mulanya saya bermain secara perseorangan ketika di sekolah rendah kerana suka kawalan penuh yang dimiliki dalam permainan ini.

Namun, lama-kelamaan saya mula bermain secara berpasukan dan belajar memahami rentak rakan sepasukan, menyesuaikan diri serta membentuk strategi bersama.

BAGAIMANAKAH PENGALAMAN ITU MEMBAWA TOH PUAN KE PERINGKAT LEBIH TINGGI?

Kesungguhan dan minat terhadap sukan bola jaring akhirnya membawa saya ke peringkat negeri. Dari situ, saya terus melangkah ke tahap lebih tinggi sehingga berpeluang mewakili Malaysia Airlines dalam kejohanan sukan korporat. Saya berbangga kerana bukan sahaja dapat bermain, tetapi turut mendapat pengiktirafan sebagai Penghadang Terbaik Bola Jaring Malaysia Airlines dan Atlet Terbaik Malaysia Airlines.

Pengalaman ini membawa saya lebih jauh apabila dilantik sebagai Pengerusi Kelab Bola Jaring Malaysia Airlines. Di situ, saya bukan sahaja seorang pemain, tetapi juga seorang pemimpin yang bertanggungjawab membimbing pasukan dan menyemarakkan budaya kesukanan dalam kalangan kakitangan syarikat penerbangan itu.

Dalam acara larian, saya pernah bertanding sehingga ke peringkat daerah, manakala dalam sukan lompat tinggi saya melangkah mewakili negeri. Untuk badminton, saya bertanding hingga ke peringkat daerah dan negeri. Pada masa yang sama juga bermain untuk pasukan sekolah dan negeri.

Sukan bukan sekadar hobi bagi saya, tetapi ia adalah cerminan kehidupan. Di dalamnya ada cabaran, kejatuhan, kebangkitan dan kemenangan. Sukan mendidik tentang ketahanan, disiplin dan semangat yang tidak mudah menyerah.

SELAIN SUKAN, ADAKAH TOH PUAN MEMPUNYAI HOBI LAIN SEPERTI MEMASAK?

Saya mula memasak sejak berumur 10 tahun lagi, saya sering memasak untuk adik-beradik saya apabila ibu keluar bekerja. Masakan kegemaran saya ialah masak lemak darat, sama ada menggunakan udang, ketam atau ikan. Adik-beradik memang suka makan sambal udang dan masak lemak darat saya. Saya juga suka memasak hidangan ini kerana ia adalah salah satu makanan kegemaran saya.

APAKAH SISI LAIN ATAU SIFAT TERSEMBUNYI TOH PUAN YANG TIDAK DIKETAHUI RAMAI?

Jika ditanya apakah sisi lain tentang diri saya yang mungkin tidak ramai tahu, saya boleh katakan bahawa saya seorang yang penyayang, namun dalam masa yang sama juga tegas. Sikap penyayang ini, saya lihat turut ada pada Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar sendiri. Sering kali saya menjadi saksi kepada kemurahan hatinya, terutamanya apabila ada orang yang meminta bantuan kewangan melalui mesej atau media sosial.

Setiap kali itu jugalah Tun akan menyerahkan tanggungjawab kepada saya untuk menguruskan semuanya kerana beliau memang tidak biasa dengan urusan perbankan dalam talian.

Tun akan minta saya yang lakukan pemindahan wang. Saya faham perasaan Tun dan tidak pernah berasa terganggu walaupun kadangkala jumlah yang disedekahkan itu besar juga dan semuanya daripada gaji beliau sendiri.

Pernah dalam sehari, jumlah keseluruhan yang saya pindahkan hampir mencecah RM11,000 kerana jumlah yang menerima ramai, walaupun yang diberikan sekitar RM500 hingga RM1,000 seorang. Tambahan pula, apabila menjelang bulan Ramadan, amalan bersedekah ini digandakan oleh Tun.

Tun cukup peka dan tahu siapa yang benar-benar perlu dibantu. Kadangkala, orang yang kita nampak seperti tidak siuman pun akan mendapat perhatiannya. Tun tidak memandang mereka dengan rasa rendah atau jijik kerana baginya, orang-orang seperti itu juga perlukan sumber kewangan untuk meneruskan hidup. Itu membuatkan saya semakin hormat pada Tun.

