22 TAHUN TERBANG DI AWAN BIRU
SEAWAL usia mudanya yang baru memasuki 20 tahun, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi sudah mula berkhidmat sebagai pramugari, satu profesion yang menuntut ketangkasan, disiplin serta keupayaan memahami keperluan dan emosi manusia.
Selama 22 tahun beliau terbang di awan biru, melalui pelbagai pengalaman pahit manis yang penuh warna-warni. Cabaran dan pengembaraan kerjaya yang membentuk diri beliau hari ini. Baginya, setiap penerbangan bukan sekadar perjalanan fizikal tetapi penuh dengan 1,001 cerita ragam manusia, mengajar erti kehidupan sebenar.
Ada momennya penuh keceriaan, tatkala menyaksikan penumpang yang pertama kali menaiki kapal terbang dengan penuh keterujaan. Ada juga saat-saat mencabar seperti ribut yang menggoncang pesawat, penumpang yang beremosi dan penat datang tanpa kompromi. Bagi beliau, semua ini adalah pengalaman berharga yang menjadikan dirinya lebih matang dan menghargai setiap detik kehidupan.
BOLEH CERITAKAN PENGALAMAN AWAL TOH PUAN BERKHIDMAT SEBAGAI PRAMUGARI?
Pengalaman lebih dua dekad menjadi pramugari benar-benar mengubah hidup saya. Pada mulanya, saya hanya memenuhi permintaan ibu untuk menghadiri temu duga tanpa minat terhadap dunia penerbangan. Tetapi akhirnya, saya jatuh cinta dengan pekerjaan ini. Ia bukan sekadar tugas melayani penumpang tetapi tentang kesabaran, ketahanan, keyakinan dan kebolehan menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi.
Kerjaya ini juga memberi saya peluang untuk melihat dunia, belajar budaya baharu dan bertemu ramai orang daripada pelbagai latar belakang. Sejujurnya, pengalaman ini terlalu berharga dan sukar untuk ditukar ganti.
Saya masih ingat dengan jelas situasi ketika bertugas dalam penerbangan sulung, dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang. Waktu itu saya sudah berumur 20 tahun, namun belum pernah sekali pun merasai pengalaman menaiki kapal terbang.
Saat melangkah masuk ke pesawat, segalanya terasa asing. Bahkan saya berasa mual dan pening. Segala teori yang dipelajari selama tiga bulan latihan tiba-tiba terasa begitu berat di fikiran. Saya tidak tahu di manakah tempat duduk, butang keselamatan serta apakah prosedur keselamatan dan sebagainya. Saya cemas, banyak perkara berputar dalam kepala serentak.
Namun, Alhamdulillah saya dapat bertahan dan sebagai kru baharu, saya perlu menyesuaikan diri dengan banyak perkara termasuk budaya kerja dan cabaran bersama kru penerbangan senior. Dalam industri ini, memang ada kru senior yang baik dan suka membantu tetapi tidak kurang juga yang suka ‘taruh orang’ atau bahasa mudahnya, membuli kru baru.
Saya yang masih mentah ketika itu perlu bijak membawa diri. Kadang-kadang, ada sahaja kesilapan kecil yang dijadikan alasan untuk dimarahi. Namun, semua itu mengajar saya ketahanan dan ketabahan. Saya belajar untuk lebih cekap, berdikari dan membuktikan kebolehan diri.
Awal kerjaya penerbangan, saya diberikan kelayakan untuk berkhidmat dalam pesawat Boeing 737-400.
Pesawat jenis ini bukan sahaja membolehkan saya membuat penerbangan domestik, tetapi saya juga berpeluang terbang ke destinasi antarabangsa seperti Madras (kini Chennai), Darwin, Hong Kong, Taiwan dan beberapa bandar lain.
Saya juga berpeluang terbang ke London, Paris, Amsterdam, Cairo, Japan, Johannesburg, Cape Town, Buenos Aires, Stockholm, New York, Los Angeles dan banyak lagi negara lain selepas layak untuk berkhidmat dalam pesawat A330, B747 dan B777. Semua ini merupakan peluang yang sangat bernilai dan saya amat bersyukur menjadikan kerjaya ini sebagai pilihan.
BOLEH KONGSIKAN PERJALANAN MENJADI KRU PENERBANGAN?
Selepas lulus temu duga, semua kru terpilih wajib menjalani kursus intensif selama tiga bulan di Akademi Malaysia Airlines (MAS), Kelana Jaya, Selangor.
