KASIH TAK BERTEPI, CINTA TAK BERPENGHUJUNG

Play
Pause
  • "KASIH TAK BERTEPI, CINTA TAK BERPENGHUJUNG".

DALAM kesibukan kota Kuala Lumpur yang tidak pernah sunyi, tersimpan sebuah kisah yang penuh dengan ketabahan, kasih sayang dan ikatan keluarga yang tidak pernah goyah. Kediaman di Sri Sarawak, Jalan Kenanga Kuala Lumpur menjadi saksi perjalanan hidup Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, abangnya Mohd Faizul Azhar Mohd Sanusi dan tiga lagi adik-beradiknya yang bermula di kediaman kecil di tingkat empat.

Kini berusia 46 tahun, Mohd Faizul sentiasa tersenyum apabila mengingatkan kembali betapa eratnya hubungan beliau dengan Toh Puan Fauziah sejak kecil. Setiap saat yang dilalui bersama-sama adiknya itu, penuh dengan kenangan indah.

“Kerana usia kami tidak jauh beza, hubungan kami berdua sangat rapat. Ke mana sahaja kami pergi, kami pasti akan bersama. Ikatan semakin erat apabila ibu memutuskan untuk memulakan perniagaan kecil di bawah tempat kami tinggal.

“Kami mempunyai banyak kenangan manis yang tidak dapat dilupakan. Salah satunya ketika menyiapkan bahan untuk perniagaan kecil ibu kami. Setiap kali selesai, ibu akan memberi sedikit ganjaran dalam bentuk wang sebagai penghargaan. Kenangan itu masih segar dalam ingatan saya,” ujar Mohd Faizul.

Beliau dan Toh Puan Fauziah sering kali menguji kreativiti dan memperoleh kemenangan. Seiring berlalunya waktu, ketika keluarga mereka berpindah ke Kampung Setia Jaya, Taman Melati, bakat Toh Puan Fauziah semakin bersinar. Di mata Mohd Faizul, Toh Puan Fauziah bukan sekadar seorang yang berbakat tetapi luar biasa dalam banyak hal.

“Beliau umpama bintang yang bersinar dalam keluarga kami. Di sekolah, adik saya cemerlang dalam segala hal daripada trek dan padang hingga permainan tradisional. Antara kami adik-beradik, semangat persaingan memang tinggi, bukan sahaja menang dalam sukan, beliau juga mengungguli bidang akademik.

‘’Pada 1997, beliau terpilih sebagai pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia di SMK Taman Melati. Namun, selepas tamat persekolahan, kehidupan membawa beliau ke jalan lebih luas. Beliau mencuba pelbagai pekerjaan, bekerja sebagai pelayan di kelab sukan dan rekreasi, Club Century Paradise Melawati, menjadi guru sementara di sekolah rendah di Pandan Jaya, bekerja sambilan di Sogo dan juga menjadi penyambut tetamu di Menara Maybank,’’ jelasnya.

MENCAPAI IMPIAN, MENGUBAH TAKDIR

Mohd Faizul berkongsi, setiap pekerjaan Toh Puan Fauziah bukan hanya sekadar langkah untuk mencari rezeki tetapi merupakan batu loncatan memperkukuh hidupnya. Ibu mereka, yang tidak pernah berhenti memberi sokongan, memberi dorongan agar Toh Puan Fauziah mencuba nasib menjadi kru kabin di Malaysia Airlines.

“Ibu kami mendengar tentang peluang di Malaysia Airlines dan menggalakkan adik untuk mencubanya. Menjadi pramugari tidak pernah terlintas di fikirannya tetapi demi ibu, adik saya mengambil langkah tersebut, dan seperti yang ditakdirkan, beliau terpilih.

‘’Saya sangat gembira untuknya. Beliau terbang lebih tinggi daripada kami semua, menemui dunia yang sangat serasi dengan sifat ramahnya, senyuman yang menenangkan, dan sifatnya yang sentiasa ingin membantu orang lain,” katanya yang kini yang bertugas sebagai pegawai polis bantuan di Bank Negara Malaysia.

Kejayaan Toh Puan Fauziah bukan sekadar membawanya ke langit tinggi, tetapi memberi ibu mereka kesempatan melihat dunia dengan mata yang penuh kebebasan.

“Beliau membawa ibu menjelajah dunia, memberi pengalaman yang kami sendiri tidak pernah bayangkan,” kata Mohd Faizul.

Selain itu ujarnya, Toh Puan Fauziah seorang yang tidak pandai duduk diam, sangat rajin dan sentiasa bertenaga walaupun ketika mengandung.

