SRIKANDI PENUH INSPIRASI

Play
Pause
  • "SRIKANDI PENUH INSPIRASI".

DI SEBALIK setiap pencapaian dalam kehidupan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, terdapat satu watak utama kejayaannya, wanita tabah yang menjadi sumber inspirasi dan membentuk keperibadian beliau hari ini, wanita itu ialah ibunya, Mahni Haji Aman.

Bagi Toh Puan Fauziah, ibunya ialah srikandi yang mengajarnya erti ketabahan, kecekalan dan harga diri. Membentuk kekuatan luar biasa yang terpahat kukuh dalam sanubarinya, dalam meniti lorong-lorong kehidupan yang penuh duri. Beliau membesar dan menyaksikan sendiri bagaimana ibunya berjuang dengan titisan keringat pengorbanan yang tidak kenal erti kekalahan.

Dibesarkan dalam kehidupan yang jauh daripada kemewahan, sejak kecil Toh Puan Fauziah sudah mengerti bahawa hidupnya bukanlah seindah kisah dongeng. Melihat bagaimana ibunya berjuang dan memikul tanggungjawab tanpa sebarang rungutan, beliau memahami erti sebuah pengorbanan.

“Ibu saya seorang wanita yang sangat tabah mengharungi ranjau kehidupan. Sejak kecil, saya melihat sendiri bagaimana beliau berjuang untuk membesarkan kami lima beradik,” kata Toh Puan Fauziah, mengenang kehidupan ibunya yang memikul tanggungjawab besar. Dalam penghargaan itu, Toh Puan Fauziah mengakui bahawa ibunya itu adalah satu-satunya mentor, idola, bahkan guru kehidupan yang tidak pernah meminta apaapa balasan, selain mahu melihat anak-anaknya membesar sebagai manusia yang tahu berdiri atas kaki sendiri.

“Tiada orang lain, memang ibu saya yang paling banyak mempengaruhi nilai dan prinsip hidup saya selama ini. Ibu bukan wanita yang cepat mengalah. Malah bukan orang yang bercakap tidak serupa bikin. Kalau dia kata hendak melakukan sesuatu, dia akan laksanakan.

“Ibu juga kuat berusaha tanpa kenal erti penat lelah. Itu yang dipegang dan menjadi bimbingan kehidupan saya sehingga ke hari ini,” suaranya sedikit bergetar, mengingat kembali ketegasan dan ketulusan seorang ibu yang membentuk dirinya menjadi wanita tabah hari ini.

Sejak kecil, Toh Puan Fauziah sudah dididik agar tidak mudah mengalah pada ujian hidup. Hidup ini, pesan ibunya, bukan sekadar menumpang teduh di bawah bayang-bayang orang lain.

Tidak perlu meminta, jangan pernah berharap pada sesiapa, hatta pada kerajaan sekalipun kerana setiap sen yang diterima daripada tangan orang, akan ada hutang budi yang menanti untuk dibayar. Dan hutang budi itu, bukan kecil timbangannya. Berat. Terlalu berat untuk ditanggung sepanjang hayat.

“Ibu selalu kata, jangan berharapkan pada orang. Apa yang kita dapat, itulah rezeki. Kalau susah, jangan sesekali menyalahkan sesiapa. Sebab hidup kita ini, maju mundurnya bergantung pada usaha sendiri.

“Dalam hidup ini, jangan meminta-minta dan jangan kecil hati kalau orang tidak memberi. Ia adalah tentang bagaimana kita berusaha, bukan mengenai apa yang kita dapat secara percuma,” ujarnya.

Kata-kata itu bagai azimat yang melekat dalam setiap hela nafasnya. Menjadi perisai saat dilanda badai, menjadi obor ketika gelita.

Bagi ibunya, selagi ada usaha, daya dan upaya, meminta bukanlah satu pilihan. Harga diri itu lebih mahal daripada simpati manusia.

Namun dalam kepayahan hidup, ibunya tidak pernah gagal mendidik mereka lima beradik dengan penuh kasih sayang, sentiasa menekankan kepentingan menjaga harga diri dan kecekalan dalam menghadapi segala rintangan hidup.

“Saya tiada kata-kata hikmah atau falsafah yang memberi inspirasi. Cuma saya sentiasa ingat kata-kata ibu yang selalu menasihati kami. Katanya, selagi ada tulang empat kerat dan sihat tubuh badan, kita jangan meminta-minta.

“Meminta sahaja tanpa bersusah payah dan tidak melakukan apa-apa, itu adalah satu kelakuan yang tidak baik. Hidup perlu bermaruah dan jaga maruah itu.

“Pesanan yang sama ini, sering ibu ingatkan kepada kami adik-beradik, berulang-ulang kali perkara sama. Sampai ia sudah terpahat dalam otak saya dan menjadi pegangan hingga ke hari ini,” ceritanya.