Kursus ini merangkumi pelbagai aspek penting seperti etika penampilan diri, keselamatan, pertolongan kecemasan, jenis-jenis pesawat, perkhidmatan dan prosedur, pengetahuan am serta kemahiran komunikasi.
Malah, bagi memastikan semua kru sentiasa berkemampuan serta memiliki pengetahuan dan pengalaman yang menyeluruh dalam industri, pelbagai kursus disediakan.
Antaranya Program Makanan 5 Bintang MH, Daya Ingatan Super, Menginspirasi Minda Hebat Ke Arah Prestasi Puncak, kursus pengenalan minuman seperti teh dan kopi, kursus pembinaan pasukan serta banyak lagi. Malah setiap tiga bulan, semua kru penerbangan diwajibkan menghadiri kursus-kursus tertentu.
Selain itu, setiap tahun kru kabin perlu menduduki peperiksaan berkaitan keselamatan dan pertolongan cemas.
Setiap dua tahun sekali, mesti menjalani program pengumuman bagi memperbaiki sebutan serta menambah baik buku pengumuman mengikut keperluan semasa. Pemeriksaan berat badan juga wajib sebanyak dua kali setahun.
Di samping itu, empat kali setahun akan menjalani penilaian prestasi kru kabin, manakala setiap dua tahun sekali mesti mengambil penilaian kompetensi. Kadangkala, pemeriksaan mengejut daripada Pihak Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) juga boleh berlaku.
Pemeriksaan kesihatan turut dilakukan berdasarkan tahap kesihatan individu. Ada yang perlu menjalani pemeriksaan setiap tahun, dua atau lima tahun sekali, bergantung kepada keperluan peribadi masing-masing.
ADAKAH TOH PUAN JUGA PERNAH MENJALANI LATIHAN SURVIVAL?
Tentu sekali, latihan survival adalah sebahagian daripada rutin wajib bagi setiap pramugari. Kami diajar untuk bersedia menghadapi segala kemungkinan seperti terkandas di hutan atau terperangkap di laut.
Saya sendiri pernah menyertai Latihan Mencari dan Menyelamat (SAREX) yang diadakan semasa Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) bertujuan menguji keupayaan pasukan SAR dalam menangani kecemasan di laut dan udara serta melatih prosedur terkini bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan operasi menyelamat.
Latihan SAREX ini sering melibatkan demonstrasi menyelamat di perairan Langkawi dengan penggunaan helikopter, kapal perang dan pesawat pengawasan.
Dalam latihan ini, pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat bekerjasama untuk mensimulasikan insiden kecemasan di laut atau udara, seperti pesawat terhempas atau kapal karam. Ia cukup mencabar. Bayangkan, kami dibawa ke laut dan dibuang di sana untuk bertahan selama dua jam.
Saat itu, mereka akan menguji ketahanan dan kebolehan kita dalam mengendalikan diri, termasuk kekuatan fizikal dan mental. Saya juga perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan kursus profesional bagi meningkatkan kemahiran dalam industri.
Antaranya kursus keselamatan penerbangan, latihan kebakaran dan evakuasi, bantuan kecemasan, latihan spesifik untuk pesawat A330, A350, A380 dan B737 serta program peningkatan prestasi.
Semua latihan ini bertujuan membentuk kami sebagai seorang individu yang memiliki kepakaran tinggi dalam bidang penerbangan.
RAMAI MELIHAT PRAMUGARI SEBAGAI KERJAYA GLAMOR. KOMEN TOH PUAN?
Pada mulanya saya sendiri menganggap seorang kru penerbangan mesti mempunyai perwatakan cantik dan menarik selain menyediakan makanan dan minuman di atas kapal terbang.
Namun sangkaan saya meleset sama sekali kerana ia jauh lebih mencabar, bukan hanya sekadar menyajikan makanan dan minuman. Kerjaya ini memerlukan kami menggalas pelbagai tanggungjawab, kadang kala memainkan peranan sebagai pegawai perubatan, anggota polis, bomba, tukang cuci dan banyak lagi.
Kerjaya ini juga mempunyai latihan dan prosedur operasi standard (SOP) ketat, disiplin tinggi dan tanggungjawab besar. Kami perlu bersedia untuk sebarang kemungkinan, termasuk kecemasan di udara. Kami menjadi barisan hadapan yang bertanggungjawab memastikan keselamatan semua penumpang.
Sebagai seorang pramugari, disiplin Adalah perkara utama dalam setiap aspek kehidupan. Penampilan mesti berada dalam keadaan yang terbaik, kemas dan sempurna, dari kepala hingga ke hujung kaki.
Solekan harus mematuhi syarat tertentu termasuk menggunakan tiga warna pembayang mata yang diadun sempurna.