“Bahkan ketika Hari Raya, beliau juga mengambil kesempatan membuat dan menjual kek coklat serta kek marmar (marble) untuk menambah pendapatan,” katanya menegaskan ketabahan inilah yang membentuk diri Toh Puan Fauziah menjadi individu yang kita kenali hari ini.

Ketika Toh Puan Fauziah memberitahu hendak berkahwin semula, Mohd Faizul sangat gembira kerana akhirnya ada seseorang yang akan menjaga adik tersayangnya itu.

“Pada waktu itu, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar sudah bersara dan beliau merancang kehidupan yang tenang sebagai suri rumah.

“Namun, selepas berkahwin, suaminya diberikan tanggungjawab baharu dan dari situlah saya melihat kehidupan mereka menjadi sangat sibuk dengaan pelbagai majlis rasmi. Sebagai abang, sudah tentu saya agak sedih melihatnya kurang waktu rehat. Namun saya berasa bangga melihat adik saya berdiri di megah dan bahagia, sentiasa menyokong pengorbanan dan dedikasi suaminya untuk rakyat Sarawak,” katanya.

Apa yang benar-benar menyentuh hati Mohd Faizul bagaimana rakyat Sarawak menerima adiknya dengan hati terbuka.

“Meskipun dengan kehidupan baharunya, beliau tetap orang yang sama, suka bergurau dan menyakat ibu kami. Hidup kami sentiasa dipenuhi dengan gelak tawa dan sentiasa ada perkara lucu untuk dibualkan.

“Bahkan anak saudara sentiasa menantikan masa untuk bersama-sama beliau kerana kehadirannya membawa kehangatan dan kasih sayang yang indah,” katanya.

IMPIAN YANG MASIH BERSISA

Walaupun telah mencapai banyak perkara, ada satu impian Toh Puan Fauziah yang masih belum tercapai. Menurut Mohd Faizul, adiknya itu sentiasa menginginkan untuk memiliki seorang anak lagi.

“Itulah satu daripada impiannya yang saya tahu belum tercapai,” ujarnya. Bagaimanapun, sebagai abangnya, harapan terbesarnya agar adiknya sentiasa sihat dan bahagia.

“Saya selalu berharap agar adik sentiasa kekal sihat, supaya beliau dapat terus berdiri teguh dan menyokong Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam berkhidmat kepada Sarawak.

“Saya juga berdoa agar kehidupan mereka sentiasa diberkati, terus saling mencintai dan menghargai antara satu sama lain serta menemui kebahagiaan bersama-sama di dunia dan akhirat,” katanya.

BUKAN CERITA BIASA

BAGI Faradila Mohd Sanusi, adik perempuan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, kisah hidup kakaknya bukan hanya sekadar cerita biasa. Ia adalah sebuah kisah yang penuh dengan keindahan, ketegasan dan kasih sayang yang tidak terhingga.

Walaupun sudah menjadi wanita pertama Sarawak, bagi Faradila kakaknya tetap tidak melupakan akar umbi keluarganya.

Bermula zaman kanak-kanaknya, Faradila sudah dapat melihat ciri kepimpinan dalam diri Toh Puan Fauziah.

“Kakak sejak kecil lagi sudah menunjukkan sifat kepimpinan yang sangat matang dan luar biasa,” kenang Faradila dengan penuh rasa terharu.

Sejak usia muda, Toh Puan Fauziah bukan sahaja seorang kakak penyayang, tetapi juga seorang yang sangat bertanggungjawab.

“Kakak sudah terbiasa membantu ibu mengemas, memasak, malah menjual nasi lemak untuk menambah pendapatan keluarga,” ujar Faradila sambil mengenang bagaimana Toh Puan Fauziah sentiasa memastikan setiap anggota keluarga terjaga dengan penuh perhatian.

Seingat Faradila, setiap hari Toh Puan Fauziah akan membawa mereka adik-beradik ke taman untuk bermain malah memastikan segala urusan rumah selesai dengan baik.

“Walaupun masih muda, kakak sudah pandai menguruskan segala hal di rumah. Bagi saya, beliau memang seorang kakak yang luar biasa,” katanya penuh kagum.

Tidak dapat dinafikan, kenangan manis yang terukir bersama tidak akan pernah pudar. Faradila masih ingat dengan jelas, ketika mereka masih kecil, Toh Puan Fauziah sangat suka melukis bunga di dinding rumah.

“Kami berdua akan duduk bersama-sama, kakak melukis dan saya sibuk mewarna. Kami ketawa, berbual-bual dan saya sangat gembira. Itulah detik penuh kebahagiaan yang tidak akan saya lupakan,” katanya.

