PENYULUH HATI SUKARELAWAN

Play
Pause
  • "PENYULUH HATI SUKARELAWAN".

DALAM kesibukan dunia yang semakin moden, manusia berlumba-lumba mengejar kejayaan. Bangunan pencakar langit berdiri megah, jalan-jalan sibuk dengan kenderaan dan kota metropolitan berdenyut dengan ritma kehidupan yang pantas untuk mengejar kekayaan.

Namun, di sebalik gemerlap kota yang tidak pernah tidur itu, masih ada mereka yang hidup dalam bayang-bayang, terpinggir, tersepit dalam kesusahan dan menunggu tangan ikhlas menghulurkan bantuan.

Di sinilah hadirnya susuk seperti Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, seorang wanita yang mempunyai jiwa besar dalam kerja kemasyarakatan. Beliau tidak sekadar bersimpati, tetapi bertindak aktif turun ke lapangan, merasai denyut nadi masyarakat dan membantu dengan sepenuh hatinya.

Di sebalik senyuman manis dan kelembutan tutur kata, beliau menyimpan sebuah hati yang sarat dengan kasih sayang dan kepedulian.

Perjalanan hidupnya bukti bahawa seorang wanita boleh berdiri teguh dengan keperibadian yang murni, walau di mana pun takdir membawanya. Dengan langkah yang tidak pernah berhenti, beliau terus menyusuri kehidupan masyarakat dengan satu pegangan — tangan yang memberi tidak akan pernah kosong dan hati yang ikhlas tidak akan pernah kekeringan kasih sayang.

Masyarakat mungkin mengenalinya sebagai bekas pramugari yang telah mengabdikan diri selama lebih dua dekad dalam industri penerbangan. Namun di luar seragam anggun itu, Toh Puan Fauziah adalah insan yang tidak pernah jemu menghulurkan tangan kepada golongan memerlukan, khususnya ketika dunia dilanda pandemik COVID-19.

Malaysia, seperti seluruh dunia, dilanda wabak yang membunuh jutaan nyawa itu pada awal tahun 2020, yang membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelbagai langkah sekatan. Sepanjang tempoh ini, kru penerbangan yang kebanyakannya tidak dapat bertugas akibat pengurangan operasi penerbangan, memainkan peranan penting dalam usaha negara menangani pandemik.

Ramai kru penerbangan daripada syarikat seperti Malaysia Airlines (MAS), AirAsia, Malindo Air dan Firefly yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan gaji menyumbang sebagai sukarelawan dalam pengagihan makanan dan bantuan serta menyertai sukarelawan di pusat pemberian vaksin. Mereka membantu dalam pendaftaran penerima vaksin, menguruskan aliran orang ramai dan memberikan maklumat kepada masyarakat dengan kemahiran komunikasi yang dimiliki.

Toh Puan Fauziah juga tidak ketinggalan, jiwa besarnya tidak sanggup hanya berpeluk tubuh tanpa tampil membantu mereka yang terkesan. Melalui MH Ranger MAS, sebuah badan amal di bawah syarikat penerbangan tempatnya berkhidmat, beliau mula terlibat secara aktif dalam kerja-kerja kebajikan.

Dari lorong kota hingga ke perkampungan terpencil, dari pusat vaksinasi hingga ke dapur penyediaan makanan, langkahnya menghulurkan bantuan tidak pernah terhenti. Baginya, kehidupan bukan sekadar mengejar kejayaan tetapi juga tentang memberi.

Ketika pandemik COVID-19 melanda, lapangan terbang yang dahulunya riuh dengan derapan kaki para pengembara menjadi sunyi. Pesawat tersadai di terminalnya sementara beribu-ribu kru penerbangan yang selama ini terbang tinggi hanya mampu duduk bersabar menunggu situasi kembali seperti biasa.

Sementara Toh Puan Fauziah tidak betah berpeluk tubuh. Ketika Malaysia Airlines meminta sukarelawan dalam kalangan anak kapal untuk membantu PPV, Toh Puan Fauziah tanpa ragu menghulurkan tangan dan turun ke lapangan.

“Pelibatan saya dalam MH Ranger MAS bermula apabila pihak syarikat minta pertolongan daripada kru penerbangan untuk menyertai operasi mengendalikan pemberian vaksin COVID-19 kepada masyarakat.

“Ketika itu tidak banyak penerbangan dan saya tidak mahu duduk diam tanpa melakukan sesuatu yang bermakna. Jadi, saya mengambil peluang untuk membantu kerana tiada aktiviti mahupun kerja lain yang dapat dilakukan,” katanya dengan penuh rendah hati.

