MELANGKAH KE ASTANA
BAGI Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Astana Negeri Sarawak bukan sekadar sebuah kediaman rasmi tetapi medan pembelajaran dan pengorbanan yang menuntut keikhlasan hati.
Di sini, beliau terus melangkah membawa diri dengan penuh wibawa, mengisi peranan sebagai isteri pemimpin tertinggi, Yang di-Pertua Negeri Sarawak. Kecekalannya menyesuaikan diri dengan dunia baharu ini adalah satu inspirasi kepada sesiapa sahaja yang bakal menempuhi situasi yang tidak pernah dijangka.
Ketika melangkah ke fasa baharu dalam hidupnya, Toh Puan Fauziah membawa bersamanya keperibadian yang sudah terbentuk kukuh. Pengalaman selama dua dekad di awan biru bukanlah satu bab yang terpisah, sebaliknya menjadi asas kepada peranan baharunya.
Sebagai isteri kepada pemimpin tertinggi negeri, beliau menampilkan kelembutan yang berteraskan kekuatan. Toh Puan Fauziah tidak sekadar menjadi bayangan kepada suami tetapi juga sebagai wanita yang berdiri dengan keanggunan dan kebijaksanaan sendiri.
Dalam setiap kunjungan hormat, majlis rasmi, lawatan ke rumah kebajikan atau program kemasyarakatan, beliau hadir dengan jiwa yang dekat dengan rakyat. Beliau memahami keperluan mereka sebagai seorang insan yang pernah melihat pelbagai ragam kehidupan pada ketinggian 30,000 kaki di awan biru.
APAKAH PERASAAN TOH PUAN SAAT MENGETAHUI TUN PEHIN SRI DR HAJI WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR BAKAL MENJADI YANG DI-PERTUA NEGERI SARAWAK KELAPAN?
Saya masih ingat dengan jelas tarikh keramat 26 Januari 2024. Saat Tun menerima watikah pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelapan. Saya berdiri di sisinya, tetapi secara jujur hati saya bergelora. Saya rasa takut, lebih daripada apa yang pernah saya bayangkan.
Bahkan pada malam sebelumnya, saya langsung tidak dapat tidur. Mata saya merenung siling bilik dan pelbagai perkara terlintas di fikiran. Mungkin ini bukan sesuatu yang asing bagi Tun, tetapi sebaliknya untuk saya kerana ia adalah dunia baharu yang tidak pernah langsung terlintas dalam fikiran.
Di dalam kereta, semasa perjalanan menuju ke Istana Negara di Kuala Lumpur ketika Tun menerima watikah pelatikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan TYT Sarawak, tangan saya begitu dingin seperti ais.
Saya tidak dapat menyorokkan kegelisahan itu. Tun perasan dan bertanya dengan nada lembut, kenapa tangan you dingin? Saya hanya mampu tersenyum hambar kerana dalam hati, ribuan perasaan bercampurbaur, cemas, gugup dan takut, semuanya ada.
Tidak dinafikan saya pernah bekerja sebagai pramugari selama lebih dua dekad. Saya telah diajar protokol, cara berurusan dengan individu ternama tetapi ini berbeza. Saya bukan lagi pemerhati atau petugas di sebalik tabir. Kini berada di tengah pentas, diperhatikan oleh semua mata. Langkah saya bukan lagi milik saya seorang tetapi melambangkan sebuah institusi.
APAKAH PENDAPAT TOH PUAN APABILA TUN PEHIN SRI DR HAJI WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR, MEMBUAT KEPUTUSAN KEMBALI BERKHIDMAT KEPADA NEGARA?
Pada awalnya, apabila Tun memberitahu saya beliau ingin bersara daripada dunia politik, saya fikir ia adalah keputusan yang baik. Saya menyokong keputusannya kerana percaya setiap insan perlu ada masa untuk berehat selepas sekian lama berkhidmat kepada negara. Saya juga yakin bahawa selepas bersara, kami dapat meluangkan lebih banyak masa bersama dan menikmati kehidupan yang lebih santai.
Bagaimanapun ketika itu ada sedikit kebimbangan dalam hati saya kerana ketika itu saya sudah berhenti kerja dan Tun pula bersara. Jadi, bagaimana kami hendak menyara hidup? Apatah lagi selepas melihat corak perbelanjaan bulanan Tun.