Lukisan bunga itu kekal menjadi kenangan indah yang terus segar dalam ingatan. “Lukisan itu mungkin sudah tiada, tetapi kenangan itu kekal dalam hati saya selamanya,” tambah Faradila dengan senyuman.

KASIH SAYANG SEHINGGA KE PENGHUJUNG

Dalam perjalanan hidup Toh Puan Fauziah, salah satu sifat yang paling diingat Faradila adalah ketegasan dan sifat baik hati kakaknya.

“Tegas, tetapi tetap penuh kasih sayang. Selalu mengajar kami dengan penuh sabar. Kadang-kadang apabila marah, kakak cuba mengubah suasana itu menjadi lebih ceria. Kami semua akan ketawa selepas itu.

“Saya sangat mengagumi sifat pemurah beliau. Walaupun kakak tegas, senyumannya memberi ketenangan kepada kami semua,” kata Faradila.

Sifat Toh Puan Fauziah yang penuh perhatian ini memberi pengajaran berharga kepada adik-beradiknya untuk berfikir lebih mendalam dalam setiap langkah hidup mereka.

TIDAK PERNAH MENYERAH

Setiap anak muda pasti memiliki impian dan Toh Puan Fauziah tidak terkecuali. Semasa kecil, beliau mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang peguam.

“Kakak memang seorang pelajar cemerlang di sekolah. Beliau sangat aktif dalam pertandingan berpidato, dan cita-citanya sangat besar,” ujar Faradila mengenang impian besar kakaknya itu.

Namun, kehidupan keluarga mereka yang sederhana menghalang impian tersebut daripada menjadi kenyataan.

“Walaupun impian itu tidak tercapai, beliau tetap bangkit dan berjaya dalam bidang lain yang dipilihnya,” kata Faradila dengan penuh rasa bangga.

Impian yang tertunda itu tidak menghentikan langkah Toh Puan Fauziah untuk terus maju dalam kehidupan, membuktikan hidup ini bukan sekadar tentang impian yang tercapai, tetapi tentang bagaimana kita menghadapinya dengan ketabahan dan semangat yang tinggi.

Kehidupan Toh Puan Fauziah tidak pernah terlepas daripada cabaran. Setelah menamatkan persekolahan hingga Tingkatan 5, beliau memutuskan untuk bekerja sebagai pramugari.

“Ibu kami yang memberi dorongan kepada kakak untuk mencari pengalaman bekerja,” jelas Faradila yang masih ingat dengan jelas detik ketika Toh Puan Fauziah menghadiri temu duga untuk menjadi pramugari.

“Kami terkejut melihat ramai calon yang lebih fasih berbahasa Inggeris, tetapi ibu tetap memberi semangat,” katanya.

Toh Puan Fauziah akhirnya berjaya dalam temu duga tersebut dan Faradila tidak dapat menyembunyikan rasa bangga apabila kakaknya tersenyum lebar dan berkata –– Mak, kakak dapat.

CINTA DIRESTUI KELUARGA

Ketika Toh Puan Fauziah memberitahu perkahwinannya dengan Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Faradila tidak pernah berasa ada yang perlu dipersoalkan.

“Yang paling penting bagi saya adalah kebahagiaannya. Ibu juga menerima baik pilihan kakak, kami semua mahu melihat beliau bahagia,” kata Faradila.

Sejak berkahwin dengan Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Toh Puan Fauziah semakin sibuk dengan tanggungjawab baharu, namun Faradila mengakui bahawa kakaknya tidak pernah berubah.

“Kakak masih seperti dulu, tidak pernah melupakan keluarga. Malah setiap hari menghubungi emak.

“Saya tahu saya boleh menghubungi beliau sekiranya menghadapi masalah dan kakak pasti akan membantu. Tidak kira betapa sibuknya, beliau tetap mengutamakan keluarga,” tambah Faradila.

Toh Puan Fauziah tetap kakak yang sama, yang selalu ada untuk adik-beradiknya, memberi sokongan, kasih sayang dan nasihat yang penuh kebijaksanaan.

SEHALUAN DAN SEJIWA

KEHADIRAN Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dalam keluarga bukan sekadar sebagai isteri kepada ayah, tetapi sebagai seorang wanita penyayang yang benar-benar mengambil berat dan menjaga keluarga dengan sepenuh jiwa.

Demikian luahan Sharifah Fariah Syed Junaidi, anakanda pertama kepada Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang berkongsi mengenai peranan besar Toh Puan Fauziah dalam kehidupan mereka sekeluarga.