Rambut juga mesti rapi dan kemas, tiada sehelai pun boleh terkeluar. Malah hanya dua pin rambut yang dibenarkan kelihatan.
Manakala aksesori seperti cincin, anting-anting dan rantai mesti mengikut saiz yang ditetapkan.
Jam tangan pula wajib dipakai, pakaian seragam mesti digosok rapi, kasut dan beg tangan perlu sentiasa bersih dan berkilat, termasuk kuku. Pendek kata, semuanya mesti sempurna.
BAGAIMANA RUTIN HARIAN TOH PUAN KETIKA MASIH BERKHIDMAT?
Bagi diri saya sendiri, untuk memastikan penampilan sentiasa sempurna, saya memperuntukkan sekitar satu jam hingga satu jam setengah untuk bersiap. Dari rambut hingga ke kaki, semuanya perlu kemas dan teratur.
Ini disiplin yang membentuk diri saya hingga ke hari ini. Saya amat menitikberatkan pengurusan masa. Mana tidaknya, selepas 22 tahun dalam industri penerbangan, saya sudah terbiasa dengan disiplin ketepatan masa.
Dalam fikiran saya, walau hanya sesaat terlambat, kapal terbang sudah pun berlepas. Sebagai contoh, jika waktu melapor kerja jam 6.00 pagi, saya akan keluar dari rumah sekitar jam 4.00 pagi. Ini bermakna saya perlu mula bersiap seawal jam 2.00 atau 2.30 pagi.
Pengurusan masa penting bagi saya. Sehingga kini, saya masih mengamalkan rutin yang sama kerana ia sudah menjadi kebiasaan.
Sebaik sampai di lapangan terbang, saya perlu menghadiri taklimat wajib yang diadakan setiap kali sebelum penerbangan. Waktunya antara 1 jam 45 minit hingga dua jam sebelum masa berlepas, bergantung kepada jenis pesawat.
Ini bukan taklimat biasa, ia seperti bersiap untuk pergi berperang. Kru kabin akan ditanyakan pelbagai soalan termasuk butiran umum mengenai penerbangan, destinasi dituju, aspek keselamatan dan sebagainya.
Soalan tentang keselamatan penerbangan dan pertolongan cemas antara yang paling mencabar. Sebagai contoh, soalan tentang bagaimana menggunakan peralatan keselamatan seperti alat pemadam kebakaran khas dalam pesawat.
Selain itu, kami juga perlu tahu prosedur resusitasi kardiopulmonari (CPR), bagaimana membantu penumpang yang tercekik, cara menggunakan tangki oksigen dan ubat-ubatan dalam pesawat.
Ada juga soalan berkaitan destinasi dituju. Sebagai contoh, jika penerbangan menuju ke Sydney, Australia, antara soalan yang ditanya bagaimana keadaan cuaca dan suhu di Sydney? Di manakah lokasinya? Berapakah jumlah penduduk? Mengapa lapangan terbang Sydney dinamakan Kingsford Smith International Airport? Semua pengetahuan ini penting dan perlu dikuasai kerana kami wajah syarikat.
Bayangkan sekiranya penumpang bertanyakan soalan sedemikian dan kami tidak tahu jawapan, pasti memalukan bukan?
Jadi, kerjaya ini bukan sekadar nampak cantik di luar tetapi juga memerlukan ilmu, disiplin dan ketahanan fizikal serta mental yang tinggi. Terdapat banyak soalan dikemukakan berkaitan dengan senario yang boleh berlaku di dalam pesawat, jadi semua perkara perlu diambil perhatian. Selepas itu, semua kru kabin menjalani pemeriksaan penampilan dari hujung rambut ke hujung kaki. Semua aspek akan diperiksa dengan teliti termasuk berat badan. Sekiranya melebihi indeks jisim badan, kami boleh digantung kerja selama enam bulan, sehingga berat badan kembali ideal.
Kemudian sepanjang perjalanan menuju ke pesawat, semua kru penerbangan harus menjaga tingkah laku dan adab kerana kami sentiasa diberi penekanan tentang kepentingan menjaga penampilan profesional, khususnya ketika berada di lapangan terbang. Ini termasuk aspek postur badan dan cara berjalan.
Tidak dibenarkan memegang telefon bimbit ketika berjalan, apatah lagi bercakap di telefon. Jika benar-benar perlu dan dalam keadaan kecemasan, kru kabin mesti mencari tempat tersorok atau duduk di tempat yang sesuai sebelum menjawab panggilan.