Suatu hari, saya bertanya kepadanya, sayang, adakah kita ada wang yang cukup untuk menanggung kehidupan kita? Saya tidak bermaksud untuk meragui kemampuannya, tetapi sebagai isteri, saya perlu tahu dan bersedia.
Reaksi Tun pada ketika itu membuatkan saya sedikit terkejut. Beliau memandang saya dan berkata, tidak pernah seorang wanita bertanya kepada saya sama ada saya ada duit atau tidak. Saya tergelak kecil, tetapi dalam hati masih ada rasa hairan. Namun, Tun meyakinkan bahawa beliau menjalani kehidupan mengikut kemampuan dan tidak perlu risau.
Tetapi, tidak lama selepas itu, hanya dalam tempoh tujuh bulan selepas perkahwinan kami, tiba-tiba Tun dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara. Bagi saya ia adalah satu keputusan yang sangat penting kerana beliau sebenarnya sudah selesa bersara tidak mahu lagi memegang apa-apa jawatan dalam Kerajaan Persekutuan. Saya juga tidak menyangka pelantikan itu akan berlaku.
JADI, APAKAH REAKSI TOH PUAN KETIKA ITU?
Walaupun ketika itu kami sekeluarga sudah mula selesa dengan keadaan tersebut, Tun tetap menerima pelantikan tersebut dan kembali memikul tanggungjawab berkhidmat kepada Malaysia, bertugas sebagai Yang diPertua Dewan Negara. Meskipun saya tahu jauh di sudut hati beliau, ia bukanlah sesuatu yang mudah.
Pada saat itu, saya mula berasa letih kerana melihat Tun kembali sibuk dengan pelbagai urusan rasmi. Jadual kerjanya begitu padat, perjalanannya ke sana-sini dengan tanggungjawab besar yang digalas.
Saya teringat bagaimana sebelum ini Tun berkata tidak mahu bekerja lagi, tetapi selepas itu beliau kembali terikat dengan tugas yang lebih besar. Malah, saya pernah mengadu kepadanya, sebelum ini you kata hendak bersara, tetapi sekarang kembali bekerja, malah lebih sibuk pula.
Tun hanya tersenyum dan menjawab dengan tenang, sabarlah, itu semua tanggungjawab.
Ketika itu, saya mula sedar bahawa kehidupan kami akan berubah sepenuhnya. Saya fikir selepas bersara, kami akan berehat bersama, menikmati masa lapang tanpa tekanan kerja.
Namun sebaliknya berlaku, situasi yang saya rasakan sama seperti ketika berkhidmat sebagai pramugari, sibuk terbang ke sana sini.
Takdir sekali lagi membawa kami ke jalan yang berbeza. Tujuh bulan selepas Tun menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara, beliau dilantik untuk menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelapan pula. Hidup kami berubah dalam sekelip mata dan sudah tentu saya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. Namun sebagai isteri, saya perlu sentiasa berada di sisi Tun, menyokong dan memahami segala tanggungjawab yang dipikulnya. Saya mengerti bahawa dedikasinya kepada negara tidak pernah pudar.
SISI TUN PEHIN SRI DR HAJI WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR, YANG MUNGKIN TIDAK DIKETAHUI RAMAI?
Ada satu sisi Tun yang mungkin ramai tidak tahu. Di mata orang luar, Tun kelihatan tegas dan serius, tetapi di rumah, Tun orang yang paling suka bergurau dan berjenaka. Sebenarnya, Tun ini seorang pembuli. Ya, saya selalu katakan begitu kepada Tun.
Setiap hari ada sahaja caranya membuli saya, kemudian beliau akan ketawa terbahak-bahak puas hati melihat reaksi saya.
Ada sahaja idea pelik dan kelakar yang Tun lakukan. Kalau saya ceritakan di sini, pasti orang tidak percaya itulah perangai sebenar Tun.
Saya sendiri sering ketawa apabila bersama Tun kerana beliau pandai mencipta suasana ceria di dalam rumah. Saya selalu usik Tun dengan berkata, hendak panggil you ni lawyer buruk pun boleh sebab you memang lawyer. Itulah keunikan beliau yang mungkin tidak ramai tahu.