Kata-kata ibunya itu bagaikan ukiran dalam jiwa. Toh Puan Fauziah belajar bahawa kemiskinan bukan alasan untuk menyerah. Kesukaran bukan tembok yang menghalang impian tetapi batu loncatan untuk mencapai bintang.

Bahkan, pernah suatu hari ketika berbual dengan suami tercinta, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, beliau berterus terang seandainya sampai masa rezeki mereka tidak mencukupi, beliau sanggup turun bekerja, kembali mengerah tenaga demi memastikan kelangsungan hidup keluarga.

“Ketika Tun memberitahu bahawa beliau tidak lagi bekerja, saya mengatakan tidak apa kerana saya masih boleh bekerja sekiranya sumber kewangan yang ada tidak cukup untuk menampung kehidupan. Namun, Tun tidak mahu mendengar tentang saya hendak kembali bekerja. Tetapi hakikatnya begitulah. Pendirian saya jelas, sekiranya pendapatan suami tidak mencukupi, saya rela bekerja.

“Ini berbalik kepada nilai yang telah ibu semaikan dalam hidup saya,” jelas Toh Puan Fauziah. Itulah prinsip hidupnya yang tertanam sejak kecil.

Jangan pernah takut untuk berusaha selagi masih punya kudrat. Pendirian hidupnya tidak bersandarkan pada kata-kata indah yang terukir di dinding atau tertulis di lembaran buku, tetapi terpatri dalam setiap nasihat yang diulang-ulang oleh ibunya.

Ketika pelbagai cabaran mendatang dalam membina kerjaya, beliau tidak pernah membiarkan ia menjadi halangan yang melemahkan semangat.

Segala kesukaran dihadapi dengan penuh ketabahan kerana baginya, beliau lahir daripada didikan seorang wanita yang tidak pernah tunduk pada dugaan takdir.

Bagi Toh Puan Fauziah, warisan ibunya tidak akan pernah padam dalam lipatan hidupnya, akan sentiasa menjadi sumber inspirasi yang tidak ternilai sepanjang hayat.

PERJALANAN PENUH LIKU

Perjalanan hidup yang penuh liku-liku, menjadikan Toh Puan Fauziah seorang yang sentiasa menekankan kepentingan menjaga disiplin. Satu prinsip yang tidak pernah lekang dalam sanubarinya.

Ia bukan sekadar nilai yang dipegang utuh, tetapi nadi menghidupkan setiap langkah dan keputusan dalam perjalanan hidupnya.

Disiplin adalah rahsia utama yang membentuk dirinya, membina kejayaan dan menjadi benteng teguh dalam menghadapi apa jua cabaran. Menjadi tunjang utama dalam setiap aspek kehidupan, daripada kerjaya hingga hubungan peribadi, ia kekal utuh tertanam dalam jiwanya.

“Disiplin merupakan rahsia utama saya dan sifat ini memang sudah sebati dalam diri saya. Dari dulu lagi memang menjadi nadi kehidupan dan saya sangat menekankan pentingnya disiplin.

“Sampai sekarang, saya masih memegang teguh prinsip ini. Bahkan, Tun sendiri pernah mengakui dengan nada separa kagum dan berseloroh – you sangat berdisplin. Dan, memang saya bangga mengamalkan disiplin sebagai teras hidup,” katanya.

Disiplin itulah yang mengatur langkahnya dalam perjalanan hidup penuh dengan dugaan, menjadi benteng utama yang membentuk karakter seorang individu. Toh Puan Fauziah percaya bahawa tanpa disiplin, sukar untuk mencapai kejayaan yang bermakna.

Ia bukan sekadar mengenai ketepatan masa atau kepatuhan kepada peraturan, tetapi lebih daripada itu. Disiplin adalah tentang bagaimana seseorang mengawal diri, menetapkan hala tuju dan tidak mudah goyah ketika ditiup angin dugaan.

“Tanpa disiplin, kita sukar untuk berjaya dalam apa juga yang dilakukan. Mengatur hidup dengan disiplin, segala-galanya akan lebih teratur serta mudah dicapai,” ujarnya, menegaskan disiplin adalah kunci yang menghubungkan kepada kejayaan.

Kisah hidup Toh Puan Fauziah cerminan kepada keteguhan seorang wanita yang yakin dengan prinsip, membuktikan kaum hawa tidak pernah lemah hanya kerana dilahirkan sebagai wanita.

Dilahirkan sebagai wanita biasa, tanpa latar belakang kekuasaan atau kedudukan tinggi, Toh Puan Fauziah membesar dengan keyakinan bahawa hidup ini harus dipandu oleh kasih sayang dan keikhlasan. Dunia mempertemukannya dengan seorang lelaki yang memiliki nilai dan teras kepercayaan yang sama.

