MENJULANG ASPIRASI MERINTIS KEJAYAAN
MENYELAMI perjalanan hidup Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, beliau menjadi bukti nyata bahawa tidak semua orang lahir di dalam dulang emas. Sebaliknya, kejayaan dan pencapaian hidup seseorang dibentuk melalui pengalaman, cabaran, perjuangan dan dedikasi yang tidak pernah luntur.
Zaman kanak-kanak yang matang sebelum usia dan zaman remaja yang penuh ranjau serta pengorbanan, menjadi titik tolak kepada perwatakan unggul yang membentuk Toh Puan Fauziah hari ini.
Daripada seorang pelajar dan atlet cemerlang, beliau kini menjadi tokoh wanita yang memainkan peranan besar dalam masyarakat. Prinsip dan nilai dipupuk sejak zaman persekolahan telah membentuk keperibadiannya yang teguh, tinggi semangat keprihatinan serta kesungguhan untuk menyumbang kepada masyarakat, negeri dan negara.
Sesungguhnya, kisah perjalanan beliau membuktikan bahawa kepimpinan bukan sekadar satu gelaran. Ia adalah keupayaan memberi inspirasi, memimpin dengan jiwa yang luhur serta memberi impak kepada kehidupan orang lain. Dan, itulah yang telah dilakukan oleh Toh Puan Fauziah, sejak dahulu hingga kini.
Bumbung langit Kuala Lumpur menjadi saksi bisu kepada segala impian yang pernah Toh Puan Fauziah anyam dalam diam. Seolah-olah memahami gelora hati seorang gadis yang bercita-cita tinggi, namun terpaksa menundukkan impian di hadapan realiti kehidupan.
Cabaran hidup adalah perkara yang tidak semua orang dapat fahami melainkan mereka yang pernah mengalaminya sendiri. Beliau membayangkan bagaimana ibunya, Mahni Haji Aman bertungkus-lumus mencari rezeki demi membesarkan mereka adik-beradik.
“Tahun 1997, saya menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Satu peluang yang sememangnya diimpikan, tetapi saya terpaksa memilih laluan yang berbeza.
“Bukan kerana tidak mahu, bukan kerana saya enggan. Namun kerana kehidupan yang mendesak, membuatkan saya perlu lebih realistik dalam menentukan hala tuju. Saya harus memikul tanggungjawab kepada keluarga, bukan mengejar impian peribadi.
“Saya juga tidak sanggup melihat ibu bekerja untuk kami, apatah lagi membebankannya dengan kos pengajian yang pasti tinggi. Tambahan pula, adik-adik beradik saya yang lain masih bersekolah dan mereka juga berhak mendapat peluang untuk belajar,” katanya.
Dalam tempoh menunggu peluang yang lebih menjamin masa depan selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Toh Puan Fauziah mencuba pelbagai kerja sebagai pekerja sambilan demi membantu keluarga dan mengumpul wang simpanan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Saya meneruskan kerja sebagai pekerja sambilan di Club Century Paradise, menjalani hari-hari dengan harapan bahawa suatu masa nanti nasib akan berubah.
“Tidak lama selepas itu, saya diterima menjadi guru sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melati untuk mengajar mata pelajaran Kesusasteraan Melayu. “Seterusnya saya mendapat peluang mengajar di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Pandan Indah. Di sini, saya diberi kepercayaan menjadi guru kelas dan mengajar semua mata pelajaran,” ceritanya.
Dunia pendidikan membuka lembaran baharu dalam hidup Toh Puan Fauziah. Beliau mengajar dengan penuh dedikasi, menghayati setiap bait tanggungjawab dengan penuh keikhlasan.
Setiap pagi, beliau melangkah masuk ke kelas dengan senyuman. Anak-anak murid menjadi sumber kekuatan, membuatkannya lupa seketika kesukaran hidup yang melingkari diri.
Namun, keterbatasan kewangan tetap menjadi penghalang besar. Menjadi guru sementara tidak seindah dan semudah yang disangka. Gaji hanya dibayar sekali dalam tiga bulan, menyebabkan semakin sukar untuk beliau mengejar cita-cita melanjutkan pengajian.