Namun, satu perkara yang saya pelajari sejak bersama Tun, bercakap dengan beliau perlukan kefahaman dan kepekaan. Setiap butir kata Tun ada maknanya.
Tun berpegang pada satu falsafah hidup, kita sudah cukup serius di luar ketika menjalankan tugas dan amanah. Jadi, apabila pulang ke rumah, inilah masanya untuk benarbenar berehat dan bergembira bersama keluarga.
Sebenarnya Tun lebih selesa menjalani kehidupan sederhana, bebas dan suka bergaul dengan orang ramai tanpa mengira latar belakang.
Sebelum ini, selepas Subuh sekitar jam 7 pagi, Tun akan memandu sendiri ke kedai kopi kegemarannya untuk bersarapan. Tidak ada pengiring atau pengawal keselamatan, hanya beliau seorang diri. Begitu juga, Tun suka ke pasar seperti Medan Niaga Satok untuk membeli ikan, sayur-sayuran dan sebagainya, beliau gemar memilih sendiri apa yang mahu dimakan.
Namun sayangnya, seiring dengan perubahan jawatan beliau sekarang, ruang kebebasan itu semakin terbatas. Peranan sebagai pemimpin tinggi, memaksa Tun untuk lebih berhati-hati dalam setiap tindakannya, termasuk tidak dapat bergerak bebas seperti dahulu. Beliau mesti diiringi pengiring dan pengawal keselamatan apabila keluar, walaupun sebenarnya Tun seorang yang sememangnya suka bercampur dengan masyarakat dan menikmati kehidupan lebih santai.
Selain itu, Tun tidak suka mencampurkan urusan kerja dengan kehidupan keluarga. Apabila menghadapi masalah, beliau akan lebih banyak berdiam diri. Dalam situasi seperti ini, kami sekeluarga faham serta akan memberi ruang dan masa untuk beliau. Tidak ada sesiapa yang akan bertanya atau mengganggu.
Saya ingat satu hari, Tun pernah menegur saya. Katanya, apabila beliau berdiam diri dan kelihatan sedang berfikir, saya tidak perlu risau atau bertanya apa yang sedang berlaku. Cukup sekadar memberinya ruang untuknya menyelesaikan masalahnya.
Dari situ, saya belajar bahawa peranan saya dalam saat-saat sedemikian hanyalah untuk berdiam diri dan memberikan sokongan dalam bentuk yang paling sederhana, iaitu menyediakan makanan dan minuman, tanpa perlu bertanya apa-apa. Setelah Tun selesai mengatasi masalah tersebut, barulah beliau akan berkongsi cabaran atau isu yang dihadapinya. Itulah cara Tun.
PENGALAMAN TOH PUAN KETIKA PERTAMA KALI MELANGKAH KE ASTANA?
Ketika pertama kali saya melangkahkan kaki ke Astana, perasaan yang menyelubungi diri sukar untuk digambarkan. Sejujurnya, saya bukanlah orang yang biasa masuk ke Astana, sama ada di Semenanjung Malaysia ataupun di Sarawak. Mendengar sahaja nama Astana, sudah cukup membuatkan hati saya berdebar-debar.
Saya masih ingat, tangan saya dingin dan dada berdegup kencang sewaktu mula-mula menjejakkan kaki ke Astana. Rasa tercabar menyelubungi diri kerana saya sedar, ia bukanlah sebuah bangunan biasa. Astana itu sendiri adalah satu cabaran yang besar. Ia telah berdiri ratusan tahun lamanya, menjadi kediaman rasmi dari zaman penjajahan James Brooke hinggalah ke hari ini. Di situlah terhimpun segala latar belakang dan sejarah negeri ini.
Sebagai seorang insan biasa, saya akui perasaan gusar itu ada. Daripada seorang rakyat biasa, tiba-tiba saya melangkah masuk ke dunia yang cukup asing, memegang peranan sebagai isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak. Itu bukanlah sesuatu yang mudah. Ini adalah satu cabaran besar dalam hidup saya dan pengalaman itu benarbenar memberi kesan mendalam kepada diri saya.
JADI, BAGAIMANA TOH PUAN MENYESUAIKAN DIRI DENGAN KEHIDUPAN DI ASTANA?
Sebenarnya, kami tidak menetap di Astana. Sejak awal lagi, Tun menyatakan pendiriannya untuk tidak tinggal di situ. Menurutnya, ia hanyalah sebuah bangunan rasmi yang memiliki satu bilik sahaja.
Tambahan pula, ketika Tun bersara pada tahun 2022, hasrat utama beliau adalah untuk sentiasa dekat dengan anak-anak.
Selama bertahun-tahun Tun menetap di Kuala Lumpur seorang diri. Almarhumah isterinya, Dato Seri Feona Sim Abdullah pula hanya sesekali ke sana kerana terikat dengan kerja di Kuching.
Jadi, apabila tiba masa untuk bersara, keinginan Tun hanyalah satu, iaitu ingin meluangkan masa bersama-sama keluarga. Tidak mahu lagi hidup berjauhan.
Apabila amanah sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak datang, Tun tetap tegas dengan keputusan tidak mahu menetap di Astana. Kata Tun, tiada bilik yang cukup untuk anak-anak. Maka, dengan rundingan bersama, Kerajaan Sarawak dengan murah hati menyediakan sebuah kediaman rasmi di Kesuma Resort, Kuching dan cukup untuk kami sekeluarga.
Walaupun mereka sudah berkeluarga dan memiliki rumah sendiri, Tun meminta semuanya berpindah dan menetap bersama. Alasannya cukup menyentuh hati, Tun mahu setiap kali waktu makan, sama ada bersarapan, makan tengah hari ataupun makan malam, anak-anaknya ada di sisi menemani.
Biarpun tidak semua hadir dalam satu-satu masa, sekurang-kurangnya suasana itu terisi dengan kehadiran keluarga. Itulah impian Tun, mahu menikmati masa bersama-sama keluarga setelah sekian lama berjauhan.
SUDAH TENTU TOH PUAN MEMPUNYAI RUTIN HARIAN BERLAINAN DARIPADA RAKYAT BIASA. BOLEH CERITAKAN LEBIH LANJUT?
Rutin harian saya sebagai seorang isteri bermula dengan mengetahui jadual dan program harian Tun. Biasanya, pembantu peribadi akan menyediakan jadual serta atur cara harian Tun, dan masa yang sama turut menyerahkan salinan jadual itu kepada saya. Jadi, setiap hari saya tahu di mana Tun dan apa program yang perlu dihadiri.
Sebagai isteri, saya mahu memastikan segala keperluan Tun teratur dan lengkap, terutamanya dari segi pakaian. Tun memang jarang berurusan dengan kakitangan yang menjaga hal ehwal rumah. Jadi, sayalah yang menjadi penghubung antara keperluan Tun dan mereka yang bertugas di rumah.
Setiap pagi, saya akan bertanya kepada Tun tentang pakaian yang ingin dipakai, baju Melayu warna apa, kemeja mana satu, seluar, kot atau jubah atau tali leher yang mana menjadi pilihan. Tun sendiri yang akan menentukan pilihan pakaiannya. Saya hanya memastikan pakaian itu disiapkan dan digosok kemas oleh petugas. Saya meminta tolong kakitangan –– Tun nak pakai baju ini dan ini, pastikan baju digosok rapi dan digantung elok-elok.
Bagi saya, sangat penting untuk memastikan penampilan Tun kemas dan pakaiannya tidak berkedut. Namun, berbeza pula dengan Tun, beliau seorang yang sangat cermat orangnya, soal baju berkedut atau tidak, beliau tidak kisah.
Tetapi saya pula yang peduli. Jadi, saya pastikan semuanya teratur supaya suami saya tampil kemas, segak dan sesuai dengan majlis yang dihadiri.
Soal makanan pula, setiap hari saya akan bertanya kepada Tun tentang makanan yang ingin dimakan, sama ada mahu makan makanan berat atau ringan. Sejak hari pertama sebagai suami isteri, saya berpegang kepada satu perkara iaitu tanggungjawab utama menjadi seorang isteri kepada Tun. Apa-apa sahaja keperluan Tun, daripada makanan, minuman, pakaian, tempat tidur sehinggalah ke waktu tidur, semuanya saya jaga.