Bahkan, cara duduk dalam pakaian seragam juga ada etikanya. Tidak boleh bercakap terlalu kuat mahupun ketawa secara berlebihan.
Selain itu, kru kabin juga perlu memahami protokol keselamatan di lapangan terbang, termasuk kesedaran terhadap persekitaran serta pergerakan yang betul di kawasan yang sesak. Saya telah dilatih dengan disiplin ini sejak awal, jadi ia sudah menjadi sebahagian daripada diri saya.
Sebaik sahaja menaiki pesawat, perkara pertama yang saya lakukan ialah mengambil peluang untuk menghubungi ibu sebelum memulakan tugas. Seterusnya, saya akan memeriksa semua peralatan keselamatan, menyelesaikan tugas persiapan sebelum penerbangan dan seterusnya bersedia untuk menyambut penumpang.
KETIKA MENYAMBUT PENUMPANG, APAKAH ASPEK YANG DIBERI PERHATIAN?
Semasa menyambut penumpang, kru kabin akan mengucapkan selamat datang dengan senyuman, bertanya khabar, membantu mereka mencari tempat duduk serta memberi bantuan lain yang diperlukan.
Pada pandangan kasar, proses ini mungkin kelihatan mudah dan ringkas. Namun, sebenarnya ini detik penting untuk kru kabin menilai keadaan penumpang.
Saya akan memerhati keadaan fizikal termasuk emosi penumpang. Penilaian pantas dibuat terhadap tingkah laku mereka ketika menaiki pesawat antaranya, adakah penumpang itu berpotensi menjadi ancaman kepada keselamatan penerbangan serta penumpang lain? Saya juga akan memberi perhatian kepada penumpang yang membawa bayi, kanak-kanak atau warga emas bagi memastikan mereka mendapat bantuan yang diperlukan. Saya turut memantau jika ada penumpang seperti mabuk atau berada di bawah pengaruh dadah. Jika dirasakan boleh menjadi ancaman keselamatan, saya akan melaporkannya kepada penyelia penerbangan.
Penyelia penerbangan seterusnya memaklumkan kepada kapten dan jika perlu, penumpang tersebut boleh dikeluarkan daripada penerbangan.
Selain itu, perlu diketahui sekiranya berlaku kecemasan, pintu keluar pesawat mesti sentiasa boleh digunakan tanpa halangan. Oleh itu, saya perlu bertanya kepada penumpang yang duduk di barisan pintu kecemasan sama ada mereka bersedia untuk membuka pintu itu jika diperlukan.
Jika tidak selesa atau tidak mahu bertanggungjawab, penumpang itu akan dipindahkan ke tempat duduk lain. Begitu juga mereka yang mengalami kecederaan seperti patah tangan dan sebagainya. Ini bagi memudahan proses sekiranya berlaku perkara tidak diingini.
Sebelum pesawat berlepas, saya juga mesti memastikan semua penumpang sudah mengambil tempat masing-masing, memakai tali pinggang keledar, telefon bimbit dan peranti elektronik telah dimatikan atau diletakkan dalam mod penerbangan.
Semasa pesawat bersiap sedia untuk berlepas, semua kru kabin perlu duduk di stesen tugas masingmasing, memasang tali pinggang keselamatan dan seterusnya melakukan ulang kaji senyap mengenai langkah dan prosedur kecemasan. Proses yang sama juga dilakukan sebelum mendarat.
Sebaik sahaja pesawat selamat berlepas, saya terus memulakan tugas seperti biasa. Pada ketika ini, perkhidmatan dalam penerbangan akan bermula.
Bagi saya, memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang adalah satu kepuasan. Sejak awal lagi, saya telah memupuk sikap ikhlas, jujur dan amanah dalam setiap tugas yang dilakukan.
ADAKAH SETIAP PENERBANGAN MEMERLUKAN KRU BERMALAM DI DESTINASI YANG DITUJU?
Ini bergantung kepada penerbangan yang ditugaskan. Penerbangan jarak jauh seperti Kuala Lumpur ke London, kami akan tinggal di sana beberapa hari sebelum penerbangan pulang. Ada juga penerbangan yang lebih kompleks, seperti Kuala Lumpur ke Cape Town, Cape Town ke Johannesburg, Johannesburg ke Buenos Aires, kemudian kembali ke Johannesburg, Cape Town dan akhirnya balik ke Kuala Lumpur. Untuk laluan seperti ini, sudah tentu kami perlu bermalam di beberapa lokasi.
BERAPA BANYAK NEGARA YANG PERNAH TOH PUAN KUNJUNGI?