Fariah menggambarkan Toh Puan Fauziah sebagai figura ibu yang hadir dengan kasih sayang tulus dan keikhlasan.

“Apa yang paling saya kagumi mengenai bonda adalah cara beliau menjaga abah. Apabila beliau menyayangi seseorang, beliau tidak pernah berpura-pura. Bonda benar-benar ikhlas,” katanya.

Bagi Fariah, kasih sayang yang ditunjukkan Toh Puan Fauziah bukan sekadar diluahkan dengan katakata, tetapi terpancar melalui tindakan dan perhatian yang diberikan kepada keluarga.

Antara faktor utama yang membuatkan Toh Puan Fauziah cepat serasi dengan keluarganya ialah personaliti yang sehaluan dan sejiwa dengan keluarga besar itu.

Fariah turut mengakui bukan mudah untuk seseorang menyesuaikan diri dengan sebuah keluarga besar yang sudah lama terbentuk.

Disebabkan itu katanya, beliau sering kali khuatir dengan keadaan bonda.

“Saya sering memerhati bonda, adakah beliau baik-baik sahaja? Namun bonda bukan sahaja boleh menyesuaikan diri, malah memahami keluarga kami secara mendalam.

“Dan banyak kali saya nampak beliau benar-benar boleh menyesuaikan diri dengan baik. Itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan,” katanya lagi.

Fariah turut berkongsi perasaannya sebelum kehadiran Toh Puan Fauziah, beliau kerap dibelenggu kerisauan memikirkan siapa yang akan menemani abah apabila anak-anak semuanya sibuk dengan kerjaya dan kehidupan masing-masing.

“Tapi apabila bonda hadir dalam keluarga kami, kebimbangan itu hilang sebab saya tahu beliau ikhlas. Saya nampak cara beliau menyayangi ibunya, adik-beradiknya –– semua itu menunjukkan kasih sayangnya bukan dibuat-buat,” ujarnya.

Beliau turut menambah, keikhlasan Toh Puan Fauziah terserlah melalui tindakan dan sikapnya yang tidak pernah memaksa diri untuk diterima oleh keluarga itu.

“Bonda tidak pernah memaksa dirinya diterima dalam keluarga ini. Beliau tahu waktu untuk mendekati kami dan waktu untuk memberi ruang. Itu membuatkan kami lebih mudah menerima bonda,” katanya lagi.

Gelagat ceria dan tawa riang Toh Puan Fauziah menjadi antara kenangan manis yang sukar dilupakan oleh Fariah.

Menurutnya, Toh Puan Fauziah memiliki aura positif yang sering menceriakan suasana terutama ketika keluarga sedang berdepan tekanan.

“Bonda ini suka ketawa. Beliau memang periang. Apabila kami berkumpul dan sedang sedih mengenai sesuatu perkara, bonda secara spontan akan menceriakan suasana,” katanya mengimbau kembali momen indah bersama.

Mengimbas kembali perkenalan awal dengan Toh Puan Fauziah, Fariah secara jujur mengakui dirinya bukanlah seorang yang mudah membuka pintu hati untuk orang baharu.

“Saya tidak mudah jatuh sayang namun selagi abah bahagia, saya terima,” jelasnya. Penghormatan dan kasih sayang Toh Puan Fauziah terhadap suaminya, bukan sahaja terserlah dalam hubungan mereka sebagai pasangan malah sentiasa berusaha menjaga nama suami tercinta.

“Bukan hanya menjaga abah sebagai suami tetapi beliau juga menjaga nama baik abah. Saya selalu melihat bonda tunduk tanda hormat memandangkan susuk abah sebagai Tuan Yang Terutama. Apabila saya melihat bonda menjadi isteri yang mengangkat darjat suami, saya rasa semua orang patut belajar daripadanya,” ujar Fariah.

Fariah menambah, Toh Puan Fauziah seorang yang sangat mengambil berat mengenai setiap ahli keluarganya. Bonda selalu tanya –– sudah makankah belum? Sama seperti Almarhumah mummy saya dulu, sehinggakan teman di pejabat pun menyedari perwatakan bonda.

“Mereka pun tahu, kalau keluar makan mesti tanya saya –– sudah memberitahu bondakah?” katanya.

Hubungan Fariah dengan Toh Puan Fauziah langsung tidak mencerminkan stereotaip ibu tiri yang sering digambarkan dalam drama atau cerita rekaan. Sebaliknya, ia terbina atas asas kasih sayang, penerimaan dan rasa hormat yang mendalam.

