AKAR POHON BERDIRI KUKUH
SEBAGAI insan yang kini mendiami Bumi Kenyalang, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menyimpan harapan besar dan tulus untuk masa depan negeri ini. Beliau mahukan perpaduan yang telah lama terbina terus diperkukuhkan, pendidikan terus dimajukan dan masyarakatnya terus hidup dalam keharmonian.
“Perpaduan Sarawak yang merupakan terbaik di Malaysia mesti dikekalkan. Ia adalah anugerah tidak ternilai dan landasan paling kukuh untuk kita terus membina negeri serta mengekalkan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat.
“Tanpa perpaduan, semua yang kita rancang akan retak, bahkan runtuh. Sarawak punya keistimewaan yang tidak mampu ditandingi negeri lain,” katanya.
Bagi Toh Puan Fauziah, perpaduan negeri terbesar di Malaysia ini ibarat akar pohon besar berdiri kukuh mencengkam bumi, mengikat erat pelbagai bangsa, agama dan budaya yang hidup harmoni di bawah satu langit.
“Jadi, jangan sampai kita terikut-ikut dengan gelombang di luar sana, sibuk melakukan demostrasi, bergaduh sesama sendiri atau terjerat dalam kelakuan antisosial yang akhirnya memusnahkan segala telah dibina.
“Sekiranya kunci penting itu terus dipertahankan, insha-Allah Sarawak akan terus menjadi negeri stabil, maju dan berpendapatan tinggi pada masa akan datang,” tambahnya.
Di samping itu, Toh Puan Fauziah tidak menafikan wujud perbincangan antara beliau dengan Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta pegawainya, tentang penubuhan sebuah yayasan untuk dijadikan wadah menghulur tangan kepada mereka yang memerlukan mahupun menjulang potensi anak bangsa.
Namun baginya, mendirikan sebuah yayasan bukan semudah memacak bendera di puncak bukit. Ia menuntut perancangan rapi, teliti dan keberlangsungan.
“Apalah ertinya sebuah yayasan kalau esok lusa terhenti separuh jalan kerana ketiadaan sumber kewangan?” soalnya jujur.
Baginya, keutamaan bukan pada gahnya nama tetapi pada kemampuan yayasan itu bertahan untuk terus memberi.
Lagipun ujarnya, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar sudah mempunyai program yang dinamakan Rumah Ihsan Wan Junaidi, ia membantu membina banyak rumah kediaman untuk golongan kurang berkemampuan.
“Program ini telah dilaksanakan hampir 10 tahun dengan dananya diperoleh menerusi sumbangan pihak syarikat dan yayasan dari Semenanjung Malaysia.
“Bahkan, kejayaan program ini membolehkannya mendapat pengiktirafan Pertubuhan Piawaian Antarabangsa (ISO) dari sudut pengurusan kewangan dan pelaksanaan.
“Justeru, Tun pernah memberitahu saya dan pegawainya, hendak ditubuhkan satu yayasan untuk menguruskan program ini. Jadi, kami tidak terburu-buru dalam membuat keputusan,” jelasnya.
Namun dalam hatinya, ada satu hal yang sangat dekat iaitu pendidikan. Lebih-lebih lagi pendidikan untuk anak-anak yang dikurniakan kelebihan akal atau luar biasa kebolehannya.
“Saya selalu terfikir di mana tempat anak-anak yang mempunyai kelebihan luar biasa?” katanya memikirkan nasib anak-anak kecil yang terperangkap dalam sistem pendidikan yang tidak mampu menampung keistimewaan mereka.
Beliau teringat tentang Program PERMATA Negara, cetusan idea mantan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor satu ketika dahulu, yang memberi ruang pendidikan kepada kelompok anak-anak pintar yang memiliki kecerdasan tinggi.
“Bayangkan anak-anak ini baru berumur sembilan atau sepuluh tahun tetapi sudah layak untuk belajar di peringkat universiti.
“Namun kerana pendidikan dan Institusi Pendidikan Tinggi, kita belum lagi dapat menerima anak-anak ini dalam sistem pembelajaran negara. Tidak seperti yang dilaksanakan di negara maju seperti England dan Amerika Syarikat.
“Maka mereka terpaksa menunggu, akhirnya kebolehan mereka terbiar begitu sahaja, perlahan-lahan pudar dan tercicir begitu sahaja,” jelasnya.