Bagi Tun, keluarga adalah keutamaannya. Jadi, keutamaan saya juga adalah untuk memastikan keluarga sentiasa dalam keadaan terjaga dan sempurna. Contohnya, setiap kali makan malam, Tun pasti akan bertanya, “Ada atau tidak anak-anak makan di rumah malam ini?” Jika ada, Tun mahu semua anak duduk makan bersama di meja makan.
Tun jarang sekali memanggil anak-anak secara terus. Kalau ada, mungkin Tun akan hantar pesanan dalam kumpulan WhatsApp keluarga. Tapi biasanya, sayalah yang akan pastikan anak-anak ada bersama di meja makan.
Saya akan ketuk pintu bilik mereka dan mengajak makan bersama. Bagi Tun, makan bersama keluarga itu penting. Jadi, tanggungjawab utama saya ialah menjadi isterinya.
Selain itu, dahulu sekiranya barangan dapur seperti kunyit atau halia habis, saya boleh ke kedai sendiri. Tetapi kini, situasi sudah berubah. Ada garis panduan dan protokol tertentu yang perlu saya patuhi. Jika dahulu saya bebas menguruskan keperluan sendiri, sekarang setiap pergerakan perlu diselaraskan dan mengikut protokol.
BAGAIMANA PULA DENGAN TUGAS RASMI?
Tugasan rasmi pula kebanyakannya berlangsung di Astana, terutamanya untuk kunjungan hormat dan majlis-majlis rasmi. Saya akan hadir bersama Tun jika majlis tersebut melibatkan kehadiran wanita kerana itu memang kehendak beliau.
Jadi, apabila ada wanita yang hadir, saya akan pastikan protokol diatur dengan betul. Pegawai yang bertugas akan dimaklumkan lebih awal. Tidak kira sama ada wanita yang hadir itu berpangkat lebih rendah dalam sesebuah organisasi, dia tetap perlu duduk di sebelah saya. Itu adalah antara perkara penting yang saya jaga kerana bagi Tun, jika saya hadir tetapi tiada wanita di sisi saya, kehadiran saya itu tidak memberi makna.
Namun, jika tiada wanita dalam kunjungan hormat itu, saya tidak akan hadir. Tetapi selalunya saya tetap akan ikut Tun ke Astana. Ada masanya, Tun masuk ke bilik untuk berehat, membuka kot atau menanggalkan tali leher dan di situlah saya pastikan segala-galanya teratur dan dalam keadaan baik untuk Tun.
Itulah rutin dan tanggungjawab saya sebagai isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak. Tiada lagi kerja penyelenggaraan sendiri atau rutin membeli keperluan dapur sendiri. Kini, seluruh khidmat saya tertumpu kepada Tun dan juga kepada keperluan di Astana.
BAGAIMANA CARA TOH PUAN MENGURUSKAN PENAMPILAN, KHUSUSNYA DALAM PEMILIHAN PAKAIAN?
Pada awalnya, saya sendiri memilih pakaian yang dirasakan sesuai. Sudah tentu saya memilih pakaian yang selesa dan mudah digayakan dalam apa sahaja majlis, iaitu mengenakan baju kurung. Kini, saya mempunyai pembantu yang membantu dalam pemilihan pakaian termasuk tudung, jadi tinggal untuk saya gayakan sahaja lagi.
Tetapi saya masih perlu memastikan bahawa setiap pakaian yang digayakan mencerminkan personaliti dan peranan saya. Saya juga lebih cenderung kepada pakaian yang praktikal, tidak terlalu sarat dengan perincian tetapi tetap elegan. Saya juga menyukai warna kuning yang pada saya membawa makna kekuatan.
Di sebalik semua ini, satu perkara yang saya pelajari adalah menjadi diri sendiri.
Penampilan luar hanyalah sebahagian kecil, yang lebih penting adalah keikhlasan dalam menjalankan amanah dan kasih sayang yang diberikan kepada rakyat. Itu lebih berharga daripada sebarang pakaian atau gelaran yang kita sandang.
RUTIN HARIAN BEGITU PADAT, BAGAIMANA TOH PUAN MEMBAHAGIKAN MASA RASMI DAN PERIBADI?