“Tidak pernah pun kami membezakan perasaan terhadap bonda. Kami tahu, selagi abah bahagia, itu yang paling penting,” tegasnya.

Menurutnya, sepanjang hampir tiga tahun mengenali Toh Puan Fauziah, beliau semakin yakin bahawa abah memilih wanita yang tepat untuk mendampingi hidupnya.

“Cara beliau menjaga abah, mengingatkan saya kepada Almarhumah mummy. Kadang-kadang cara bercakap, perwatakan yang hampir serupa,” katanya.

Dalam setiap keluarga, hubungan antara adik-beradik sering membentuk dinamik yang unik dan kadangkala mencabar — lebih-lebih lagi apabila jurang umur dan jantina turut memainkan peranan.

Bagi Fariah, kehadiran adik bongsu lelaki mereka, Muhammad Fida’yi Tasnim, memberi warna baharu dalam kehidupan tiga beradik perempuan ini.

“Kami tiga beradik perempuan, jadi apabila ada adik lelaki, saya rasa itu lebih baik,” katanya jujur.

SEROJA MEWANGI DI TAMAN HATI

BONDA adalah sekuntum mawar di taman kehidupan saya, yang ingin saya jaga sebaik saya menjaga Almarhumah mummy dahulu,”kongsi Sharifah Nong-Jasima Syed Junaidi, anakanda kedua kepada Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Kata-kata ini mencerminkan kasih sayang mendalam Nong terhadap Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, yang bukan sekadar teman hidup kepada ayahandanya, tetapi juga hadir sebagai penawar rindu yang tidak pernah berpenghujung.

Mengimbau detik pertama pertemuan dengan Toh Puan Fauziah, Nong berkata November 2022 menjadi tarikh yang amat bermakna dalam hidupnya.

“Itulah kali pertama saya bertemu dengan bonda. Sebelum pertemuan itu, hati saya resah dan fikiran bercelaru.

“Segala-galanya terasa tidak menentu. Namun, segalanya berubah selepas saya bertentang mata dengannya.

“Tanggapan pertama saya, beliau seorang yang anggun. Tidak menghairankan kerana bonda pernah berkhidmat sebagai kru kabin di Malaysia Airlines,” ujar Nong mengimbau kembali kenangan itu.

Sejak saat itu, ketidakpastian Nong terhadap Toh Puan Fauziah perlahan-lahan bertukar menjadi kasih yang mekar.

“Setiap kali saya memerhatikannya, rasa suka itu tumbuh sedikit demi sedikit hingga saya tidak sabar ingin memberitahu abah bahawa saya menyokong pilihannya.

“Paling mencuit hati, saya menukar nama beliau dalam telefon daripada kawan abah kepada teman wanita abah hanya selepas sehari mengenalinya.

“Ketika itu juga saya sedar, saya telah menemui seorang sahabat baharu yang akan menjadi sebahagian daripada hidup saya,” katanya.

Tidak lama selepas itu, Nong merancang satu ‘jenayah kecil’ bersama-sama kakak sulungnya, Sharifah Fariah Syed Junaidi.

“Keesokan harinya, saya dan kakak telah ‘menculik’ bonda keluar makan tengah hari bersama, tanpa pengetahuan abah kerana saya tidak sabar untuk memperkenalkannya kepada Fariah.

“Saya masih ingat bagaimana saya dimarahi abah atas perbuatan nakal itu, namun di sebalik tegurannya, saya hanya rasa bahagia kerana abah telah menemui insan yang melengkapkan hidupnya,” jelas Nong.

Menurut Nong lagi, sifat keibuan Toh Puan Fauziah terserlah sejak awal dan keprihatinannya menyentuh hati seluruh keluarga.

Kata Nong, ketika beliau dan suaminya memandu ke Sibu, Toh Puan Fauziah kerap menghubungi untuk bertanya lokasi dan memastikan mereka berada dalam keadaan baik.

“Saat itu, saya sedar bahawa saya sudah bersedia menerima beliau sebagai ibu saya,” ujarnya penuh syukur.

Tidak terhenti di situ, Nong turut berkongsi satu memori menyentuh hati yang menggambarkan keprihatinan mendalam Toh Puan Fauziah.

“Baru-baru ini, saya terlupa bahawa hari sebelumnya merupakan ulang tahun kematian Almarhumah mummy saya.

“Keesokan harinya, saya pergi ke kediaman abah untuk makan tengah hari. Saya memberitahu bonda bahawa saya ingin menziarahi pusara mummy.

“Tanpa diduga, bonda datang menghampiri dan memeluk saya erat. Beliau tidak melepaskan pelukan itu sehinggalah saya benar-benar tenang dan berhenti menangis,” katanya dalam nada hiba.

Nong menambah, pada mulanya beliau tidak menangis namun pelukan dan kata-kata bonda telah meruntuhkan segala tembok emosi.

“Awak anak yang baik, bukan sahaja kepada bonda tetapi juga kepada Almarhumah mummy awak.

“Kata-kata itu membuatkan air mata saya mengalir deras kerana pelukan bonda terasa seperti mengisi ruang kosong dalam jiwa saya.

“Walaupun beliau bukan mummy, kasih sayang yang diberikan terasa sama kuatnya,” luahnya dengan penuh rasa.

Awal hubungan mereka tidaklah mudah kerana jurang usia yang tidak jauh dan panggilan yang kekok menjadi cabaran untuk mencari titik persefahaman. Namun masa menjadi jambatan yang menghubungkan hati mereka.

“Pada mulanya, saya rasa janggal melayannya seperti mummy kerana usia kami tidak begitu jauh beza. Saya buntu, tidak tahu sama ada hendak memanggil beliau sebagai apa, tiada yang rasa sesuai.

“Tetapi masa menyembuhkan segalanya. Saya masih ingat menemani bonda bermalam di hospital beberapa hari kerana mengalami hernia cakera tulang belakang.

“Saya tidur dalam keadaan separa sedar seperti yang saya lakukan kepada mummy dahulu,” katanya.

Tambah Nong, pengalaman itu membuatkan hubungan mereka menjadi lebih akrab.

“Dulu, saya mula rapat dengan mummy sewaktu menjaganya di hospital selama dua tahun. Maka, saya ingin lakukan perkara yang sama untuk bonda dengan menjaganya sepenuh hati,” kongsinya.

Bagi Nong, kasih terhadap Toh Puan Fauziah bukan sekadar penghormatan, tetapi kasih tulus yang tiada galang gantinya.

“Saya tidak mencintainya kurang daripada saya menyayangi mummy. Bagi saya, bonda sekuntum bunga mawar di dalam taman hidup yang ingin saya jaga sebaik saya menjaga mummy,” akhiri Nong penuh rasa.

BONDA BERTAKHTA DI SANUBARI KAMI

ADA pertemuan yang ditentukan takdir, hadir tanpa dijangka dan mengubah seluruh naratif kehidupan seseorang. Bukan kerana gemerlap cahaya atau sorakan ramai tetapi kerana hadirnya satu jiwa yang membawa ketenangan, kelembutan dan kasih yang menyembuhkan ruang kosong dalam hati.

“Saya tidak pernah menyangka, makan malam yang saya rancang untuk bersama abah menjadi titik mula kepada ikatan hati yang begitu bermakna,” ujar Sharifah Nuril Barieyah Syed Junaidi, anakanda ketiga kepada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Saat itu, ayahandanya memperkenalkan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi kepada Nuril dan suaminya, David James Foley dan seterusnya mencipta satu detik kecil yang menjadi permulaan besar.

Pada mulanya, ia kelihatan seperti malam biasa namun di sebalik kebiasaan itu, Tuhan menyusun pertemuan dengan seorang wanita yang membawa makna besar dalam kehidupan Nuril.

“Pun begitu, tiba-tiba abah menghubungi saya memberitahu beliau membawa kawan untuk turut serta makan malam.

“Saat itu saya berbisik di dalam hati, bukankah ini sepatutnya makan malam bersama keluarga,” katanya.

Saat pertama kali bersua dengan Toh Puan Fauziah, Nuril terpikat dengan keanggunan dalam diamnya. Susuk Toh Puan Fauziah tampak tenang dan penuh kelembutan.

“Kami berdua saling bersalaman dan bonda memperkenalkan dirinya kepada saya dan suami,” jelas Nuril.

Namun, di sebalik kesederhanaan tutur katanya, tersingkap kehalusan budi pekerti yang mencuri perhatian dan menyentuh jiwa Nuril.

Dalam pertemuan itu, Nuril perasan sikap Toh Puan Fauziah yang sangat mengambil berat apabila memastikan Nuril dan suami sudah mengambil makanan terlebih dahulu barulah beliau akan makan.

“Tindakan itu, walau tampak kecil, sedikit sebanyak membuatkan saya yang baharu kali pertama mengenalinya terasa tenang dan selesa dengan kehadirannya,” kongsinya lagi.

Hari-hari yang berlalu menyaksikan hubungan antara Nuril dengan Toh Puan Fauziah berkembang mekar seperti kuntuman bunga yang perlahan-lahan membuka kelopaknya.

Rasa kekok yang pernah hadir perlahan-lahan menghilang, diganti kemesraan dan keakraban apabila mereka mula menemui sisi kehidupan yang boleh dikongsi bersama.

“Ketika melihat bonda rapat dengan kakak saya Sharifah Nong-Jasima, saya pun mula terbuka hati untuk mengenali beliau lebih dekat. Bonda sebenarnya seorang yang ceria dan suka bergurau.

“Kadang-kadang, waktu saya, kakak dan abah sedang bergurau, bonda hanya tersenyum sambil menggelengkan kepala berkata, eh budak-budak ini… ketika melihat perangai kami,” katanya, saat mengimbau momen penuh kenangan itu.

Toh Puan Fauziah seorang wanita yang perlahan-lahan membuka ruang dalam hati Nuril tetapi bukan dengan kata-kata manis sebaliknya membuktikan kasih sayang yang ikhlas.

Bagi Nuril, kehadiran Toh Puan Fauziah bukan sekadar seorang wanita dalam hidup ayahandanya tetapi memberi sinar cahaya baharu yang menyinari rumah dan keluarga mereka.

Rumah yang dulunya sepi, kini dipenuhi dengan gelak tawa dan kehangatan kasih sayang.

Keceriaan Toh Puan Fauziah tidak hanya dirasakan oleh mereka, tetapi turut terserlah dalam hubungan istimewanya dengan anak Nuril iaitu Feona Elsie Norjannah Foley.

“Tidak dapat saya nafikan, hubungan antara bonda dengan Feona amat rapat. Setiap kali abah dan bonda datang ke Kuala Lumpur, saya akan pastikan Feona berpeluang bertemu dengan mereka,” ujarnya.

Nuril turut berkongsi setiap kali Feona bangun tidur, soalan pertama yang keluar daripada mulut anak kecil itu –– “Mana nenda? Saya hendak nenda,” kongsi Nuril. Itulah bukti kasih yang tidak dibuat-buat. Kasih yang hadir dari hati yang ikhlas, dari jiwa ke jiwa.

“Walaupun kami tinggal berjauhan, saya sentiasa berkongsi perkembangan terkini Feona termasuk menghantar gambar dengan bonda,” katanya dengan penuh kasih.

Dan hari ini, yang dahulunya hanya sekadar makan malam biasa, kini menjadi satu titik penting dalam naratif kehidupan mereka.

Toh Puan Fauziah hadir memberi susuk seorang ibu, teman dan teladan kepada Nuril.

Bukti bahawa kasih sayang yang tulus tidak mengenal batas waktu, tidak bergantung pada darah tetapi hadir daripada hati yang terbuka dan jiwa yang bersedia untuk menyayangi.

IBU PERMAISURI HIDUPKU

DI dunia ini, ada banyak cerita tentang pengorbanan, namun tidak ada yang lebih besar daripada pengorbanan seorang ibu. Setiap anak pasti tahu, di balik senyum ibu, ada banyak cerita pengorbanan tidak tercatat dalam buku sejarah.

Seorang ibu bukan hanya pelindung, tetapi juga pejuang dalam senyap. Pengorbanannya melampaui waktu dan ruang, memberi tanpa menghitung dan mengasihi tanpa syarat. Bagi Muhammad Fida’yi Tasnim, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi seorang ibu yang luar biasa, penuh dengan kasih sayang, namun tegas dalam prinsipnya.

‘’Di rumah, tawa dan gurauan sentiasa mengiringi setiap tutur katanya, tetapi apabila di khalayak ramai, beliau tahu bagaimana mengekalkan kewibawaan, menjaga tingkah laku dan penampilan diri.

‘’Bonda suka membuat kami ketawa. Tetapi apabila berada di khalayak ramai, bonda sentiasa menjaga tingkah lakunya dan bersikap tegas. Bonda tahu bila masa untuk bergurau dan bila masa untuk serius, itulah resipi yang menjadikan beliau seorang ibu yang luar biasa,” katanya.

KENANGAN MANIS BERSAMA BONDA

Bagi Tasnim, kenangan bersama ibunya, Toh Puan Fauziah adalah satu anugerah yang tak ternilai.

Sejak kecil, Toh Puan Fauziah sentiasa ada untuknya, memberi kasih sayang yang tak pernah berbelah bahagi.