“Jadi dengan penuh tekad saya mengambil keputusan untuk mencari pekerjaan lain. Saya tidak mahu terus terperangkap dalam keadaan yang tidak menentu.
“Rezeki berpihak kepada saya apabila saya diterima bekerja di Maybank Management, Menara Maybank, Jalan Tun Perak sebagai seorang penyambut tetamu.
“Tingkat 26 menjadi saksi kepada usaha saya membina kehidupan yang lebih baik. Namun, hati saya masih tidak puas. Saya tahu, ilmu adalah kunci kepada perubahan.
“Oleh itu, saya mendaftar di Stamford College yang terletak di bangunan Cahaya Suria, Kuala Lumpur dan mengambil pensijilan London Chamber of Commerce and Industry (LCCI) kerana ingin memperoleh kelayakan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA),” katanya.
LCCI merupakan sebuah badan perdagangan yang berpusat di London, United Kingdom. Terkenal dengan peperiksaan dan sijil kelayakan profesional yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, khususnya dalam bidang perakaunan, kewangan, perniagaan, pemasaran dan pentadbiran.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan kelayakan ACCA, sijil LCCI terutamanya dalam bidang perakaunan dan kewangan boleh memberikan pengecualian bagi beberapa kertas peperiksaan peringkat awal, sekali gus menjadi batu loncatan meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Sekitar akhir tahun 1990-an ketika Malaysia sedang pulih daripada krisis kewangan Asia, ramai pelajar memilih untuk mengambil ACCA kerana banyak syarikat termasuk firma antarabangsa memerlukan akauntan yang cekap, sekali gus menawarkan peluang kerjaya yang tinggi serta gaji lumayan dengan kenaikan pangkat lebih cepat.
Apatah lagi, pada sekitar tahun 1998 dan 1999, dianggarkan gaji permulaan bagi seorang akauntan bertauliah yang baru menamatkan pengajian adalah sebanyak RM2,500 hingga RM3,500. Satu angka yang agak tinggi pada era tersebut.
Justeru, memanfaatkan peluang yang terbentang, Toh Puan Fauziah belajar dengan penuh tekad dan semangat, mengimpikannya sebagai tiket keluar daripada kemiskinan dan kepayahan hidup.
“Jadi, setiap hari selepas habis bekerja, saya akan bergegas ke kolej yang terletak betul-betul di hadapan Menara Maybank kerana percaya, pendidikan adalah kunci penting menggapai kejayaan.
“Namun, hidup ini sarat kejutan yang tidak diduga. Saya tidak melanjutkan pengajian mahupun memperoleh kelayakan ACCA kerana mendapat peluang berkhidmat sebagai pramugari di syarikat penerbangan terkemuka negara, Malaysian Airlines System (MAS),” ujarnya.
Dalam hidup ini, ada impian yang kita bina sendiri dan ada pula takdir yang ditentukan oleh doa insan yang menyayangi kita. Tawaran itu datang seperti angin yang mengubah arah layar kapal. Toh Puan Fauziah berada di persimpangan antara meneruskan pengajian atau menerima peluang yang sudah di hadapan mata.
Toh Puan Fauziah mengambil keputusan untuk melangkah ke dunia baharu, perjalanan yang bukan lahir daripada citacitanya sendiri, tetapi laluan yang terbentang kerana kasih dan impian seorang ibu.
Ibu ialah insan paling berpengaruh dalam hidupnya, wanita yang menjadi tempat beliau berteduh, berpaut dan menimba hikmah kehidupan. Sebagai seorang anak yang taat, beliau tidak pernah menolak permintaan ibunya, walaupun hati tidak terarah ke bidang penerbangan.
“Cita-cita awal saya sebenarnya adalah untuk menjadi seorang peguam. Tetapi takdir membawa saya ke destinasi lain yang tidak pernah terduga.