Sejak hari pertama sebagai suami isteri, masa peribadi saya hanyalah ketika bersama Tun. Tun ini, walaupun perwatakannya kelihatan serius di luar tetapi apabila di rumah, Tun seorang yang sangat suka bergurau dan berjenaka dengan saya. Di rumah, Tun benar-benar seorang suami dan insan biasa, jauh berbeza daripada watak rasmi yang dilihat dari luaran.
Masa-masa peribadi kami banyak dihabiskan ketika waktu makan, minum dan berbual-bual santai sambil menonton televisyen. Walaupun saya sebenarnya tidak minat menonton televisyen, tetapi lama-kelamaan saya mula berminat.
Malah, sekarang saya sudah mula mengetahui dan mengikuti program di televisyen, perkara yang dahulunya yang jarang saya lakukan.
Apa yang menarik, Tun dan anak-anak bukan sekadar menonton televisyen semata-mata, tetapi mereka menonton secara intelektual.
Setiap kali menonton sesuatu filem atau dokumentari, mereka akan mengkaji dan mencari latar belakang dan sejarah cerita tersebut. Contohnya, apabila menonton filem berkaitan kisah Shaolin, Tun akan bercerita kepada saya bagaimana sejarah sebenar Shaolin itu bermula, peperangan antara Mongol dan China dan sebagainya.
Tun boleh mengaitkan setiap kisah yang ditonton dengan sejarah lama kerana beliau memang sangat meminati sejarah.
Dari situlah, saya turut terikut dan mula meminati sejarah. Setiap kali menonton kisah Shaolin, Tun akan mengaitkannya dengan The Legend of the Condor Heroes, sebuah karya klasik yang menceritakan tentang manusia di zaman peperangan antara rakyat China dan Mongol pada abad ke-12.
Selain daripada waktu begini, selebihnya masa saya banyak terikat dengan tugasan rasmi sebagai isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
APAKAH PENGALAMAN PALING MEMBERI KESAN SEJAK TUN PEHIN SRI DR HAJI WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR MENGGALAS TUGAS SEBAGAI YANG DI-PERTUA NEGERI SARAWAK?
Sejujurnya, apabila berpindah ke kediaman rasmi di Kesuma Resort Kuching, saya kagum dengan kemudahannya.
Perubahan begitu terasa dan kami sangat bersyukur kerana diberi kesempatan untuk merasai pengalaman ini. Kami kini tinggal di Kesuma Resort dan bukan di Astana Negeri.
Namun, di sini tetap ada cabarannya yang tersendiri kerana rumah ini direka bentuk untuk negara yang beriklim panas dan kering. Sebaliknya, kita di Sarawak hidup dalam iklim tropika dengan hujan lebat sepanjang tahun.
Kelebihannya pula sistem kalis bunyi di rumah ini memang bertaraf kelas pertama. Ketika hujan lebat, kami langsung tidak mendengar bunyi hujan dari dalam rumah. Suasana di dalamnya tetap tenang dan nyaman.
Selain itu, perkara baharu yang saya alami adalah apabila pergerakan kami perlu mematuhi protokol. Segalanya terasa sangat berbeza berbanding kehidupan biasa kami di rumah sendiri, bebas memasak di dapur dan segalanya diurus mengikut kehendak dan keselesaan kami.
Namun di Kesuma Resort, segalanya berubah. Orang lain yang menyediakan makanan untuk kami. Awalnya agak tidak biasa apatah lagi Tun memang ada tabiat, bila-bila masa sahaja terutama tengah malam akan mencari nasi dingin dan ikan masin untuk dimakan.
Dapur dan kawasan penyediaan makanan mempunyai sistem dan pengurusannya sendiri. Segalanya disusun dan diatur oleh kakitangan yang bertugas. Mereka yang tahu di manakah letaknya setiap barang.
Saya dan Tun sebenarnya suka dan pandai memasak tetapi di sini bukan lagi kami yang memasak. Sebaliknya, kami dihidang dengan makanan yang dimasak oleh tukang masak. Ini adalah antara penyesuaian yang perlu kami terima.
APAKAH CABARAN TERBESAR TOH PUAN HADAPI SEBAGAI ISTERI YANG DI-PERTUA NEGERI SARAWAK?
Sebenarnya, istilah cabaran agak sukar untuk saya terapkan dalam konteks ini. Saya dilahirkan dalam keluarga biasa yang tidak terikat dengan protokol atau formaliti tertentu.