Beliau bimbang potensi golongan ini tidak dapat dioptimumkan untuk kepentingan negara, sekiranya tidak dilengkapi sistem pendidikan yang sesuai dengan kemampuan pemikiran mereka yang luar biasa itu.
“Saya amat berminat dengan perkara ini supaya anak-anak Sarawak yang memiliki keistimewaan ini mendapat bimbingan yang sewajarnya.
“Mungkin bilangannya tidak besar atau ramai, namun harus ada ruang, peluang dan sistem untuk mengasah bakat mereka. Mereka inilah bakat permata yang bakal menyinar untuk masa depan negeri. Sekiranya diabaikan, kita mungkin kehilangan bakal saintis, pemikir atau tokoh besar yang boleh mengangkat nama Sarawak ke pentas dunia,” ujarnya penuh harapan.
Beliau juga percaya, pendidikan anak negeri harus diperkasakan sejak dari usia muda.
Bagi Toh Puan Fauziah, pendidikan awal bukan sekadar soal menghantar anak ke sekolah atau taska tetapi mengenai membentuk akhlak, mencorak nilai dan meletakkan asas yang kukuh untuk masa depan negeri.
“Segala masalah sosial yang membarah hari ini punya akarnya yang jauh. Saya tetap percaya, bahawa pendidikan dan pembentukan akhlak itu mesti bermula dari kecil.
Seawal mungkin, sebelum anak-anak ini kenal apa itu dunia luar yang penuh dengan cabaran dan godaan,” luahnya.
Beliau memandang jauh kepada realiti hari ini, statistik kes penagihan dadah, rogol, sumbang mahram, jenayah kanak-kanak, pesalah muda hingga kepada keganasan rumah tangga terus meningkat saban tahun.
Setiap angka itu, pada kaca matanya, bukan sekadar nombor tetapi gambaran suram masa depan masyarakat jika tidak dibendung dari akar umbinya. Justeru, dalam hal berkaitan kita memerlukan bukan sekadar pusat penjagaan anak, tetapi sebuah institusi mini yang menjadi medium awal menanam nilai dan budi pekerti.
“Bayangkan sekiranya setiap bangunan pejabat mempunyai taska sendiri, ibu bapa pun dapat datang kerja dengan hati yang tenang kerana anak-anak mereka dekat, selamat dan sedang dididik serta dibentuk akhlaknya. Secara tidak langsung merupakan pelaburan masa depan untuk menjadikan Sarawak lebih cemerlang dan gemilang,” tegasnya.
Bagi Toh Puan Fauziah, inisiatif itu bukan sahaja soal kemudahan kerana anak-anak yang ditempatkan di taska berdaftar lebih terjamin masa depannya, mereka tidak terdedah kepada pengasuh yang diragui atau persekitaran yang mencemarkan akhlak.
“Kita juga mahu ibu bapa datang kerja dengan fokus. Tanpa rasa resah memikirkan anak-anak di rumah pengasuh atau di taska yang jauh. Bahkan apabila ibu bapa tenang, kerja mereka pasti akan lebih berkualiti dan produktif. Secara tidak langsung menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara,” tambahnya dengan penuh yakin.
Baginya, apa yang disuarakan ini bukan mimpi kosong tetapi satu keperluan yang wajib difikirkan Bersama demi menyelamatkan generasi muda daripada hanyut dalam gelora dunia moden yang semakin mencabar.
“Saya percaya sekiranya kita bermula dari sekarang, maka kita akan melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang ilmunya, tetapi juga tinggi akhlaknya.
“Mereka inilah nanti yang akan membina negeri ini menjadi lebih hebat daripada apa yang kita bayangkan hari ini,” tambahnya.
Harapan Toh Puan Fauziah untuk Sarawak adalah harapan seorang ibu yang ingin melihat anak-anaknya membesar dalam suasana aman, bersatu padu dan berpeluang mencapai impian setinggi langit. Beliau mengimpikan sebuah negeri yang bukan sekadar kaya harta, tetapi juga kaya budi dan ilmu.
Toh Puan Fauziah turut menekankan bahawa seorang wanita perlu mempunyai pendidikan dan pengetahuan yang kukuh agar tidak mudah tunduk pada ranjau kehidupan dan cabaran dunia.
Pendidikan adalah senjata, perisai yang melindungi dan cahaya yang menerangi jalan.
“Semua orang harus mempunyai pendidikan terutamanya golongan wanita. Wanita yang berpendidikan akan berdiri dengan yakin, menghadapi dunia dengan fikiran yang tajam dan hati yang tabah.