Banyak, sudah tentu lebih daripada 10 negara. Di mana sahaja MAS terbang, di situlah saya pernah bertugas, bukan sahaja di Asia tetapi juga ke Eropah, Timur Tengah dan Amerika. Dulu, laluan penerbangan MAS sangat luas. Kami terbang ke bandar besar seperti Cairo, Istanbul, Jeddah, Jepun, Los Angeles, New York, Stockholm dan juga bandar di Afrika Selatan seperti Johannesburg dan Cape Town.
Di Eropah pula, kami pernah mempunyai laluan ke Paris, Amsterdam, Frankfurt, Madrid, semuanya dalam rangkaian penerbangan MAS ketika itu. Tetapi sekarang, laluan antarabangsa sudah berkurangan. Kalau dahulu, MAS mempunyai banyak destinasi penerbangan di Eropah dan Amerika, kini hanya London yang masih menjadi laluan utama.
Menjadi pramugari merupakan peluang keemasan yang sangat berharga. Saya berpeluang melancong dan meneroka banyak negara. Apatah lagi waktu itu tidak semua orang mendapat peluang yang sama. Jadi, bekerja dalam industri ini memberi kelebihan besar kepada saya.
NEGARA MANAKAH YANG MENJADI KEGEMARAN?
Dalam banyak negara, tiga destinasi yang paling saya gemari iaitu Cape Town di Afrika Selatan, Auckland di New Zealand dan Amsterdam di Belanda. Di Cape Town, saya sangat suka mengunjungi Table Mountain dan berpeluang beberapa kali mendakinya. Saya tidak pernah berasa jemu ke sana kerana pemandangannya begitu indah, diiringi angin sepoi-sepoi bahasa yang memberikan satu perasaan yang sangat menyenangkan. Di Auckland pula, antara tempat kegemaran saya adalah Waitemata Harbour dan Rotoroa Island. Keindahan alam semula jadi di kedua-dua lokasi ini begitu menakjubkan dan memberikan ketenangan jiwa.
Sementara itu, di Amsterdam, saya amat menyukai ladang tulipnya yang berwarna-warni dan begitu cantik. Apabila berpeluang ke sana pada musim bunga, sekitar bulan April hingga Mei, saya pasti tidak akan melepaskan peluang untuk keluar menikmati pemandangan ladang tulip yang sungguh mempesonakan.
KENANGAN PALING MANIS BAGI TOH PUAN SEPANJANG MENJADI PRAMUGARI?
Sepanjang tempoh perkhidmatan saya di MAS, terdapat banyak kenangan manis yang dilalui, sama ada bersama-sama penumpang, rakan sekerja, mahupun kenalan yang saya temui sepanjang perjalanan. Namun, kenangan paling indah dan bermakna bagi apabila saya berpeluang membawa anak saya, Muhammad Fida’yi Tasnim, bersama ketika bertugas. Saya berasa bertuah kerana dapat membawa Tasnim ke pelbagai destinasi di luar negara terutamanya kerana tiket penerbangan yang sangat murah bagi kakitangan.
Tasnim benar-benar seorang anak yang beruntung. Tidak semua orang berpeluang melancong ke luar negara tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar. Setiap kali dia mengikut saya bertugas, perasaan gembira sukar diungkapkan. Selain memberi peluang kepadanya untuk menjelajah pelbagai negara, saya juga mahu dia melihat sendiri bagaimana mencari rezeki. Alhamdulillah, Tasnim mula mengikut saya terbang sejak usianya 10 tahun.
ANTARA CABARAN YANG DIHADAPI SEPANJANG LEBIH DUA DEKAD BERKHIDMAT?
Cabaran yang dihadapi sebagai kru penerbangan boleh dibahagikan kepada dua aspek utama. Pertama, berhadapan dengan penumpang yang sukar dikendalikan. Apa-apa sahaja yang berlaku tidak memuaskan hati mereka, ada sahaja permasalahan yang timbul.
Bayangkan jika penerbangan mengambil masa 14 jam, hidup boleh menjadi huru-hara. Namun, dalam apa jua keadaan, saya akan menangani situasi ini secara profesional, tidak akan berdebat atau berbalah dengan mereka. Sebaliknya, memberikan perkhidmatan terbaik walaupun dimaki hamun.
Saya tetap akan tersenyum. Akhirnya, ada juga dalam kalangan penumpang yang meminta maaf atas kelakuan selepas menyedari kesilapan mereka. Cabaran kedua pula berhadapan dengan rakan sekerja, sama ada kru kabin mahupun kru teknikal. Saya sendiri pernah mengalami situasi dibuli di tempat kerja.
ANTARA KENANGAN PAHIT YANG PERNAH DILALUI TOH PUAN?