Memilih untuk bertugas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), salah satu lokasi utama pemberian vaksin. Hari-harinya di sana tidak pernah sunyi.

TIDAK PERNAH LETIH MEMBERI

Setiap pagi, beliau menyarung jaket sukarelawan dan bersedia menghadapi ratusan, malah ribuan masyarakat yang hadir untuk mendapatkan imuniti perlindungan daripada virus yang meragut nyawa.

Melihat orang ramai datang dengan pelbagai perasaan, ada yang hadir dengan wajah resah, ada yang cemas, ada yang tidak tahu bagaimana prosesnya dan tidak kurang mereka yang takut pada suntikan. Toh Puan Fauziah mendekati mereka dengan senyuman, memberi kata-kata yang menenangkan.

Beliau sedar bahawa dalam keadaan tegang, sedikit kelembutan boleh memberikan kelegaan yang besar. Dengan penuh kesabaran, beliau menenangkan mereka dengan kata-kata semangat.

Ketika ramai merungut tentang kesulitan hidup akibat perintah sekatang, di samping kebimbangan dengan penularan wabak, beliau melihat semua itu sebagai satu anugerah peluang untuk membantu.

Walau sekadar menyusun borang, memberi panduan atau sekadar mengusap bahu seseorang yang gelisah.

Bukan itu sahaja, pandemik yang menyebabkan banyak syarikat mengalami kekurangan tenaga kerja termasuk Brahim’s Catering, yang bertanggungjawab menyediakan makanan dalam bagi penerbangan MAS, Toh Puan Fauziah sekali lagi tampil.

Melalui badan amal itu, beliau tanpa segan silu menyingsing lengan baju membantu di bangunan sokongan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Daripada seorang yang biasa menghidangkan makanan dengan penuh elegan di kabin kapal terbang, beliau bertugas di dapur besar dalam keadaan yang sibuk.

Toh Puan Fauziah menyedari pandemik bukan sekadar ujian kesihatan tetapi juga cabaran ekonomi. Ramai kehilangan pekerjaan, kehilangan punca rezeki dan sukar mendapatkan sesuap makanan untuk keluarga.

Beliau menyaksikan sendiri penderitaan yang membungkam. Ada keluarga yang terpaksa bercatu makanan, ada anak-anak yang menangis kelaparan. Di Kolej Tuanku Abdul Rahman (TAR), beliau diberitahu bahawa ada insan yang tidak makan berhari-hari kerana ketiadaan wang.

Menerusi hubungan kerja-kerja kebajikan dengan Pejabat Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Toh Puan Fauziah berjaya mendapatkan dana bantuan makanan untuk mereka yang terputus bekalan

“Saya mendapat tahu daripada adik saya, Faradila Mohd Sanusi, bahawa ada kakitangan Kolej TAR yang terpaksa bercatu beras kerana langsung tidak mempunyai wang. Lebih menyedihkan, ada yang tidak makan selama beberapa hari.

“Ya Allah, ketika itu saya berdoa agar dipermudahkan urusan dan saya cuba memohon bantuan daripada mereka yang dapat menghulurkan tangan. Alhamdulillah, Tun yang ketika itu merupakan seorang menteri kabinet dengan penuh keikhlasan sedia membantu.

“Bantuan makanan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ketika itu, saya gunakan untuk penduduk di Kampung Setia Jaya serta kakitangan Kolej TAR, termasuk tukang bersih dan tukang kebun,” imbasnya kembali.

Setiap bungkusan beras, setiap pek makanan yang dihulurkan, bukan sekadar sumbangan. Tetapi juga sinaran harapan daripada mereka yang peduli dan ingin melihat masyarakat terus berjuang mengharungi pahit getir dugaan dunia.

“Melihat mereka menerima makanan dengan wajah penuh kesyukuran, saya rasa sebak. Kadangkala, kita tidak sedar bahawa sedikit bantuan adalah sinar harapan buat mereka yang benar-benar susah,” luahnya dengan penuh emosi.

Bukan hanya ketika pandemik COVID-19, Toh Puan Fauziah juga tidak ketinggalan dalam misi bantuan bencana. Ketika Shah Alam, Selangor dilanda banjir lumpur yang dahsyat, beliau turun padang dan berjalan di celahcelah lumpur yang menenggelamkan rumah penduduk.

Beliau melihat wajah-wajah sugul mereka yang kehilangan tempat berteduh dan musnah harta benda. Dengan penuh empati, beliau menghulurkan bantuan seperti pakaian, makanan dan kata-kata penguat semangat.

“Mereka bukan sekadar memerlukan bantuan fizikal, tetapi juga sokongan emosi. Mereka perlukan orang yang mendengar, memahami dan meyakinkan bahawa semua ini akan berlalu,” katanya.