“Saya merupakan seorang pengasih, penyayang dan berjumpa dengan insan yang serupa. Tun juga seperti saya. Jadi kami tidak ada masalah dari segi falsafah hidup dan teras kepercayaan.

“Keutamaan kami kasih sayang. Kepercayaan kami tetap sama, keluarga adalah segala-galanya. Ia tidak akan berubah, sementara perkara lain menjadi hal yang kedua,” ujarnya.

Anak-anak mereka juga dibesarkan dalam lingkungan nilai yang sama, rendah diri, hormat pada orang lain dan mengutamakan kasih sayang lebih daripada segalanya. Diajar bahawa pangkat dan harta bukan ukuran manusia tetapi budi dan akhlak adalah nilai yang paling tinggi.

Bagi Toh Puan Fauziah, hidup bukan soal menonjolkan diri, apatah lagi memburu glamor. Beliau lebih selesa menjalani kehidupan tenang bersama insan-insan tersayang, menjadikan rumah sebagai syurga kecil yang dipenuhi tawa dan kasih sayang.

Selama 22 tahun beliau berkelana di awan biru sebagai pramugari, dunia yang mendidiknya bahawa setiap manusia wajar dilayan dengan adil, tanpa mengira siapa dan kedudukan mereka. Pelajaran itulah yang dibawa hingga ke hari ini, walaupun kini bergelar isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Bagi Toh Puan Fauziah, hidup ini bukan tentang berapa tinggi pangkat yang disandang, ia adalah tentang bagaimana seseorang itu mampu kekal menjadi manusia biasa, meskipun dunia meletakkannya di singgahsana.

“Saya tidak pernah berasa perlu berubah hanya kerana pangkat dan gelaran. Selagi saya berdamping dengan orang seperti Tun, yang sentiasa bersikap sederhana. Malah pendirian kami juga sama,” katanya.

Suaminya bukan pemimpin biasa. Sejak tahun 2008, beliau memegang pelbagai jawatan tinggi dalam Kerajaan Malaysia, bermula sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat, diikuti jawatan timbalan menteri, seterusnya pelantikan sebagai menteri yang berperanan besar dalam menerajui beberapa kementerian penting negara.

“Walau berapa banyak pangkat yang Tun sandang, tidak pernah sekali pun saya lihat beliau berubah.

Di saat kebanyakan pemimpin hari ini berarak dengan rombongan, diiringi setiausaha sulit, pengiring, pegawai khas malah barisan pegawal keselamatan di kiri dan kanan.

“Tun memilih jalan yang berbeza. Kehidupan mewah dan penuh protokol itu langsung tidak menggugat jati dirinya. Beliau tetap seorang suami dan ayah yang penuh kasih sayang. Malah, tidak pernah melupakan akar umbinya.

“Memandu sendiri ke kedai, duduk di kedai kopi atau warung kaki lima bersama kawan-kawan lama seperti orang biasa. Tiada tembok keangkuhan, tiada jurang status yang dicipta,” Toh Puan Fauziah berkisah dengan nada bangga bercampur syukur.

Sejak hari pertama sebagai suami isteri, Toh Puan Fauziah melihat sendiri bagaimana suaminya menjadi cermin kepada falsafah hidup mereka berdua.

Bahawa kedudukan, harta dan kuasa itu hanyalah pinjaman dunia. Yang kekal hanyalah keperibadian, budi pekerti dan nilai diri yang tidak mampu dijual beli.

“Bahkan Tun pernah katakan dengan saya, malah ada buku tulisannya yang akan diterbitkan nanti bahawa pangkat dan kedudukan itu sementara sahaja. Bukan milik kita selama-lamanya.

“Kalau hari ini orang hormat kita sebab jawatan, esok lusa orang lupakan apabila kita sudah tiada kuasa. Jadi apa yang kekal hanyalah siapa diri kita sebenar,” ujarnya dalam nada perlahan, membawakan bait kata-kata penuh makna.

Toh Puan Fauziah sendiri mengakui, beliau tidak pernah berasa dirinya seorang yang besar atau layak dijulang sematamata kerana menjadi isteri kepada seorang tokoh negara. Malah, perwatakan suaminya yang bersahaja itu menjadi benteng yang menghalangnya daripada hanyut dengan gelaran dunia.

“Apa yang ada dalam diri saya hari ini, saya rasa sudah cukup. Tidak perlu saya berubah jadi orang lain semata-mata hendak nampak hebat. Saya lebih suka begini, hidup sederhana, dekat dengan suami dan anak-anak serta keluarga tercinta,” ujarnya.

Dalam dunia yang sering melupakan makna sebenar kemanusiaan dan sering mendewakan kemewahan serta kedudukan, Toh Puan Fauziah meletakkan keindahan hidup pada kesederhanaan, membuktikan bahawa kasih sayang, keikhlasan dan hati yang sentiasa merendah diri adalah harta paling abadi.