“Jangan cepat mengatakan tidak. Cuba dahulu, jika gagal, cuba lagi. Hanya apabila semua daya telah dikerah, barulah berundur dengan kebijaksanaan, bukan dengan keputusasaan,” tegasnya.
Pendidikan bukan sekadar tentang mendapat sijil atau kelayakan akademik tetapi lebih kepada membentuk minda kritis, jiwa yang kuat dan keupayaan berfikir secara matang. Ia adalah kunci yang membuka pintu kepada kebebasan dan kepercayaan diri. Dengan pendidikan, seorang wanita bukan sahaja mampu membangunkan diri sendiri tetapi juga menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan negara.
Dalam dunia yang terus berubah, disiplin dan pendidikan adalah dua sayap yang mampu membawa seseorang terbang tinggi. Toh Puan Fauziah bukti hidup bahawa dengan tekad tidak berbelah bahagi dan keazaman yang kukuh, seseorang mampu mencapai apa sahaja yang diimpikan. Pesannya dengan jelas, jangan mudah menyerah. Jangan takut menghadapi cabaran.
Hidup ini tidak selalu mudah, tetapi mereka yang berpegang teguh pada disiplin dan berusaha memperkasakan diri dengan ilmu akan sentiasa menemukan jalan.
Setiap wanita mempunyai potensi luar biasa untuk mengubah nasib sendiri dan mencipta sejarah. Di dunia masa ini, kemajuan tidak hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi atau pencapaian teknologi, tetapi juga melalui sejauh mana masyarakat mampu memperkasakan rakyatnya, terutamanya wanita, dalam setiap aspek kehidupan.
Toh Puan Fauziah percaya bahawa kekuatan sesebuah negara juga terletak pada pengetahuan, kebijaksanaan dan penyertaan wanita.
Walaupun wanita telah mencapai banyak kemajuan dalam pelbagai bidang, masih terdapat halangan yang perlu dihadapi.
Menurut Toh Puan Fauziah, kunci untuk mengatasi cabaran ini adalah pendidikan, kebolehsuaian dan kebolehupayaan membuat keputusan yang strategik.
Wanita perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan, mengasah kepakaran mereka dan memanfaatkan kebijaksanaan dalam mengemudi dunia yang masih banyak beroperasi dalam struktur yang didominasi oleh lelaki.
Bagi Toh Puan Fauziah, persoalannya bukan tentang wanita yang bercita-cita untuk menjadi seperti beliau, tetapi tentang mengiktiraf potensi yang belum diterokai.
“Lima puluh peratus daripada modal insan terdiri daripada wanita, jadi ia bukan soal melihat kepada seorang individu tetapi memahami bahawa wanita mesti aktif mengejar pengetahuan, kepakaran, kecerdasan dan kebijaksanaan,” katanya. Beliau kemudian membuat penegasan penting antara pengetahuan dengan kebijaksanaan.
“Pengetahuan boleh diperoleh melalui pendidikan universiti, pengajian tinggi, atau bertahun-tahun pengalaman dalam sesuatu bidang. Tetapi kebijaksanaan berbeza. Ia bukan sesuatu yang boleh dipelajari melalui buku atau di bilik kuliah,” katanya.
Jelas Toh Puan Fauziah, kebijaksanaan mengetahui bila untuk bercakap dan bila untuk berdiam diri, bila untuk bertegas dan bila untuk berkompromi.
“Kadang-kadang, kita perlu mengambil langkah ke belakang walaupun kita berada di pihak yang benar dan ada kalanya, meninggalkan cabaran adalah keputusan yang lebih bijak.
“Kadang-kadang, berkompromi dalam situasi tertentu perlu untuk kejayaan jangka panjang. Kita ambil satu langkah ke belakang untuk bergerak sepuluh langkah ke hadapan,” katanya.
Beliau kemudian merujuk kepada pepatah terkenal dari Sarawak –– berbuang berambil –– yang mencerminkan idea diplomasi dalam situasi tertentu. Pada pandangannya, ramai wanita tidak diletakkan dalam kedudukan kepimpinan kerana mereka dianggap terlalu tegas.
“Ketekalan itu penting, tetapi ada masa tertentu apabila mengambil jalan tengah adalah pilihan yang lebih bijak,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa kini, lebih ramai wanita telah memasuki bidang yang tradisinya didominasi lelaki seperti kejuruteraan awam dan penerbangan.