“Seingat saya ketika kecil, setiap pagi saya selalu susah bangun untuk ke sekolah. Bonda akan memberikan gula-gula sebelum saya berangkat dan dengan tangisan yang tidak dapat ditahan, saya akan naik van dan pergi ke sekolah. Tetapi yang pasti, setiap kali balik sekolah, bonda akan beri saya gula-gula lagi.

“Dan apabila saya pulang dari sekolah, saya tahu bonda akan menyambut saya dengan senyuman dan aroma masakan yang begitu menyelerakan.

‘’Bonda bukan sahaja pandai memasak, malah salah satu hidangan kegemaran saya adalah tart keju buatannya,” katanya.

Menurut Tasnim, daripada banyak kenangan bersama bonda apabila beranjak usia remaja, yang paling diingati saat mengikuti Toh Puan Fauziah bekerja di Jepun. Mereka meluangkan masa selama tiga hari dua malam di negara matahari terbit itu.

‘’Kami menonton animasi yang hanya dapat ditonton di Jepun dan menghabiskan masa di kedai barangan terpakai untuk mencari barang-barang menarik, itulah kenangan sukar untuk dilupakan.

“Ketika COVID-19 melanda dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia, kami berdua juga banyak menghabiskan masa bersama, menonton animasi dan sejak itu, bonda minat untuk menonton animasi,’’ katanya.

Walaupun Toh Puan Fauziah sering dikenali sebagai seorang yang sangat sibuk dengan tugasnya, ada sisi lain pada dirinya yang tidak ramai yang tahu.

Di sebalik segala kesibukan dan tanggungjawab besar yang digalas, Tasnim berkata, Toh Puan Fauziah mempunyai minat yang jarang sekali dikongsikan kepada orang ramai.

“Bonda sangat suka mengemas. Setiap kali beliau melihat sesuatu yang tidak tersusun, beliau akan segera mengaturnya semula.

‘’Setiap kali saya mengalihkan pen sedikit sahaja, bonda pasti akan memberikan pandangan yang penuh erti.

‘’Ia seperti isyarat halus untuk mengingatkan saya agar meletakkan semula pen itu di tempat asalnya, walaupun tanpa perlu mengucapkan sepatah kata pun,’’ kata Tasnim secara berseloroh.

Menurut Tasnim, sejak kecil Toh Puan Fauziah sudah mengajarnya nilai hidup yang sangat mendalam. Antara pesanan bonda yang sehingga kini masih dipegang –– buat baik berpada-pada, jahat jangan sesekali.

‘’Saya begitu tersentuh melihat bagaimana bonda tidak hanya berbicara tentang kebaikan, tetapi mengamalkannya.

Walaupun kadang-kadang hidup tidak mudah, bonda tetap menghulurkan tangan, bersedekah tanpa berfikir panjang, memberi walau dalam kesempitan.

‘’Bonda wanita luar biasa, bukan hanya sebagai isteri kepada Yang di-Pertua Negeri, tetapi juga sebagai ibu yang penyayang. Dalam setiap peranannya, bonda bijak menyeimbangkan segala-galanya, meskipun dengan beban tugas yang berat.

‘’Bonda tidak pernah melihat cabaran itu sebagai masalah. Sebaliknya, bonda merupakan inspirasi bagi saya bagaimana menguruskan tanggungjawab dalam keluarga dengan penuh dedikasi dan kasih sayang,” luahnya.

Tambah Tasnim, jika diminta untuk menggambarkan bonda dalam tiga perkataan, beliau pasti memilih –– pengasih, prihatin dan cantik. Baginya bonda lambang kasih sayang yang tulus dan pengorbanan tanpa henti.

Toh Puan Fauziah susuk ibu yang prihatin kerana sentiasa mengambil berat dan lebih mengutamakan keluarga daripada dirinya sendiri

SRIKANDI YANG CANTIK

‘’Dan sudah tentu, bonda ialah wanita yang cantik, bukan hanya kerana kecantikan luarannya tetapi juga kerana hatinya yang tulus. Bonda seorang srikandi dalam kehidupan kami, yang selalu ada untuk memberikan bantuan dan kasih sayang tanpa mengira keadaan.

‘’Setiap kali saya solat, doa saya sentiasa ada untuk bonda. Saya berdoa untuk bonda setiap hari, mengucapkan terima kasih kerana melahirkan saya ke dunia ini.

“Saya akan terus memberikan kasih sayang saya sepenuhnya kepada bonda tanpa henti. Bonda adalah hidup saya.

‘’Bonda membawa makna yang mendalam dalam hidup saya. Saya bersyukur kerana dikurniakan seorang bonda yang luar biasa,” katanya.