Namun, seiring dengan peranan dan tanggungjawab yang Tun galas sekarang, saya terikat dengan pelbagai protokol yang datang bersama tugas Tun.
Kebebasan yang saya nikmati dahulu, boleh bergerak bebas, bertindak sesuka hati dan tidak perlu terlalu memikirkan hal formal semakin terbatas sekarang. Bagi saya, itu adalah perubahan yang sangat ketara.
Segala aspek daripada pemakaian, tingkah laku hingga percakapan, perlu dijaga dengan teliti. Jika salah satu daripada faktor ini terabai mahupun diketepikan, implikasinya akan kepada Tun.
Sebolehnya, saya tidak mahu menimbulkan masalah hanya kerana perkara-perkara yang dianggap remeh seperti ini.
Mengadaptasi kehidupan dan peranan baharu ini bukan sesuatu yang mudah. Ia seperti melangkah ke dunia lain yang penuh dengan adat, tradisi dan protokol, perlu untuk saya kuasai. Tidak dinafikan pada mulanya ia memberi tekanan kerana sebelum ini saya dan Tun biasa bergerak bebas, tetapi di sini ada batasan serta protokol tertentu yang perlu dipatuhi.
Namun, saya tahu saya tidak punya pilihan selain belajar. Saya banyak bertanya kepada pihak protokol, memerhati dan membaca untuk menyesuaikan diri sebaik mungkin.
Saya harus cepat belajar kerana ini bukan hanya peranan sosial, tetapi satu tanggungjawab kepada negeri dan rakyat. Namun, semakin hari, saya mula menemui iramanya dan belajar untuk menikmati peranan ini dengan hati terbuka dan penuh keikhlasan.
BAGAIMANA PENERIMAAN RAKYAT SARAWAK TERHADAP TOH PUAN SETAKAT INI?
Sejak hari pertama sebagai suami isteri, saya tidak aktif di media sosial, tiada Instagram, Facebook, Twitter dan sebagainya. Oleh itu, saya sendiri tidak tahu secara langsung bagaimana pandangan umum terhadap saya. Namun, Tun ada menggunakan Facebook dan dari situ saya dapat melihat dan mengetahui sedikit sebanyak reaksi masyarakat.
Tun sering menunjukkan kepada saya mesej yang diterima di laman Facebook beliau. Beribu-ribu mesej diterima dan keseluruhannya sangat positif. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada rakyat Sarawak yang boleh menerima saya sebagai isteri kepada Yang diPertua Negeri Sarawak.
Jarang sekali saya membaca komen negatif terhadap Tun mahupun saya sendiri. Masyarakat bukan sahaja menerima Tun sebagai TYT, bahkan menerima saya sebagai isterinya dan pendamping beliau dalam segala segi. Itu membuatkan saya rasa terharu dan sangat berbesar hati.
Bagaimanapun, saya tetap berusaha sebaik mungkin untuk menyesuaikan diri, bukan sahaja sebagai isteri kepada TYT, tetapi juga sebagai rakyat Sarawak.
Saya juga mengambil inisiatif mempelajari bahasa dan budaya tempatan walaupun bukan mudah untuk mempelajari dialek dan loghatnya.
Tetapi bagi saya, minat dan keinginan itu sangat penting. Sebagai isteri kepada anak Sarawak, saya juga berasa bertanggungjawab untuk belajar dan memahami budaya di sini.
Alhamdulillah, Tun sendiri banyak membantu. Beliau ada buku kosa kata Sarawak yang menjadi bahan rujukan saya.
Dari situ, saya belajar tentang bahasa, budaya dan sikap masyarakat Sarawak. Saya mahu menjadi yang terbaik dalam menjalankan peranan ini.
Setiap kali turun padang, bertemu masyarakat, saya akan cuba mengikut jejak langkah Tun, beramah mesra dengan rakyat dan sahabat handai, sambil menjaga martabat dan kedudukan saya sebagai isterinya. Alhamdulillah, penerimaan masyarakat sangat baik.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh rakyat Sarawak atas penerimaan yang begitu baik ini. Semoga hubungan yang terjalin ini terus kekal erat di hati kita dan diberkati-Nya.