Pengalaman dibuli ini pahit tetapi terpaksa ditelan. Pernah dalam satu penerbangan domestik, saya dibuli dengan begitu teruk hingga menangis. Pada waktu itu, saya benar-benar bertekad untuk berhenti kerja sebaik sahaja pulang.
Sewaktu bapa menjemput saya pulang ke rumah di Kampung Setia Jaya, Taman Melati, beliau seperti biasa bertanyakan tentang perjalanan penerbangan saya. Namun ketika keluar dari bangunan Subang Hub, saya ternampak ketua pramugari yang membuli saya sedang menunggu teksi di tepi jalan untuk pulang ke rumah.
Tanpa diduga, bapa saya menghentikan kenderaan, menurunkan tingkap dan bertanya kepadanya, di manakah dia tinggal. Saya hanya memandang ke hadapan, enggan bertentang mata dengannya. Dia menjawab tinggal di Wangsa Maju dan bapa saya lantas keluar dari kereta, mengangkat begnya dan menawarkannya pulang bersama dengan alasan jalan sehala. Sepanjang perjalanan, saya hanya diam tetapi ketua pramugari tersebut rancak berbual dengan bapa saya.
Sebaik sahaja tiba di rumahnya dan apabila dia keluar dari kereta, saya meminta bapa untuk terus memandu tanpa bersalaman dengannya. Dalam perjalanan pulang, saya akhirnya menceritakan segala-galanya, bahawa wanita yang baru sahaja dihantarnya pulang itu, orang yang membuli anaknya dengan begitu teruk di dalam kapal terbang. Bapa saya kelihatan sangat kecewa dengan apa yang berlaku.
Saya faham beliau marah kerana melibatkan maruah anaknya. Saya dapat melihat kekesalan dan kesedihan di wajahnya. Setibanya di rumah, saya menceritakan kejadian itu kepada ibu pula. Ibu meminta saya berhenti kerja sertamerta. Namun, saya tetap meneruskan pekerjaan kerana terikat dengan kontrak selama dua tahun. Selama dua hari bercuti di rumah, kejadian buli itu sentiasa bermain di fikiran saya.
Tanpa disangka selepas tempoh cuti tersebut, saya sekali lagi ditugaskan bersama ketua pramugari yang sama. Hati saya berasa berat, malah saya hampir mahu berpatah balik ke rumah.
Namun, saya cekalkan hati dan tetap pergi bekerja seperti biasa. Mungkin kerana saya tidak menunjukkan perubahan sikap dan masih berkelakuan seperti biasa, ketua pramugari tersebut akhirnya berubah. Saya tidak lagi menjadi sasaran bulinya.
BAGAIMANA DENGAN PENGALAMAN YANG MENDEBARKAN ATAU MENAKUTKAN?
Sepanjang bertugas, saya mengalami beberapa pengalaman mendebarkan. Namun satu kejadian yang benar-benar menguji ketahanan diri saya berlaku ketika dalam penerbangan dari Langkawi ke KLIA.
Pada waktu itu, pesawat yang saya naiki telah mendapat kebenaran untuk mendarat, manakala sebuah pesawat dari China Airlines pula diberikan kebenaran untuk berlepas. Berlaku kesilapan komunikasi yang menyebabkan kedua-dua pesawat berada di laluan yang sama pada masa yang sama.
Mujurlah kapten kami bertindak pantas dan membuat keputusan yang tepat. Sebaik sahaja melihat pesawat China Airlines berada di hadapan, beliau segera menarik kawalan pesawat untuk naik semula secara mendadak dalam keadaan yang begitu curam. Keadaan ketika itu sangat menakutkan. Semua penumpang menjerit ketakutan dan saya hanya mampu berdoa. Walaupun berasa cemas, saya perlu mengawal ekspresi wajah agar tidak menunjukkan kegelisahan atau ketakutan.
Saya dan ketua pramugari terus berusaha untuk kekal tenang. Setelah keadaan sedikit stabil, ketua pramugari segera menghubungi kokpit untuk mendapatkan arahan lanjut sekiranya tindakan susulan perlu diambil.
Tidak lama kemudian, kapten mengarahkan supaya kami bersedia untuk pendaratan kecemasan. Selepas pesawat selamat mendarat, kru teknikal serta kru kabin perlu menyediakan laporan berkenaan insiden yang berlaku.
Sepanjang perjalanan pulang ke rumah selepas kejadian itu, saya tidak berhenti memikirkan satu perkara, apakah yang akan terjadi jika skrin radar pesawat tiba-tiba terpadam? Ketika hampir mendarat, skrin radar mengalami gangguan sekiranya ada penumpang yang tidak mematikan peranti elektronik mereka.