“Ibu sering memberi dorongan paling besar kepada saya untuk mencuba bidang ini. Beliau sebenarnya memiliki impian tersendiri yang tidak kesampaian, lalu diwarisi kepada anak-anaknya.
“Ketika ibu membesar di Singapura, beliau sering melihat jiran-jirannya yang berkhidmat sebagai pramugari keluar bekerja. Sejak itu, angan-angan untuk bertugas di awan biru berakar di dalam hatinya,” ceritanya.
Tidak berpeluang mengejar impian itu, ibu Toh Puan Fauziah seterusnya mendorong anak-anaknya untuk menggapai cita-cita terbang tinggi menjelajah ke seluruh dunia itu.
“Pada awalnya ibu menyarankan abang saya, Mohd Faizul Azhar Mohd Sanusi untuk menyertai MAS, namun abang enggan berbuat demikian.
“Ketika peluang temu duga terbuka, ibu dengan penuh harapan menggalakkan saya pula untuk mencuba, katanya seronok menjadi pramugari. Jadi, sebagai anak yang tidak pernah menolak permintaannya, saya dengan rela hati akur.
“Malah sebagai tanda hormat dengan impian ibu, saya menghadiri temu duga dengan penuh keikhlasan dan semangat, walaupun tidak pernah meminati bidang penerbangan apatah lagi bekerja sebagai pramugari,” katanya.
Pada satu pagi yang hening pada bulan November 1999, takdir itu menyapa. Toh Puan Fauziah menghadiri sesi temu duga yang bertempat di Akademi MAS, Kelana Jaya. Dengan penuh debaran, beliau melangkah ke akademi itu, ditemani ibu tercinta yang sentiasa menjadi tulang belakang.
Bangunan akademi berdiri megah, menyambut langkah demi langkah calon pramugari yang penuh harapan. Suasana di ruang temu duga bagaikan medan ujian, setiap senyuman, tutur kata dan gerak tubuh dinilai dengan penuh teliti. Namun, dengan ketenangan yang lahir dari restu seorang ibu, Toh Puan Fauziah berjaya melalui setiap fasa dengan penuh keyakinan dan berjaya ke peringkat seterusnya.
“Sebenarnya saya sangat terkejut kerana berjaya dalam ujian yang dilalui, walaupun langsung tidak pernah menaiki kapal terbang ketika itu. Saya tetap lulus dan diterima,” katanya lagi.
Keesokan harinya, beliau kembali ke akademi untuk temu duga kedua. Hari itu seakan-akan lebih mencabar, tetapi dengan setiap langkah yang diambil, takdir sekali lagi berpihak kepadanya. Beliau berjaya menempuh semua ujian, menewaskan ratusan calon lain yang turut mengimpikan peluang sama.
Tanggal 17 Januari 2000, perjalanan sebenar bermula. Kursus latihan sebagai seorang anak kapal MAS bermula, tempoh tiga bulan yang penuh dengan pelajaran, disiplin dan transformasi diri. Setiap hari di akademi, beliau diajar tentang keselamatan penerbangan, etika layanan, cara menangani kecemasan dan pelbagai ilmu yang menjadikannya lebih daripada sekadar pramugari yang menyambut penumpang.
Daripada seorang gadis yang tidak pernah menyangka akan bertugas di awan biru, Toh Puan Fauziah akhirnya melangkah ke dunia penerbangan dengan kebanggaan dan keyakinan. Begitulah sebuah takdir yang bermula daripada permintaan seorang ibu. Beliau akhirnya memahami bahawa menjadi seorang pramugari bukan hanya tentang kecantikan dan senyuman, tetapi mengenai tanggungjawab besar dalam memastikan keselamatan setiap jiwa di dalam pesawat.
Dunia yang tidak pernah diimpikan, akhirnya menjadi sebahagian besar dirinya. Langit yang dahulu asing akhirnya menjadi sahabat, awan yang tinggi kini menjadi tempat menabur bakti kerana kadangkala, takdir yang dilakar insan tersayang dengan doa berpanjangan adalah anugerah terindah yang tidak pernah diimpikan.