Dan kerana saya sendiri mempunyai naluri serta nilai yang sama, saya tidak pernah rasa terganggu dengan semua itu, bahkan saya menyokong penuh setiap tindakan Tun. Malah, ada ketikanya apabila Tun tiada, saya pula yang akan memberi kepada orangorang sebegitu kerana yakin, dalam rezeki kita, ada bahagiannya untuk dikongsi bersama.

Dalam masa sama saya juga seorang yang tegas, lebih-lebih lagi dalam hal-hal yang melibatkan prinsip hidup dan mendidik anak-anak. Saya dan Tun sentiasa mengingatkan anak-anak agar tidak bersikap sombong atau angkuh hanya kerana kedudukan atau status. Kedudukan itu tidak kekal, ia hanya sementara. Yang akan kekal ialah keperibadian kita sebagai manusia biasa.

Realitinya, kalau kita lihat dalam masyarakat, terutama di media sosial, ramai isteri yang akan marah jika suami mereka terlalu pemurah. Itu lumrah. Tetapi saya tidak begitu. Saya gembira dan berasa bangga kerana dapat bersama seorang suami yang pemurah dan penyayang seperti Tun.

Malah, Tun sendiri pernah memberitahu apa yang membuatkannya tertarik dan jatuh hati kepada saya bukanlah kerana rupa paras atau fizikal. Tetapi kerana sifat baik hati, penyayang dan ketaatan saya kepada orang tua. Itulah yang membuatkan Tun memilih saya sebagai teman hidupnya.

Saya percaya, persamaan nilai dan pegangan hidup inilah yang mengikat kami rapat. Walaupun usia perkahwinan kami hampir tiga tahun, tetapi kami berkongsi nilai teras yang sama. Bagi saya, itulah yang paling berharga dalam hubungan kami.

APAKAH LIMA PERKARA YANG PALING TOH PUAN SUKA MENGENAI SARAWAK?

Jujur saya katakan, negeri ini begitu istimewa di hati saya. Sarawak bukan sekadar sebuah negeri yang kaya dengan keindahan alam semula jadi tetapi juga lambang keharmonian sejati masyarakat berbilang kaum. Setiap kali saya menghayati kehidupan di sini, semakin mendalam rasa cinta saya terhadap Bumi Kenyalang.

Perkara paling saya kagumi di Sarawak adalah perpaduan dan keharmonian yang begitu indah terjalin dalam kalangan pelbagai kaum dan etnik.

Di sini, masyarakat Melayu, Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Cina dan lain-lain bukan sahaja hidup bersama, malah saling menghormati dan meraikan perbezaan budaya masing-masing. Setiap kali tiba musim perayaan seperti Gawai Dayak, Hari Raya, Tahun Baru Cina mahupun Krismas, suasana di sini begitu meriah.

Masyarakat berbilang kaum saling berkunjung dan meraikan bersama tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa. Bagi saya, inilah keunikan Sarawak yang sukar ditemui di tempat lain.

Lebih mengagumkan, perpaduan ini tidak hanya terbatas pada sambutan perayaan, tetapi juga terserlah dalam kehidupan harian. Semangat kekitaan dan sikap saling membantu antara komuniti menjadikan Sarawak contoh terbaik dalam membina keharmonian sosial yang sebenar di Malaysia.

Sarawak turut terkenal dengan kekayaan budaya dan warisan yang begitu unik.

Setiap etnik di negeri ini mempunyai adat resam, pakaian tradisional, muzik, tarian dan seni bina yang tersendiri tetapi tetap saling melengkapi antara satu sama lain.

Keindahan rumah panjang suku kaum Iban dan Orang Ulu, keunikan tarian ngajat, alunan merdu muzik sape serta kehalusan seni kraf tangan seperti pua kumbu. Semuanya melambangkan betapa kayanya warisan budaya yang masih terpelihara hingga ke hari ini.

Tidak lengkap jika saya tidak menyebut tentang keindahan alam semula jadinya yang luar biasa. Negeri ini memiliki khazanah alam yang begitu mempesonakan, dari gua terbesar di dunia seperti Gua Mulu, hinggalah ke Sungai Rajang yang luas terbentang.

Hutan hujan tropika Sarawak yang masih terpelihara menjadi tarikan utama kepada pencinta alam dan ekopelancong dari seluruh dunia.

Taman negara seperti Taman Negara Bako dan Taman Negara Gunung Mulu bukan sahaja menawarkan pemandangan yang menakjubkan, malah menyimpan pelbagai spesies flora dan fauna yang jarang ditemui di tempat lain.

Sarawak juga terkenal dengan aneka makanan tradisional yang enak dan mempunyai identitinya yang tersendiri. Laksa Sarawak yang berempah, mee kolok yang kenyal, umai serta kek lapis yang bukan sahaja terkenal di seluruh Malaysia, malah hingga ke luar negara.

Setiap hidangan ini mencerminkan kekayaan budaya dan citarasa rakyat Sarawak yang begitu unik dan memikat selera sesiapa sahaja yang mencubanya.

Satu lagi perkara yang benar-benar menyentuh hati saya ialah sikap rakyat Sarawak yang terkenal dengan keramahan, sifat rendah hati dan mudah mesra.

Tidak kira siapa pun kita, bangsa atau agama, layanan rakyatnya sentiasa membuatkan kita rasa diterima dan dihargai.

Ramai pelancong dan orang luar yang memuji sifat rakyat Sarawak yang suka membantu, tidak sombong, dan sentiasa bersikap baik terhadap sesama manusia.

Selain itu, saya juga melihat Sarawak sebagai sebuah negeri yang kaya dengan sumber alam dan sedang berkembang pesat dalam pelbagai sektor ekonomi.

Bukan hanya bergantung pada minyak, gas dan kayu balak tetapi turut giat meneroka sektor tenaga hijau, teknologi dan perindustrian.

Projek besar seperti SCORE membuktikan bahawa Sarawak mempunyai visi jauh untuk menjadi sebuah negeri maju secara mampan tanpa mengorbankan identiti dan nilai-nilai tradisionalnya.

BAGAIMANA PULA DENGAN MAKANAN SARAWAK YANG MENJADI KEGEMARAN?

Oh, banyak makanan Sarawak yang saya suka. Mi kolok memang kegemaran saya, begitu juga dengan ikan lumek yang dimasak sup. Saya juga suka ikan labang yang dipais dengan kunyit dan garam. Kalau dibandingkan dengan ikan patin di Semenanjung, saya lebih suka ikan labang.

APAKAH BUKU-BUKU KEGEMARAN TOH PUAN?

Saya suka membaca novel hasil karya Norhayati Ibrahim dan mempunyai koleksi yang agak banyak daripada penulis ini.

Antara novel beliau yang paling saya suka ialah Hati Seorang Wanita, Nota Cinta Buatmu, Cinta Pertama, Sentuhan Kasih, Noktah, Kasih yang Tercalar dan banyak lagi.

Selain itu, saya juga meminati karya Lamia Aimal. Antara novel beliau yang saya baca ialah Tiga Wajah, Waja, Titisan Usang, Semarak dan lain-lain.

Gaya penulisan Lamia Aimal juga sangat menyentuh perasaan dan penuh dengan nilai-nilai kemanusiaan yang mendalam.

Selain novel-novel Melayu, saya juga gemar membaca buku-buku yang bersifat motivasi dan psikologi. Antara buku pilihan saya ialah Susahnya Hidup Dengan Manusia, Start With Why, Read People Like a Book dan The 48 Laws of Power.

SIAPA ATLET SUKAN KEGEMARAN TOH PUAN?

Saya juga mengikuti perkembangan dunia sukan. Ada beberapa atlet yang saya minati antaranya ialah Kapler Laveran Lima Ferreira atau lebih dikenali sebagai Pepe.

Selain itu, saya juga meminati Datuk Nicol David, lagenda skuasy negara yang telah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Tidak ketinggalan, saya juga mengagumi ketangkasan Abdul Rashid Mohd Sidek, bekas jaguh badminton negara yang pernah menggegarkan gelanggang dunia. Saya juga tertarik dengan kehebatan Megawati Hangestri Pertiwi dan Yuji Nishida, dua atlet bola tampar yang saya kira sangat luar biasa dalam sukan mereka.

BAGAIMANA DENGAN PASUKAN SUKAN KEGEMARAN?

Dari segi pasukan pula, saya meminati dua kelab bola sepak terkenal dunia iaitu Manchester United Football Club dan Real Madrid Club de FĂștbol. Kedua-dua pasukan ini mempunyai sejarah dan pencapaian yang hebat serta memiliki barisan pemain dunia yang berkualiti tinggi.

APAKAH HOBI TOH PUAN?

Bercakap tentang hobi, saya seorang yang sangat aktif. Bersukan merupakan hobi utama saya. Selain itu, saya juga suka membaca dan memasak.

PERKARA YANG PALING DITAKUTI?

Dalam hidup ini, perkara yang paling saya takuti menyakiti atau mengecilkan hati ibu saya, Mahni Haji Aman. Sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja. Saya sentiasa berhati-hati dalam setiap tingkah laku kerana ibu ialah insan paling saya hormati dan sayangi.

SIAPA INDIVIDU YANG MENJADI INSPIRASI TOH PUAN?

Dua insan yang menjadi inspirasi terbesar dalam hidup saya ialah bonda saya, Mahni Haji Aman, dan suami tercinta, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

APAKAH LIMA WARNA KEGEMARAN TOH PUAN?

Lima warna pilihan saya ialah kuning, ungu, merah jambu, biru muda dan turquoise.

PENYANYI ATAU KUMPULAN MUZIK KEGEMARAN TOH PUAN?

Saya tidak mempunyai penyanyi atau kumpulan muzik kegemaran secara khusus. Namun, adik-beradik lelaki saya gemar mendengar lagu-lagu daripada kumpulan Slam dan Ukays. Jadi, secara tidak langsung saya juga sering terdengar dan mengikuti lagu daripada kedua-dua kumpulan ini.

LAGU APAKAH YANG MENJADI KEGEMARAN?

Jika ditanya tentang lagu kegemaran, saya lebih cenderung kepada lagu berirama jazz. Namun begitu, saya tidak mempunyai lagu tertentu yang disukai. Kini, apa-apa sahaja lagu kegemaran Tun akan menjadi kegemaran saya juga.

BAGAIMANA PULA DENGAN FILEM DISUKAI?

Secara jujurnya, saya tiada filem kegemaran. Saya tidak menonton televisyen, malah di rumah ibu saya sendiri pun tidak ada televisyen.

Kami sekeluarga tidak menganggap televisyen sebagai satu keperluan. Namun begitu, saya masih ingat satu-satunya filem yang pernah saya tonton di pawagam ketika berusia 13 tahun.

Ketika itu, ibu membawa saya menonton filem Kekasih Awal dan Akhir.

Namun begitu, filem tersebut bukanlah filem kegemaran saya, hanya sekadar kenangan manis bersama-sama ibu tercinta.

APAKAH LIMA MAKANAN KEGEMARAN?

Antara lima makanan kegemaran saya ialah nasi ayam, labang pais, sayur sawi tumis air, ikan bilis gaya saya dan udang lemak masak darat yang dimasak mengikut gaya sendiri.

IMPIAN TERBESAR ATAU INGIN DICAPAI TOH PUAN?

Impian terbesar saya untuk melihat keempat-empat anak saya berjaya dan hidup bahagia bersama keluarga masing-masing. Saya mahu mereka sentiasa saling menyayangi antara satu sama lain.

NEGARA MANAKAH YANG TOH PUAN PALING INGIN LAWATI?

Jika diberi peluang, negara yang paling ingin saya lawati ialah Iceland. Saya teringin ke sana untuk menyaksikan keindahan fenomena semula jadi aurora yang sangat menakjubkan.

Sehingga kini, saya masih belum berpeluang menjejakkan kaki ke sana, tetapi ia kekal sebagai salah satu impian saya yang ingin saya capai suatu hari nanti.