Namun, untuk mendaki tangga kejayaan dalam industri ini memerlukan lebih daripada sekadar kompetensi, ia memerlukan pemahaman tentang dinamika tempat kerja dan kebolehan untuk menangani cabaran dengan bijak.
“Untuk naik ke puncak, wanita perlu mempunyai strategi. Mereka perlu tahu bila untuk berkompromi dan bila untuk terus maju,” katanya. Selain kejayaan profesional, Toh Puan Fauziah amat prihatin terhadap kebajikan sosial.
Beliau percaya bahawa organisasi bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang sosial dan ekonomi, memupuk perpaduan dan memperbaiki kehidupan.
INISIATIF SOSIAL DAN KEBAJIKAN
“Kita mesti mengukuhkan NGO untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik, mengurangkan jurang sosial dan ekonomi, meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab sosial dan memupuk perpaduan serta keharmonian.
“NGO harus memberi fokus kepada kebajikan sosial dengan membantu golongan miskin dan ––mengangkat masyarakat,” katanya.
Beliau juga berpendapat, NGO tidak seharusnya beroperasi secara bersendirian, sebaliknya mereka perlu membentuk perkongsian dengan badan kerajaan untuk memastikan usaha mereka memberi impak yang bermakna.
Titipnya lagi, pemerkasaan bukan hanya tentang memecahkan halangan, ia adalah tentang bekerjasama, menggunakan kebijaksanaan pengetahuan bagi memastikan tiada sesiapa tertinggal dalam perjalanan menuju Sarawak yang lebih baik.
Berperanan sebagai isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Fauziah bijak memikul peranannya sebagai Wanita Pertama Sarawak dalam mempromosikan warisan dan tradisi budaya tempatan menerusi pelbagai inisiatif.
Menggunakan saluran yang tepat dan jelas, Toh Puan Fauziah turut menekankan pentingnya untuk pemimpin atau individu yang memainkan peranan untuk mempromosikan pakaian tradisional Sarawak yang semakin dilupakan.
“Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) telah banyak memainkan peranan dalam memperkenal warisan budaya Sarawak. Namun, mereka memerlukan individu atau ikon mempromosikan produk negeri ini ke peringkat antarabangsa.
“Pereka fesyen banyak mempromosikan barangan mereka di CENTEXS menyokong setiap produk dan kraf tangan supaya dibawa keluar untuk lebih dikenali.
“Pun begitu, usaha memartabatkan budaya Sarawak kini berjalan dengan baik, bahkan banyak sambutan positif yang menggalakkan khususnya daripada komuniti Dayak yang aktif mempromosi warisan mereka yang kini berjalan dengan lancar dan dihasilkan dengan sangat baik.
Sebagai seorang yang mempunyai minat yang mendalam terhadap warisan Melayu Sarawak, Toh Puan Fauziah sering mengenakan keringkam dan songket dipadankan dengan baju kurung ketika hadir bagi majlis rasmi di seluruh Malaysia.
“Bagi saya, menggayakan keringkam dan songket Sarawak dengan baju kurung ketika menghadiri majlis antara usaha untuk warisan seindah ini dipertonton kepada orang ramai supaya tidak hilang ditelan zaman.
“Contoh lain kalau kita tengok dalam kalangan Orang Ulu yang bijak mempromosikan sape yang kini semakin terkenal di persada antarabangsa.
“Dua puluh hingga 30 tahun lalu, sape ini tidak dikenali, namun kini ia menjadi sebahagian daripada identiti budaya Sarawak,” tambahnya.
“Saya cukup yakin dalam kalangan orang Melayu ada banyak alat muzik yang boleh diketengahkan juga. Saya juga berusaha membantu memperkasa warisan budaya Melayu melalui kerjasama dengan pelbagai pihak,” katanya.
Beliau turut menggalakkan etnik lain untuk bersama-sama dalam perjuangan memartabatkan budaya Sarawak.
Usaha baik Toh Puan Fauziah dalam membantu memperkasa warisan budaya di Sarawak turut mendapat sokongan Kerajaan Sarawak, yang sering menganjur pesta kebudayaan negeri ini.
“Tun sendiri menyarankan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berhubung dengan usaha dalam memartabatkan warisan tradisi Sarawak yang telah dibawa ke kabinet dan mendapat persetujuan.
“Menerusi kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, pesta kebudayaan telah diatur untuk dilaksanakan pada tahun ini,” katanya.