Gangguan isyarat menyebabkan skrin radar menjadi kosong. Jika radar terganggu dalam situasi seperti tadi, pasti keadaan menjadi lebih buruk. Peristiwa ini membuktikan betapa pentingnya mematuhi peraturan dalam penerbangan kerana sebarang gangguan kecil boleh membawa akibat yang besar.
Dalam situasi seperti ini, kita hanya mampu berserah kepada takdir. Apabila insiden malang pesawat MAS MH370 dan MH17 berlaku dalam jarak masa yang dekat, saya benar-benar rasakan betapa rapuhnya hidup ini. Jika sudah ajal, di manamana pun kita akan pergi.
Satu lagi pengalaman mendebarkan berlaku ketika pesawat mendarat di KLIA dan sedang bergerak menuju ke kawasan parkir. Sebuah lori katering tiba-tiba hilang kawalan dan melanggar sayap pesawat. Akibatnya, asap tebal mula keluar diikuti dengan percikan api yang semakin merebak ke arah enjin pesawat. Kejadian ini menyebabkan penumpang panik dan menjerit ketakutan. Malah, pemandu lori itu sendiri melompat keluar dari kenderaannya kerana terlalu terkejut.
Dalam keadaan panik tersebut, kami sebagai kru kabin perlu menunjukkan ketenangan kerana telah dilatih untuk mengawal ekspresi wajah agar tidak mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penumpang. Walaupun hati berdebar, wajah tetap perlu kelihatan tenang dan meyakinkan. Mujurlah kejadian ini berlaku di lapangan terbang, jadi pasukan bomba tiba dengan cepat dan berjaya memadamkan api sebelum ia merebak. Alhamdulillah, semuanya selamat.
Bagi kejadian seperti pergolakan udara yang menyebabkan pesawat terumbang-ambing, itu adalah perkara biasa dalam dunia penerbangan. Semua itu risiko yang perlu dihadapi sebagai kru kabin. Walaupun banyak pengalaman mencabar dan menakutkan yang saya lalui, ia tidak pernah mengubah rutin saya sebagai seorang pramugari.
Setiap hari di awan biru membawa cabaran tersendiri, namun ketabahan, disiplin dan ketenangan menjadi kunci utama dalam menjalankan tugas dengan baik.
BAGAIMANA PULA DENGAN ANCAMAN KESELAMATAN SEPERTI ROMPAKAN ATAU PEMERDAGANGAN MANUSIA?
Itu memang pernah berlaku. Kami diajar untuk memprofilkan penumpang sebaik mereka memasuk perut pesawat. Contohnya, ada penumpang yang duduk di belakang tetapi meletakkan beg di hadapan. Kemudian, selepas pesawat berlepas, dia akan berjalan ke hadapan seolah-olah mengambil beg tetapi sebenarnya mencuba mencuri barang penumpang lain.
Kes pemerdagangan manusia juga sering berlaku terutama dalam laluan antarabangsa seperti ke Buenos Aires. Kami diajar untuk mengesan sebarang situasi yang mencurigakan, seperti individu dewasa membawa kanakkanak yang kelihatan ketakutan atau tidak menunjukkan bukti hubungan.
Jika ada sebarang kecurigaan, kami akan segera melaporkannya kepada pegawai imigresen apabila pesawat mendarat dan pihak berkuasa di lapangan terbang akan mengambil tindakan susulan.
Kebanyakan masa, pemeriksaan akan mendedahkan bahawa dokumen mereka ini adalah palsu dan kes pemerdagangan manusia berjaya dibongkar.
APAKAH NILAI ATAU DISIPLIN, TOH PUAN PEGANG TEGUH HINGGA SEKARANG?
Disiplin kunci utama dalam kerjaya saya. Dalam industri penerbangan, ketepatan masa amat penting, begitu juga dengan persediaan menghadapi sebarang situasi, sama ada kecemasan dalam penerbangan, perkhidmatan pelanggan atau keselamatan.
Sehingga kini, disiplin yang saya amalkan sepanjang kerjaya masih menjadi pegangan utama dalam kehidupan seharian. Ia sudah sebati dalam diri saya dan percaya bahawa disiplin adalah elemen penting dalam setiap pekerjaan.
Namun, saya tidak pernah terfikir untuk kembali bekerja dalam sektor ini, apatah lagi sekarang dunia penerbangan sangat berbeza berbanding dahulu.
Jika keadaan ini berterusan, saya berpendapat sukar bagi syarikat untuk mencapai kejayaan seperti dahulu yang terkenal dengan kru kabin terbaik di dunia dan MAS meraih gelaran World’s Best Cabin Crew selama bertahun-tahun.
BOLEH KONGSIKAN PELAJARAN DARIPADA PERJALANAN HIDUP YANG INGIN DITITIPKAN KEPADA GENERASI AKAN DATANG?
Ramai yang melihat tugas seorang pramugari hanya berkaitan penampilan, iaitu solekan rapi, pakaian kemas, etika pergerakan yang anggun serta komunikasi yang baik. Namun, di sebalik semua itu, latihan yang diberikan kepada kami sebenarnya cukup menyeluruh dan mendalam, mencakupi pelbagai aspek.
Saya sendiri mengamalkan sikap tenang dalam setiap situasi. Walaupun berhadapan dengan penumpang yang tegas atau beremosi, saya tetap tersenyum dan mengekalkan ketenangan.
Untuk menjadi pramugari cekap, berilmu dan terlatih, seseorang itu mesti mengikuti latihan serta kursus yang ditetapkan secara berkala. Pramugari yang pernah berkhidmat dalam pesawat seperti B747 dan A380 merupakan individu yang telah melalui latihan intensif dan dilengkapi kemahiran menangani pelbagai situasi kecemasan. Dalam apa-apa jua keadaan, kami perlu bersikap tenang, membantu orang lain dan bukannya menjadi individu yang perlu dibantu.
Di sebalik semua ini, pembelajaran tidak boleh terhenti. Saya sentiasa percaya bahawa untuk menjadi pakar dalam sesuatu bidang, seseorang itu harus terus belajar dan mendalami tugas serta tanggungjawab yang dipikul. Tidak kira apa jua bidang yang diceburi, sama ada sebagai pramugari, tukang masak, pemandu, atau apa sahaja. Setiap individu harus memahami peranan dan tanggungjawab mereka secara mendalam.
Ilmu dan kefahaman ini tidak hanya diperlukan oleh mereka yang berada di peringkat pengurusan tinggi seperti ketua setiausaha atau timbalan ketua setiausaha tetapi oleh setiap individu dalam organisasi. Secara keseluruhannya kita harus memahami tugas dan tanggungjawab kita, bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada negara, negeri dan keluarga.
Setiap tugas harus berlatarbelakangkan ilmu dan kesedaran tentang tanggungjawab yang diamanahkan. Itulah pengajaran yang ingin saya sampaikan kepada generasi akan datang.
MENYINAR DI LANGIT
TOH Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi mengabdikan bertahun-tahun hidupnya dalam industri penerbangan, berkhidmat sebagai pramugari Malaysia Airlines (MAS) sebelum beliau menjadi Wanita Pertama Sarawak. Waktu yang dihabiskan di awan biru bukan sekadar satu kerjaya tetapi sebuah bukti komitmen, profesionalisme dan kehangatan yang beliau tunjukkan.
Sepanjang berkhidmat, beliau dalam industri penerbangan bukan hanya tentang perkhidmatan, ia adalah tentang menetapkan standard kecemerlangan yang memberi impak mendalam kepada rakan sekerja beliau.
Beliau dinilai berkali-kali oleh pihak atasan sepanjang kerjayanya dan setiap laporan memberi gambaran mengenai etika kerja, kepimpinan dan kemampuannya untuk berhubung dengan orang lain.
Laporan prestasi ini, yang merangkumi pelbagai tahun dan penilai bukan sahaja menunjukkan Kemahiran teknikal beliau tetapi juga inti pati diri beliau yang sebenar iaitu berdedikasi, penyayang dan sentiasa berusaha untuk mencapai kecemerlangan.
Seorang pramugari memikul banyak tanggungjawab lebih daripada sekadar melayani makanan dan minuman malah turut menjadi penjaga nyawa penumpang. Beliau jantung kabin memastikan keselesaan, keselamatan dan pengalaman penerbangan keseluruhan penumpang. Melalui penilaian ini, komitmen Toh Puan Fauziah terhadap kecemerlangan, kepimpinan dan perkhidmatan jelas terserlah. Beliau bukan hanya seorang pramugari tetapi beliau seorang pemimpin di dalam kabin, seorang mentor kepada rakan sekerja, dan satu kehadiran yang mesra kepada penumpang yang beliau layani.
Kemampuan beliau untuk mengimbangi profesionalisme dengan empati menjadikannya seorang ahli kru yang luar biasa, yang dipercayai oleh rakan sekerja dan dihargai oleh penumpang penerbangan.