Jiwa Toh Puan Fauziah sentiasa terpaut pada kepentingan membantu mereka yang memerlukan. Seorang wanita yang hatinya dipenuhi dengan kasih sayang, keprihatinan dan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat. Bagi beliau, budaya sukarelawan bukan sekadar tentang memberi, ia mengenai pembentukan jiwa prihatin. Beliau inginkan budaya tersebut diperkukuhkan di negeri ini.

Tidak hanya hadir dalam keadaan bencana, sukarelawan diperlukan dalam apa jua situasi. Sama ada di medan perang mahupun di luar zon peperangan, semangat sukarelawan tetap relevan dalam kehidupan seharian. Di kampung, di bandar besar, di daerah terpencil, selalu ada insan yang memerlukan bantuan. Kadangkala, keperluan itu bukan dalam bentuk wang atau makanan tetapi perhatian dan kasih sayang.

SUKARELAWAN JAMBATAN HARAPAN

“Kita selalu berfikir sukarelawan itu perlu menyertai organisasi besar. Tetapi sebenarnya, sukarelawan boleh bermula daripada sesuatu yang kecil seperti membantu jiran sakit, membersihkan kawasan kejiranan atau sekadar bertanya khabar kepada seseorang yang sunyi.

“Di negara maju, konsep sukarelawan diperluaskan kepada penjagaan alam sekitar. Sebagai contoh di pantai-pantai peranginan, ada kumpulan sukarelawan yang mengutip sampah walaupun sepatutnya tugas itu dilakukan oleh pihak majlis perbandaran.

“Namun, mereka memahami bahawa setiap individu mempunyai tanggungjawab terhadap bumi ini. Kita tidak boleh serahkan segalanya kepada kerajaan,” katanya.

Sering kali kita terlepas pandang bahawa dalam keghairahan mengejar impian dan kekayaan, ada insaninsan yang tertinggal di belakang. Mereka bukan tidak mahu melangkah ke hadapan tetapi kaki terikat dengan belenggu kehidupan yang sukar. Ada anak-anak kecil yang tidur dalam kelaparan, ada warga emas yang menjalani sisa hidup dalam kesunyian, ada pekerja yang terpaksa bercatu makanan kerana gaji tidak mencukupi.

Toh Puan Fauziah sedar bahawa walau sehebat mana pun kerajaan berusaha, tetap akan ada golongan yang terpinggir. Bukan kerana terlepas pandang, tetapi kerana cabaran yang luas dan tanggungjawab terlalu banyak. Di sinilah pentingnya para sukarelawan, mereka yang sanggup meluangkan masa dan tenaga bukan untuk keuntungan diri, tetapi demi kesejahteraan masyarakat.

“Saya percaya, dalam dunia yang serba laju ini, kita harus belajar untuk berhenti seketika, melihat ke kiri dan ke kanan. Kadangkala kita terlupa bahawa masih terdapat golongan yang ketinggalan dan memerlukan perhatian.

“Mungkin di sebelah kita ada seseorang yang sedang menahan lapar atau menanti bantuan. Jika kita hanya sibuk mengejar kehidupan sendiri, siapa yang akan membantu mereka?” katanya dengan penuh perhatian.

Toh Puan Fauziah turut percaya bahawa pergerakan pengakap dan persatuan pandu puteri memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak muda supaya menjadi insan yang bertanggungjawab kepada masyarakat.

“Dalam falsafah pengakap, terdapat tiga prinsip utama iaitu kepercayaan kepada Tuhan, kepercayaan kepada kepimpinan dan kepercayaan kepada undang-undang pengakap.

“Saya percaya bahawa nilai ini jika dipupuk sejak kecil, akan melahirkan masyarakat yang lebih prihatin dan penyayang,” kata beliau.

Pengakap dan persatuan pandu puteri memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk sahsiah dan keperibadian anak-anak muda. Dengan nilai disiplin, kepimpinan dan semangat kerjasama yang diterapkan dalam pelbagai aktiviti, persatuan ini menjadi medan pendidikan berkesan dalam melahirkan insan yang bertanggungjawab kepada masyarakat.

Dalam dunia yang semakin mencabar, anak-anak muda perlu dibekalkan dengan kemahiran insaniah yang kuat agar mereka dapat menjadi pemimpin yang bertanggungjawab dan beretika. Persatuan ini menyediakan platform kukuh untuk mereka membangunkan sahsiah diri, nilai kepimpinan serta kesedaran sosial, bagi melahirkan insan berintegriti, berdisiplin, bertanggungjawab serta mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi.