PENGORBANAN DAN KEIKHLASAN
TAKDIR membawa Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi bertemu dengan seorang lelaki istimewa, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Negarawan terbilang yang bukan sahaja menjadi teman hidupnya malah membawa beliau kepada peranan baharu yang tidak pernah dimimpikan.
Dari awan biru sebagai pramugari kemudian melangkah ke Astana Negeri Sarawak menjadi suri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, setiap detik perjalanan hidup beliau mempunyai lipatan sejarahnya tersendiri, sarat dengan kisah kehidupan yang menginspirasikan.
Di sebalik kelembutannya, tersembunyi kekuatan luar biasa yang menjadi bukti bahawa tiada impian yang terlalu tinggi untuk digapai dan tiada cabaran tidak dapat diatasi dengan kecekalan hati.
Kini beliau memegang peranan sebagai isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, yang bukan sekadar tentang gelaran atau status tetapi tanggungjawab yang menuntut pengorbanan dan keikhlasan.
Toh Puan Fauziah meneruskan legasi kasih sayang dan kepimpinan melalui pelbagai inisiatif kemasyarakatan, mendekati serta menyantuni rakyat tanpa mengira latar belakang.
Jika di langit biru beliau pernah memberikan layanan dan perkhidmatan terbaik kepada penumpang, kini Toh Puan Fauziah menabur bakti dan memberi perhatiannya kepada rakyat di bumi Sarawak.
Walaupun kehidupannya kini berbeza, namun ilmu yang dipelajari sepanjang perjalanan kerjaya lebih dua dekad itu tetap utuh dalam dirinya. Kesabaran, kecekalan dan ketulusan terus membimbing beliau dalam setiap langkahnya hari ini.
Perjalanan hidup yang penuh warna-warni sering mempertemu kita dengan ramai insan. Pada hari itu, seperti kebiasaan sebelum setiap penerbangan, sebagai pramugari yang bertanggungjawab Toh Puan Fauziah melakukan kerja rumah untuk mengenali latar belakang penumpang kelas pertama, agar layanan yang diberikan mencapai tahap terbaik.
Dalam keheningan kabin kelas perniagaan itu, pesawat mereka turut membawa pasangan istimewa –– Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang ketika itu merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri dan isterinya, Almarhumah Dato Seri Feona Sim Abdullah.
Toh Puan Fauziah pula menjalankan tugasnya seperti biasa, melangkah menghampiri tempat duduk Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri dengan penuh profesionalisme.
Takdir sering bermain dengan cara yang tidak terduga. Dua minggu selepas pertemuan pertama, Toh Puan Fauziah sekali lagi dipertemu dengan mereka berdua, kali ini dalam penerbangan kelas perniagaan MAS dari London ke Kuala Lumpur.
MEMOHON SUMBANGAN PERSATUAN
Masa terus berlalu, masing-masing meneruskan kehidupan dan rutin harian seperti biasa. Bagaimanapun, atas rasa hormat serta keyakinan terhadap keperibadian Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai tokoh politik di Persekutuan, Toh Puan Fauziah mengambil keberanian menghubungi Setiausaha Politik Tun ketika itu, Dato Sri Syed Hamzah Syed Paie untuk membantu Kelab Pasukan Bola Jaring MAS yang dipimpinnya.
“Saya juga memohon sumbangan peralatan sukan bola jaring kerana ketika itu saya merupakan Pengerusi Kelab Bola Jaring MAS,” katanya.
Begitu juga ketika pandemik COVID-19 melanda negara. Dalam keadaan negara terkurung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai yang kehilangan sumber pendapatan, tidak kurang yang terputus bekalan makanan.
Ketika itulah Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang merupakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, memainkan peranan penting dalam memastikan bantuan dan sokongan sampai kepada rakyat yang memerlukan ke seluruh pelosok negara.
“Kementerian di bawah kelolaan Tun banyak membantu rakyat yang kekurangan sumber dan makanan di seluruh Malaysia. Pada masa yang sama, kakitangan beliau mendapat makluman daripada ahli jawatankuasa Kampung Setia Jaya, Kuala Lumpur bahawa mereka memerlukan sumber kewangan untuk memberi bantuan kepada penduduk setempat yang terkesan.
“Syed Hamzah kemudian menghubungi saya dan meminta mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan. Saya diminta untuk membeli barangan keperluan dan makanan serta mengagihkan kepada penduduk yang terjejas ini.
“Namun disebabkan pergerakan yang terbatas oleh PKP, komunikasi saya dengan Syed Hamzah terhad dan hanya berhubung melalui aplikasi WhatsApp sahaja. Bagaimanapun, saya berjaya menjalankan amanah yang diberi.
“Bantuan turut disalurkan kepada beberapa kakitangan Kolej Universiti Tuanku Abdul Rahman Kuala Lumpur, tanpa mengira latar belakang termasuk tukang bersih dan tukang kebun tanpa perbezaan kaum,” ujarnya.
Toh Puan Fauziah tanpa ragu, melaksanakan amanah tersebut sebaik mungkin. Setiap bungkusan makanan dan barangan keperluan yang dihantar bukan sekadar sumbangan biasa, ia simbol kasih sayang dan kemanusiaan ketika dunia diserang wabak yang menyebabkan jutaan nyawa terkorban. Sementara, kertas kerja mengenai bantuan seperti perincian keperluan dan sebagainya diserahkan kepada Syed Hamzah.
“Pengalaman ini memberi saya gambaran yang jelas tentang sifat Tun yang sangat ikhlas dan berhati mulia dalam membantu masyarakat yang memerlukan, tanpa mengira siapa pun mereka.
“Tun bukan sahaja memudahkan urusan rasmi tetapi juga sentiasa peka terhadap kesusahan orang ramai, walaupun dalam perkara yang mungkin dianggap kecil oleh orang lain.
“Dalam setiap tindakan, Tun membuktikan bahawa kepimpinan bukan hanya tentang kuasa, namun tentang perasaan serta kesanggupan untuk memahami dan membantu,” katanya.
Namun takdir dan masa depan tiada siapa boleh menduganya. Apa-apa pun takdir yang datang, siapa kita sebagai hamba-Nya untuk menidakkannya. Dalam setiap pertemuan, terselit rahsia takdir yang mungkin menghubungkan masa depan yang tidak pasti.
Hari yang melakar sejarah indah masih segar dalam ingatan. Sewaktu lamaran itu datang, hatinya bergetar hebat. Seakan-akan waktu terhenti sejenak, membiarkan dirinya bergelut dengan pelbagai persoalan yang datang bertalu-talu.
“Kenapa saya? Saya sebenarnya sangat terkejut.” Soalan itu berulang-ulang di benak hati dan fikiran Toh Puan Fauziah, berkisar antara kehairanan dengan rasa terharu.
Segalanya terasa begitu cepat, hampir sukar untuk dicerna. Namun, di sebalik kejutan itu ada satu perasaan yang lebih mendalam. Beliau sedar, segala yang terjadi bukan kebetulan tetapi telah tertulis dalam helaian takdir Ilahi.
“Saya sendiri tidak menyangka kerana segala yang berlaku berasa begitu cepat. Namun begitu, ia memberi sebuah rasa yang amat mendalam dan penuh bermakna.
“Dalam masa yang sama, saya berasa bersyukur dan gembira. Saya sedar bahawa segala yang berlaku adalah takdir Allah, Qada dan Qadar-Nya. Siapa kita untuk menidakkan perancangan-Nya?
“Sesungguhnya, perancangan Allah adalah sebaikbaik perancang. Alhamdulillah, saya menerima segala yang berlaku dengan hati terbuka dan penuh rasa syukur,” ceritanya, menerima bahawa hidup ini adalah perjalanan yang telah diatur dengan sebaik-baiknya.
Di mata Toh Puan Fauziah, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar bukan hanya seorang pemimpin tetapi lelaki membawa cahaya dalam kehidupannya. Seorang yang berprinsip, namun penuh kelembutan dalam hati dan sentiasa merendah diri.
Toh Puan Fauziah juga mahu masyarakat tahu, perkahwinannya bukan kerana jawatan atau gelaran. Baginya, keutuhan rumah tangga ini cukup dengan kasih sayang tulus bukan dengan harta benda yang bertimbun.
“Saya berkahwin dengan Tun bukan sebab beliau TYT, bukan sebab beliau menteri. Bahkan ketika kami kahwin, Tun sudah tidak memegang sebarang jawatan, beliau sudah bersara daripada politik mahupun jawatan menteri. Jadi saya mengahwini orang biasa.
“Malah, Tun sendiri memberitahu saya, beliau bukan orang kaya, tidak memiliki kekayaan. Tetapi saya katakan kepada Tun bahawa sekiranya perlu, saya masih boleh bekerja
SALING MENERIMA
“Namun Tun tidak mengizinkan. Tun tidak mahu saya bekerja dan enggan mendengar cerita mengenai itu. Hakikatnya, saya bukan mengejar harta. Saya kejar kasih sayang daripada suami saya. Itu lebih bermakna.
“Saya juga bersyukur anak-anak menunjukkan kasih sayang kepada saya,” luahnya dengan suara yang bergetar.
Dan di situlah letaknya rahsia keharmonian mereka, saling menerima seadanya dan menyayangi tanpa syarat.
Kasih sayang yang mengalir dua hala seperti air sungai yang jernih mengalir tanpa henti, membasahi setiap penjuru hati mereka sekeluarga.
Kini, setelah bertahun-tahun bersama, Toh Puan Fauziah melihat sendiri bagaimana benih kasih yang disemai sejak awal berputik menjadi pohon rendang.
Sebuah kisah indah yang membuktikan bahawa di sebalik gelaran dan darjat, yang paling utama adalah kasih yang tulus dan kejujuran dalam menerima antara satu sama lain.
Kehidupan Toh Puan Fauziah dahulunya ibarat rentak waktu yang tidak pernah berhenti. Selama 22 tahun berbakti sebagai pramugari menjadikan beliau seorang wanita yang biasa dengan dunia sentiasa bergerak, dikelilingi manusia pelbagai ragam dan budaya.
Dengan jadual kerja yang ketat, beliau jarang punya ruang untuk menikmati masa santai, melepak di kopitiam sambil berbual kosong bersama sahabat.
Namun takdir hidupnya berubah seiring langkah yang diatur bersama insan tercinta, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Dari kota metropolitan Kuala Lumpur, beliau mengikut suami ke Bumi Kenyalang, tanah kaya dengan budaya, warisan dan sejarah, tetapi asing buat dirinya pada permulaan.
“Dahulu saya tiada masa untuk duduk lepak atau berborak lama-lama di kedai kopi. Jarang makan di luar. Dunia saya sentiasa sibuk dengan kerja. Hidup saya terikat dengan tugas.
“Apabila di Sarawak, segalanya berbeza. Pada hujung minggu, jika masa mengizinkan Tun sering mengajak saya menemaninya ke kopitiam, tempat pertemuan sahabat-sahabat lama sambil menikmati kopi panas dan makanan tradisi.
“Jadi, saya harus belajar menyesuaikan diri dalam kalangan kawan Tun termasuk masyarakat tempatan. Saya perlu belajar, tidak boleh hanya mengharap mereka bercakap bahasa dan cara saya. Saya yang perlu bercakap dalam bahasa Melayu Sarawak,” ujarnya.
Beliau sedar, sebagai isteri, bukan sahaja tubuhnya harus hadir di sisi suami tetapi jiwanya juga perlu larut dalam lingkungan sahabat, keluarga dan rakyat Sarawak.
Di situlah, ketekunan seorang wanita yang tabah mula menyerlah. Beliau tidak mahu menjadi asing di tengah-tengah masyarakat yang menyambutnya.
Lantas, bahasa menjadi jambatan yang beliau bina dengan sabar.
“Dalam masa setahun, Alhamdulillah, saya sudah boleh bercakap dalam bahasa Melayu Sarawak. Malah, saya rasa saya lebih tahu daripada kawan-kawan lain dari Semenanjung,” katanya, senyum terukir di bibir.
Kebetulan, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar sendiri ada menulis buku berkaitan bahasa Melayu Sarawak, membuatkan proses pembelajaran Toh Puan Fauziah lebih cepat dan mudah.
Bukan sekadar tahu dan belajar menggunakan bahasa itu, beliau bahkan mendalami setiap perkataan dan setiap frasa yang mungkin sudah mulai dilupakan oleh anak watan. Dari situ, beliau bukan sahaja memahami bahasa, malah menghayati jiwa dan budaya rakyat Sarawak yang kaya dengan kelembutan, kehalusan dan kesantunan tutur kata.
Namun, di sebalik semua itu, beliau mengaku bahawa tutur katanya masih belum benar-benar berbunyi seperti orang Sarawak.
“Belum sampai tahap itu,” ujarnya merendah diri. Tetapi keupayaan beliau untuk berinteraksi serta berbicara dalam bahasa tempatan, sudah cukup menjadi bukti betapa beliau benar-benar berusaha menyesuaikan diri.
Penyesuaian terbesar dalam hidup selepas berpindah dari Kuala Lumpur ke Sarawak, jawapan Toh Puan Fauziah cukup menyentuh hati iaitu ikhlas dan jujur berpindah ke Bumi Kenyalang.
“Sejujurnya, tidak banyak perbezaan. Hidup saya di Kuala Lumpur pun banyak tertumpu di rumah. Bersama emak, anak dan anak-anak saudara. Saya menjaga keluarga. Itu saja dunia saya,” katanya lembut.
MENGGALAS TUGAS BAHARU
Namun, ada satu hal yang tidak dapat dinafikan. Keadaan berbeza selepas suaminya menggalas tugas baharu, pergerakannya sebagai seorang isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak bukan seperti dulu.
Tanggungjawab dan peranan yang digalas kini lebih berat, lebih terbatas. Tidak semudah melangkah keluar membeli kunyit, halia atau serai seperti dahulu.
Ada yang menyangka, berpindah ke negeri lain akan membawa perbezaan besar dalam soal makanan dan budaya. Namun bagi Toh Puan Fauziah, segalanya terasa begitu mudah, seolah-olah takdir sudah menyusun agar jiwanya mudah serasi dengan Bumi Kenyalang.
“Di rumah Tun, semua tidak makan pedas. Sama seperti keluarga saya di Kuala Lumpur,” kata beliau sambil ketawa kecil.
Satu kebetulan yang tidak pernah beliau sangka, membuatkan proses penyesuaian dari segi makanan hampir tiada halangan langsung.
Cuma, dari segi nama dan resipi, beliau akui ada yang berbeza.
“Di sini, orang panggil cucur kememek atau cucur renyuk. Di Semenanjung, kami panggil cekodok. Tapi sebenarnya benda yang sama. Keluarga saya di Kuala Lumpur gemar makanan ini.
“Perbezaan lain Tun kurang makan makanan bergoreng. Selain daripada goreng pisang dan cucur kememek gaya Tun. Itu sahaja berbeza dari sudut makanan.
“Untuk budaya dan gaya hidup? Tiada beza. Cara hidup di sini sama seperti di Semenanjung. Tiada banyak perubahan,” ceritanya.
Begitulah Toh Puan Fauziah, seorang wanita yang belajar menjadi akar kepada pohon cinta yang sedang mekar di Bumi Kenyalang. Antara bahasa, budaya dan kasih sayang, beliau kini menjadi sebahagian daripada nadi Sarawak yang kaya dan indah.
DIBINA DENGAN KASIH SAYANG
Di dalam setiap rumah, keharmonian merupakan nikmat yang tidak ternilai harganya. Ia lahir daripada kejujuran hati, keikhlasan jiwa dan keutuhan kasih sayang yang tidak mengenal sempadan. Begitulah yang dipertahankan oleh Toh Puan Fauziah dalam melayari bahtera kehidupan berkeluarga bersama suami tercinta.
Sejak awal perkahwinan, Toh Puan Fauziah sedar dirinya melangkah masuk ke dalam sebuah keluarga yang telah sedia terbina. Anak-anak, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar bukan lagi kecil, tetapi insan dewasa yang sudah matang akal dan budi. Namun, rasa syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi, perjalanan yang tampak sukar itu menjadi mudah dengan izin-Nya.
“Saya rasa bersyukur, Alhamdulillah, anak-anak Tun menerima saya dengan hati yang terbuka. Walaupun saya bukan ibu kandung mereka tetapi penerimaan mereka terhadap saya amat baik. Mereka menyambut saya sebagai keluarga,” luahnya dengan penuh kesyukuran.
Tiga puteri Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar iaitu Sharifah Fariah, Sharifah Nong-Jasima dan Sharifah Nuril Barieyah, semuanya terpelajar, memiliki ilmu di dada dan budi pekerti yang luhur.
Pendidikan yang mereka terima bukan sahaja di universiti tetapi juga daripada kehidupan dan asuhan ayah serta ibu dengan yang penuh kasih.
Ketiga-tiga anakanda ini menjadi jambatan yang menghubungkan hati seorang ibu tiri dengan penuh kelembutan dan rasa hormat.
“Anak-anak yang terdidik ini boleh menerima saya sebagai isteri kepada abah mereka. Saya balas kasih sayang mereka dengan kasih sayang juga. Saya didik Muhammad Fida’yi Tasnim, supaya kami semua hidup sebagai satu keluarga.
“Tiada jurang, tiada beza. Lagipun Tun melayan semua anak-anak dengan sama rata, menerima Tasnim sebagai anaknya sendiri. Ini semua dua hala. Saya terima mereka, mereka terima saya dan itulah yang mengikat kami, kasih sayang ikhlas tanpa syarat,” ujarnya sambil mata berkaca menahan sebak.
Bagi beliau, kasih sayang itu adalah benang-benang halus yang menjahit setiap helaian hubungan dalam keluarga ini menjadi satu ikatan yang utuh.
Dalam lembut bicara, Toh Puan Fauziah mengenang kembali sikap suaminya yang begitu mengutamakan musyawarah dalam keluarga.
Meskipun seorang pemimpin besar di pentas politik dan kenegaraan, tetap meletakkan keluarganya sebagai keutamaan. Setiap keputusan, hatta soal makan di mana dan menu apa sekalipun, akan dibincangkan bersama anak-anak.
“Tun agak istimewa. Hendak makan pun beliau akan panggil anak-anak untuk bincang. Itu memang cara Tun, sentiasa amalkan perbincangan di dalam rumah. Semua keputusan dibuat bersama,” katanya.
Keharmonian yang terjalin bukan sekadar pada kata tetapi terpatri sejak awal lagi. Sebelum lafaz akad nikah diucapkan, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar terlebih dahulu duduk bersama anak-anak, menjelaskan hasrat hati untuk mengambil Toh Puan Fauziah sebagai suri hidup.
“Tun tidak membuat keputusan sendirian. Beliau panggil anak-anak dan menerangkan semuanya, berbincang secara mendalam terlebih dahulu. Dan anakanak jawab, siapa saja pilihan abah, itulah pilihan kami.
“Tidak ada masalah dan penerimaan itu sejak dari awal lagi sebelum Tun menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak,” ujarnya.
Jawapan yang lahir daripada keikhlasan dan rasa hormat kepada seorang bapa itu menjadi saksi perkahwinan ini disambut tanpa rasa ragu, tiada curiga. Hanya doa dan harapan agar keluarga ini terus dilimpahi rahmat dan kasih sayang.
Menyelami hati seorang lelaki seperti Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, seperti melayari samudera luas penuh rahsia.
Setiap insan yang pernah bertemu dengannya pasti mengenali susuknya sebagai seorang pemimpin yang tegas dan berprinsip. Tubuh tegap, langkah yakin dan wajah yang sering serius memberi gambaran seorang lelaki yang sukar didekati.
Namun, hanya mereka yang benar-benar mengenalinya terutama isteri tercinta, Toh Puan Fauziah tahu bahawa di sebalik ketegasan itu, tersembunyi hati yang penuh kelembutan dan kasih sayang.
Hidup bersamanya, adalah perjalanan yang penuh warna. Ada tawa, ada nasihat dan ada juga saat-saat Toh Puan Fauziah tersenyum sendiri melihat sikap suaminya yang terlalu melindungi.
“Tun seorang suami yang sangat penyayang. Tetapi dalam masa sama, beliau juga seorang yang sangat kuat cemburu atau lebih tepat, terlalu melindungi,” ujar Toh Puan Fauziah, senyum terukir di bibirnya.
Salah satu kenangan yang sering mengusik hatinya adalah ketika beliau perlu ke Kuala Lumpur untuk menziarahi seorang sahabat yang meninggal dunia. Suaminya tidak dapat menemani dan hanya menelefon bertanya khabar.
Namun, panggilan itu bukan sekadar bertanya perjalanan, ia datang dengan satu deretan soalan yang cukup mengundang senyum.
“Siapa duduk sebelah? Dan soalan-soalan lain yang membuatkan saya tersenyum sendirian.
“Daripada nada suara itu saya dapat rasakan ada sedikit rasa cemburu, yang pada masa sama jelas bahawa Tun sangat sayangkan saya. Beliau memang sangat mengambil berat tentang saya,” ceritanya.
Cemburu itu bukan tanda ragu, tetapi kerana terlalu dalamnya rasa sayang. Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar sentiasa menjaga dan mengambil berat setiap butir perkara kecil dalam kehidupan isterinya, mahu memastikan keselamatan Toh Puan Fauziah terjamin.
Perhatian Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar sering terpancar tanpa perlu diucapkan dengan kata-kata.
Setiap kali mereka menginap di hotel atas urusan kerja, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar mempunyai satu kebiasaan yang tidak pernah berubah, beliau akan memilih untuk tidur di atas katil yang terletak paling hampir dengan pintu.
“Setiap kali tidur di hotel untuk menghadiri program rasmi, Tun akan memilih untuk tidur pada bahagian katil yang berdekatan dengan pintu. “Katanya, lelaki perlu tidur di sebelah pintu demi keselamatan. Perkara kecil seperti ini menunjukkan betapa beliau memberi perhatian kepada setiap aspek, walau sekecil mana pun.
“Kadangkala, tindakan atau perhatian Tun membuatkan saya terfikir –– mengapa ya? Tetapi itu semua adalah bukti betapa besar kasih sayang dan keprihatinan beliau terhadap saya.
“Tun memang penuh dengan kejutan kecil yang tidak terjangka dan saya sangat menghargai setiap perhatian yang diberikan,” ujarnya menghargai hari-hari bersama yang penuh kejutan dan makna mendalam.
Ini mungkin nampak seperti satu perkara kecil yang tidak pernah difikirkan oleh kebanyakan orang, tetapi bagi Toh Puan Fauziah, itulah bukti cinta yang tidak perlu dihiasi dengan kata-kata manis.
Ia adalah tindakan yang lahir dari keinginan, keprihatinan dan tanggungjawab untuk melindungi, memastikan insan yang paling disayanginya sentiasa berada dalam keadaan selamat.
Satu lagi hal yang sangat menyentuh hati Toh Puan Fauziah adalah keprihatinan Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam soal makanan dan perkaraperkara kecil yang tidak pernah dilakukan orang lain.
“Tun memang sangat prihatin. Contohnya apabila makan ikan, beliau tahu dengan tepat bahagian mana yang saya suka. Begitu juga dengan ayam, beliau tahu bahagian yang menjadi kegemaran saya.
“Bahkan, perhatian dan ambil berat beliau terhadap saya sehinggakan berus gigi saya pun ditukarnya. Sepanjang hidup ini, tiada siapa yang pernah berbuat demikian, menukar berus gigi saya.
“Tetapi Tun begitu peduli hingga perkara sekecil itu pun beliau ambil kira. Bayangkan, betapa perhatian dan kasih sayang yang beliau tunjukkan, meskipun dalam hal yang tampak remeh,” katanya bersyukur memiliki suami benar-benar peduli, kasih sayang yang ditunjukkan penuh tulus.
Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar bukan seorang lelaki yang cepat marah. Namun, jika ada sesuatu yang perlu ditegur, beliau akan mengatakannya secara berterus terang. Teguran yang tepat, tanpa perlu meninggikan suara tetapi cukup untuk menyampaikan maksud.
“Dan yang penting, kita tidak boleh mengulanginya lagi selepas itu. Begitulah ketegasan Tun. Namun, di sebalik ketegasan itu, beliau seorang yang sangat pemurah, tidak pernah kedekut dengan duit.
“Pemurah bukan hanya pada keluarga tetapi juga kepada sesiapa yang memerlukan. Gaji yang diterima, akan diasingkan sebahagiannya untuk mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.
Ada satu peristiwa yang benar-benar menyentuh hati Toh Puan Fauziah. Apabila seorang insan memohon bantuan kewangan sebanyak RM1,800 untuk persekolahan anaknya.
Seperti biasa, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyerahkan telefon bimbitnya kepada isteri tersayang, untuk melakukan pemindahan wang secara dalam talian. Namun saat membuka akaun bank suaminya, beliau terkejut. Wang suaminya cuma RM5,800.
“Saya bertanya kepada Tun dengan nada yang khuatir, sambil memaklumkan jumlah wangnya yang tinggal dalam simpanan.
“Reaksi muka Tun yang sedikit berkerut ketika itu, sambil bertanya kepada saya ke mana pergi semua wang simpanannya?” ujarnya.
Hati Toh Puan Fauziah berasa sayu melihat wajah lelaki yang telah banyak berkorban untuk membantu orang lain, hingga adakalanya mengabaikan diri sendiri.
“Namun begitu, Tun tetap menghulurkan bantuan. Walaupun jumlah yang diberi kurang daripada yang diminta, beliau tetap memberi dengan penuh keikhlasan,” ceritanya.
Sifat pemurah Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar itu mengukir kesan mendalam di hati Toh Puan Fauziah. Pagi-pagi sebelum ke pasar, suaminya itu akan mencari wang kertas RM10, RM20 dan RM50. Wang itu bukan untuk membeli keperluan sendiri, ia untuk diberikan kepada mereka yang ditemuinya di pasar. Sama ada penjual ikan, tukang angkut barang atau sesiapa sahaja yang dilihatnya.
Anak-anak pemimpin tersohor itu turut mengikut contoh yang sama. Nilai murni yang ditanam oleh Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar bukan sekadar tentang memberi tetapi memahami bahawa dalam rezeki kita, ada bahagian untuk orang lain.
“Setiap kali Tun bersarapan di salah sebuah kedai makan kegemarannya, Old Rex di Satok, beliau memberi wang kepada seorang tukang sapu jalan yang selalu ditemuinya.
“Lelaki itu bekerja dengan upah hanya RM30 sehari. Dan setiap kali mereka bertemu, Tun tidak pernah lupa untuk menghulurkan sedikit wang.
“Saya melihat beliau mesra dengan sesiapa sahaja, tidak kira di mana berada. Hatinya sentiasa ada untuk rakyatnya, tidak kira siapa pun mereka,” katanya.
Kemurahan hati pemimpin tertinggi itu bukan hanya berkisar tentang wang.
Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga tidak pernah lokek ilmu. Berbual dengannya bukan sekadar berbual kosong, setiap kata yang keluar dari bibirnya adalah perkongsian pengalaman, nasihat dan hikmah yang mendalam.
Ramai melihat Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai seorang yang garang. Mungkin kerana tubuhnya yang tegap dan wajahnya yang serius. Namun, mereka yang mengenalinya tahu bahawa di dalam dirinya ada hati yang sangat lembut.
Toh Puan Fauziah masih ingat satu peristiwa yang benar-benar menunjukkan sisi hati suaminya. Ketika tayangan filem pendek sempena Hari Jadi Rasmi TYT Sarawak, ada satu babak yang dilakonkan seorang wanita menunjukkan watak bonda Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
“Saat babak itu muncul di skrin, Tun yang duduk di kerusi tetamu kenamaan tiba-tiba tunduk. Matanya berair. Beliau tidak dapat menahan perasaannya dan menangis.
“Itulah salah satu sisi beliau yang tidak ramai orang tahu, luarannya nampak keras tetapi sebenarnya sangat sensitif, perkara kecil sedemikian juga mampu menggugat perasaannya,” ujarnya.
Sukar untuk membayangkan seorang lelaki dengan perwatakan segagah Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar boleh mudah tersentuh, tetapi itulah diri beliau.
Kasih sayang sentiasa mengalir dan kenangan terhadap insan yang pernah berjasa dalam hidupnya tetap teguh tersemat di hati.
Di sebalik kebijaksanaan seorang negarawan yang telah banyak menyumbang kepada Sarawak dan Malaysia, tersimpan hati yang penuh kasih sayang, wujud kelembutan seorang suami dan ayah yang mengutamakan keluarga.
Tidak pernah ada hari lahir yang terlupakan, tidak pernah ada ulang tahun perkahwinan yang dibiarkan berlalu begitu sahaja. Semua tarikh penting ini tersimpan rapi dalam dalam ingatannya, bukti kasih dan tanggungjawab yang tidak pernah luntur terhadap insan-insan tersayang.
Sifat itulah yang amat dikagumi isterinya, Toh Puan Fauziah. Walaupun tugas sebagai pemimpin negeri dan negara begitu berat, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak pernah mengabaikan peranannya dalam keluarga.
Setiap kali ada kesempatan, beliau akan memastikan masa berkualiti bersama anak-anak dan isteri tetap diutamakan. “Bagi Tun, kebahagiaan yang sebenar dapat meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak, menikmati makan tengah hari atau makan malam bersama keluarga tercinta. Itu adalah saat-saat yang paling bermakna dalam hidupnya.
”Baginya, dalam kehidupan yang penuh dengan mesyuarat, keputusan besar dan agenda negeri mahupun negara, tiada yang lebih berharga daripada tawa dan senyuman insan tersayang,” ujar Toh Puan Fauziah.
Dalam dunia yang sering kali menuntut pengorbanan besar untuk mencapai kejayaan, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar membuktikan bahawa seseorang tidak perlu memilih antara keluarga dan negara kerana keduanya boleh berjalan seiring, selagi ada keikhlasan dan kebijaksanaan dalam menguruskan kehidupan.
Di sebalik perwatakan seorang negarawan yang berwibawa, di luar urusan kerja dan politik pula, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar mempunyai dunia kecilnya sendiri. Salah satu minat yang paling mendalam dalam dirinya adalah berkebun.
Menurut Toh Puan Fauziah, suaminya itu gemar melihat pokok-pokok tumbuh segar, menyaksikan buah-buahan dan sayur-sayuran yang ditanamnya membesar. Ada kepuasan tersendiri dalam melihat hasil dari tangan sendiri, dalam menyentuh tanah dan merasakan kesegarannya.
“Namun, jika ada dua perkara yang benarbenar mencerminkan jiwanya, ia adalah membaca dan menulis. Tun bukan sekadar suka membaca tetapi menjadikan bacaan sebagai sebahagian daripada dirinya.
“Pagi, siang atau malam, di mana-mana sahaja pasti ada buku menjadi teman setianya. Ketika bersarapan, buku turut menemani.
“Di kamar tidur, sebelum mata terlelap, beliau masih tenggelam dalam helaian-helaian ilmu.
“Dan daripada bacaan itu, lahirlah tulisan yang menjadi suara fikirannya.
“Tun menulis bukan sekadar untuk mencatat peristiwa tetapi juga merakamkan pemikiran dan pengalaman yang ingin dikongsikan kepada dunia,” katanya.
Di mata ramai, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar mungkin dikenali sebagai politikus yang bijak mengatur langkah.
Tetapi di mata mereka yang benar-benar mengenalinya, beliau lebih daripada itu.
Beliau seorang lelaki yang masih percaya bahawa kasih sayang boleh hadir dalam bentuk paling sederhana.
Daripada sepotong ikan yang dipilih dengan teliti mahupun sebatang berus gigi yang digantikan tanpa diminta, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar seorang lelaki yang sarat perhatian.
Beliau tidak menjanjikan bulan dan bintang, tetapi memberikan sesuatu yang lebih bernilai iaitu rasa dihargai, dilindungi dan disayangi dengan cara yang paling tulus.
DIRGAHAYU CINTA
KISAH cinta Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi ini bukan sekadar cerita tentang perkahwinan, tetapi juga tentang komitmen, pengorbanan dan dedikasi terhadap keluarga. Dengan cinta dan pengertian yang mendalam, mereka melangkah ke hadapan membina perjalanan hidup penuh bermakna dan indah.
Bagi Yang di-Pertua Negeri ini, ada sesuatu yang luar biasa tentang keperibadian Toh Puan Fauziah yang mencuri hatinya. Bukan hanya kecantikan zahirnya tetapi cara beliau menghargai dan memuliakan keluarga, keikhlasan jelas terpancar daripada diri wanita ini. Bagi pemimpin ini, nilai kekeluargaan adalah perkara utama yang menjadi asas pengikat hubungan mereka.
Beliau bukanlah seorang lelaki yang mudah jatuh cinta. Mengakui sangat teliti dalam memilih pasangan, bahkan pada masa mudanya walaupun pernah dianggap lelaki idaman setiap wanita tetapi beliau sangat pemilih dalam hal hubungan.
Setiap kali berjanji temu dengan wanita, beliau akan membawa ibu saudaranya, Sharifah Rasidah Tuanku Abdul Rahman sebagai peneman.
Baginya, menepati janji dan berdisiplin sangat penting dalam sebuah hubungan. Beliau juga tidak suka jika ada wanita menunjukkan minat terhadap duit dan kekayaan dalam hubungan.
Mengimbas kembali pertemuan awal mereka pada 2016 ketika penerbangan ke kota London menaiki pesawat Malaysia Airlines, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang terbang bersama Almarhumah isterinya berkata, tiada apa-apa yang luar biasa namun ada satu perkara tertanam di ingatan beliau dan isterinya –– Toh Puan Fauziah satu-satunya pramugari yang menggayakan rambut bersanggul pada waktu itu. Itu sahaja.
Namun, takdir tidak dapat kita jangka. Mereka bertemu lagi dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching. Kali ini, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengingati susuk itu yang Toh Puan Fauziah salah seorang kru penerbangan MAS 380. Tetapi mereka hanya bertegur sapa dan beliau disajikan kopi oleh Toh Puan Fauziah yang kemudian berinteraksi biasa antara penumpang dengan kru penerbangan.
Ketika pandemik COVID-19 melanda negara, Toh Puan Fauziah yang menjadi sukarelawan menghantar surat kepada Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerusi setiausahanya, Dato Sri Syed Hamzah Syed Paie, untuk meminta sumbangan membantu golongan yang terkesan di kampung ibunya. Waktu terus berlalu tanpa menoleh ke belakang dan masing-masing meneruskan hidup seperti biasa.
Suatu hari, ada peristiwa yang mula menarik perhatian Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ketika beliau mengundang Toh Puan Fauziah bersama-sama ibu dan adik-beradiknya untuk makan malam.
Ketika itu, beliau menyaksikan sendiri bagaimana wanita ini melayan keluarganya dengan penuh kasih sayang dan kagum betapa kuatnya ikatan kasih sayang keluarga dalam hidupnya. Nilai yang sama dipegang Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
SUMBER KEKUATAN EMOSI
Bagi beliau, keluarga merupakan segala-galanya. Tidak ada yang lebih penting daripada itu. Namun hubungan mereka bukanlah sesuatu yang terjadi secara spontan. Ia melalui proses panjang dan penuh pertimbangan tetapi apa yang jelas, adalah pengorbanan dan komitmen Toh Puan Fauziah terhadap keluarganya menjadi titik awal hubungan mereka.
Satu lagi kejadian menyerlahkan keperibadian, prinsip dan disiplinnya yang menyentuh hati Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar adalah semasa pemimpin itu cuba menghubungi Toh Puan Fauziah untuk urusan kerja.
Namun panggilan beliau tidak berjaya dan apabila ditanya, Toh Puan Fauziah dengan penuh rendah hati menjelaskan bahawanya tidak menjawab panggilan telefon semasa bekerja, tidak kira siapa yang menelefon kerana itu pantang larang dalam komitmen kerjanya.
Tetapi di sebalik semua peristiwa itu, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebenarnya tidak pernah menduga untuk berkahwin semula. Ia terdetik hanya selepas sekian lama pemergian isteri tercinta, Almarhumah Dato Seri Feona Sim Abdullah. Kehilangan yang begitu mendalam itu meninggalkan kesan besar dalam hidupnya.
“Selepas isteri meninggal dunia, saya mula duduk sendirian di Kuala Lumpur, memikirkan masa depan kerana sebenarnya sejak tahun 2020 lagi saya mahu bersara daripada dunia politik.
“Ketika itu saya sudah tekad kerana sudah berusia lebih 70 tahun, jadi saya rasa sudah tiba masanya untuk bersara. Saya mula terfikir, apabila bersara, saya akan hidup sendirian.
“Anak-anak saya, Sharifah Fariah, Sharifah Nong-Jasima dan Sharifah Nuril pula sibuk dengan kehidupan masing-masing, apatah lagi masing-masing sudah mendirikan rumah tangga. Saya mula memikirkan tentang hidup yang akan dikelilingi kesunyian. Bagaimana saya akan menghadapinya nanti?” ceritanya.
Berasakan dirinya akan hidup bersendirian selepas bersara, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar bertanya kepada Syed Hamzah yang juga sudah dianggap seperti anak sendiri, mengenai hukum berkahwin semula selepas kematian isteri.
Syed Hamzah yang juga lulusan pengajian Islam dalam bidang ilmu hadis, menjelaskan secara terperinci kepadanya, tiada halangan untuk seorang lelaki berkahwin semula selepas kematian isterinya, malah dinasihatkan agar lelaki tidak berterusan hidup bujang dan bersendirian.
TERIMA RESTU ANAK-ANAK
Setelah itu, beliau mula memikirkan masa depannya dengan lebih serius untuk memulakan hidup bersama seseorang.
“Daripada pengalaman yang dilalui sepanjang mengenali Toh Puan Fauziah, saya mula rasa tertarik. Namun, perasaan ini bukan datang serta-merta. Ia satu proses yang panjang. Perasaan itu tidak datang ketika saya bergelar suami orang. Tidak ada apa-apa perasaan pada waktu itu,” katanya.
Namun, keputusan yang dibuat bukan sesuatu yang datang secara tiba-tiba. Ia hasil perbincangan yang panjang dan penuh pertimbangan. Beliau tidak mahu mengambil langkah ini tanpa mendapatkan restu anak-anaknya yang kehilangan ibu mereka.
Malam itu, satu perbincangan diadakan di sebuah restoran di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengungkapkan hasratnya untuk berkahwin semula. Anak-anaknya, yang sudah dewasa dan menjalani kehidupan masing-masing, mendengar dengan penuh perhatian. Setelah mendengar penjelasan, mereka memberikan restu dengan sepenuh hati.
“Jika calon isteri boleh membuatkan abah bahagia, maka itu yang terbaik untuk abah,” kata anak-anak beliau tanpa sebarang syarat, hanya mahu ayah mereka bahagia.
Dengan restu anak-anak, malam itu juga beliau meluahkan hasrat hatinya untuk menjadikan Toh Puan Fauziah sebagai suri hatinya.
Namun, beliau tetap berasa gusar. Bagaimana mungkin seorang wanita seperti Toh Puan Fauziah yang sudah memiliki kehidupan sendiri mahu menerima seorang lelaki yang jauh lebih tua daripadanya dan hanya bergantung pada pencen selepas bersara?
“Saya memberitahunya dengan jujur bahawa saya akan bersara daripada jawatan sebagai Ahli Parlimen dan juga Menteri Persekutuan dengan pencen yang mungkin sekitar RM10,000 sebulan.
“Saya bukan orang kaya dan hanya hidup dengan pencen. Saya kemudian bertanya padanya, “Adakah you tidak takut untuk berkahwin dengan seorang lelaki yang jauh lebih tua dan hanya bergantung kepada pencen?”
“Namun Toh Puan Fauziah menjawab, jika perlu, beliau akan bekerja. Bagaimanapun, saya tidak akan membiarkan isteri bekerja. Jadi, itulah awal cerita yang akhirnya menjadi sejarah, urusan perkahwinan pun diatur,” katanya.
Bagi Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, jawapan itu bukan sekadar menunjukkan kesanggupan untuk menghadapi segala cabaran hidup bersama tetapi mencerminkan betapa tulusnya hati Toh Puan Fauziah untuk bersama-sama menghadapi hidup bersama, tidak kira apa yang mendatang.
Malah, salah satu perkara yang paling dihargai dalam perjalanan hidupnya bersama-sama Toh Puan Fauziah apabila adanya penerimaan kedua-dua belah keluarga. Bagi beliau, hubungan sihat dan harmoni bukan hanya melibatkan pasangan tetapi juga keluarga yang menyokong dan menerima setiap keputusan yang dibuat.
Melayari kehidupan baharu sebagai pasangan suami isteri, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar mendapati perbezaan yang dialaminya tidak banyak, sebaliknya mereka belajar untuk saling menyesuaikan diri.
Toh Puan Fauziah dengan sifatnya yang sangat terbuka dan penyayang, memberi syarat sederhana.
“Jika saya buat kesilapan, beritahu. Jangan diamkan saja,” katanya dengan penuh keikhlasan dan sedia menerima perubahan.
“Sebenarnya, tidak banyak perbezaan. Beliau juga tahu saya seorang yang sangat teliti, mengutamakan kekemasan dan sebagainya kerana mempunyai sedikit tingkah laku Obsessive-Compulsive Disorder (OCD).
“Sebagai contoh, jika kolar baju saya atau pakaian saya tidak menghadap arah yang betul, saya akan rasa tidak selesa, ia mesti menghadap ke arah yang sama. Begitu juga cara menyusun pakaian. Baju lengan panjang pakaian biasa, dan batik semuanya mesti disusun dengan tempat yang berasingan.
“Kasut juga mesti diletakkan teratur, tidak boleh bersepah. Semua ini sifat yang agak terperinci yang sudah sebahagian diri saya. Namun Toh Puan Fauziah dapat mengadaptasi dengan baik, beliau sentiasa ingat dan menjaga semua itu dengan penuh perhatian,” ujarnya.
Sebelum Toh Puan Fauziah masuk ke dalam hidupnya, beliau seorang lelaki yang sangat berdikari, menguruskan segala hal seorang diri. Namun, selepas berkahwin, beliau rasakan perubahan yang besar dalam kehidupannya.
MEMBAWA PERUBAHAN BESAR
“Toh Puan Fauziah memang merubah hidup saya, bahkan sangat memanjakan saya. Beliau membantu saya dalam segala hal, daripada mengatur tali leher, memilih baju hingga mengangkat barang.
“Saya menjadi sangat bergantung kepadanya,” ujarnya sambil mengakui beliau menjadi sangat bergantung kepada isteri tercintanya itu.
Bahkan, walaupun Toh Puan Fauziah hanya pergi sekejap, sekitar 30 minit, beliau mengakui sudah berasa sangat rindu kerana sudah terlalu terbiasa dengan kehadirannya di sisi.
Bagi Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, kehadiran Toh Puan Fauziah membawa perubahan besar dan memberi ketenangan dalam kehidupannya.
“Toh Puan Fauziah mempunyai kualiti yang sangat istimewa. Beliau mampu membuatkan saya berasa rumah adalah tempat tenang dan selesa. Tidak kira apa yang terjadi di luar sana, seburuk mana pun dunia ini, apabila pulang ke rumah, saya tahu akan mendapat sokongan dan kasih sayang yang diperlukan.
“Jadi, tidak ada wang, kecantikan atau apa-apa pun yang boleh menggantikan itu. Apabila pulang ke rumah, ada yang memberikan bahu untuk bersandar memberi sokongan. Saya sangat bersyukur kerana Toh Puan Fauziah mempunyai semua itu,” jelasnya.
Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga sangat mengagumi sikap Toh Puan Fauziah yang sangat rendah hati dan tidak mementingkan materialisme. “Kami berdua juga sangat serupa dalam satu hal ini.
Kami pergi ke pusat beli-belah untuk membeli apa yang perlu dan kemudian balik. Tidak lebih daripada itu,” ujarnya mengenang bagaimana mereka berdua menikmati kehidupan sederhana yang menenangkan.
Selain itu, sifat pemurah hati Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar memang sudah terkenal dalam kalangan ramai. Di kedai-kedai makan yang dikunjunginya, beliau sering membayar untuk semua pelanggan. Tidak kira siapa mereka, sama ada Cina, Dayak, India atau bangsa lain.
Namun, ada satu peristiwa yang benar-benar menguji kemurahan hati beliau, ketika saudaranya meminta bantuan untuk membayar yuran sekolah anaknya yang berjumlah RM1,800, sedangkan baki wang beliau hanya tinggal RM5,800.
“Ketika itu saya meminta Toh Puan Fauziah untuk memindahkan wang secara dalam talian. Namun ketika membuka akaun, didapati baki wangnya hanya tinggal RM5,800.
“Saya pun bertanya kepadanya mana lagi duit dan beliau menjawab, duit berkurangan kerana saya sering menghulur kepada orang yang memerlukan.
“Tambahan pula pada waku itu saya belum menerima elaun bulanan, pencen dan gaji saya sebagai pengerusi jawatankuasa penasihat juga belum masuk,” jelasnya.
Walaupun situasi kewangannya agak terhad, beliau tetap memberi wang dengan hati yang ikhlas, kerana baginya membantu orang lain sesuatu yang lebih bermakna daripada segala-galanya dan sikap yang sama turut diamalkan Toh Puan Fauziah.
Kisah hidup Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Fauziah merupakan kisah cinta yang dibina di atas asas yang kukuh –– keluarga, kasih sayang, dan pengorbanan.
Dalam perjalanan hidup bersama, mereka menunjukkan cinta sejati bukan tentang kemewahan tetapi tentang cinta, sokongan, pengertian dan kebersamaan menghadapi segala cabaran mendatang.
CINTA HADIR SEKALI LAGI
APABILA seorang lelaki kehilangan pasangan hidupnya, kekosongan ditinggalkan sukar diungkapkan dengan kata-kata. Ia terpatri dalam setiap rutin harian, menyelubungi detik-detik hening sepanjang hari dan hidup dalam kenangan yang tidak pernah padam daripada ingatan.
Pemergian isteri tercinta, Almarhumah Dato Seri Feona Sim Abdullah, pada 27 Mei 2022, meninggalkan ruang kosong yang amat mendalam dalam hidup Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Bagi beliau, kesunyian itu kian terasa apabila melewati waktu senja seorang diri, setelah hampir lima dekad melalui kehidupan bersama-sama wanita yang amat dicintai. Kehilangan peneman hidup telah menjadikan hari yang dilaluinya seolah-olah tidak lengkap dan menjalani kehidupan bersendirian merupakan satu cabaran yang amat berat untuk dipikul.
Dato Sri Syed Hamzah Syed Paie bukan sekadar Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertua Negeri. Beliau juga saksi kepada sisi peribadi Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang tidak diketahui ramai.
‘’Ketika beliau menyandang jawatan sebagai Menteri Parlimen dan Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri, kehilangan isteri tercinta begitu dirasai. Hari-harinya diteruskan seperti biasa, namun di balik ketenangan wajahnya, tersimpan kesunyian yang mendalam. Ia bukan sesuatu yang terluah dari pertuturan, tetapi cukup dirasai oleh mereka yang dekat dan memahami.
“Saya pernah melihat sendiri bagaimana beliau menjalani hidup sendirian di rumahnya di Kuala Lumpur. Beliau mengemas katil sendiri, memasak sendiri lewat malam,’’ katanya.
Bagi Syed Hamzah, situasi itu memberi kesan yang mendalam. Ia bukan sekadar menggambarkan sunyinya seorang lelaki yang kehilangan pasangan hidup, tetapi turut mengungkap keperluan yang lebih besar kehadiran insan yang mampu memberikan sokongan di luar urusan kerja dan protokol rasmi.
“Ia bukan sesuatu yang patut ditanggung seorang diri, apatah lagi dalam tempoh penuh tekanan sebagai seorang menteri yang memikul tanggungjawab besar,” katanya.
Sebagai pegawai menguruskan hal ehwal rasmi pemimpin negara, Syed Hamzah sedar akan batas tugasnya. Namun, di sebalik peranan rasmi itu, beliau tidak dapat menafikan hakikat yang dilihat dengan mata dan dirasa dengan hati, betapa sunyinya hidup Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar tanpa peneman di sisi.
Ada ruang dalam kehidupan yang tidak mampu diisi oleh sesiapa pun selain seorang isteri yang mampu memberi ketenangan emosi dan penjagaan peribadi, seperti yang selayaknya dimiliki insan seperti Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Tambahan lagi, detik getir yang dilalui beliau ketika memegang tanggungjawab besar dalam rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Sebagai menteri dan juga anak Sarawak, beliau menanggung bukan sahaja beban tugas, tetapi juga harapan seluruh negeri kelahirannya.
“Tekanan waktu itu sangat besar. Semua mata tertumpu kepada beliau. Pemimpin Sarawak mahu MA63 akhirnya diangkat dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Beban itu amat berat… dan beliau memikulnya sendirian,” katanya.
Beliau masih ingat suasana sunyi di kediaman Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar — sepi yang menyambut selepas hari yang panjang dan mencabar menjalankan tanggungjawabnya kepada negara.
“Saya percaya, ketika itu beliau sangat memerlukan seseorang di sisi. Seseorang yang dapat menjadi penenang di saat genting, bukan sebagai pegawai tetapi insan yang benar-benar memahami dan mampu menemani kekosongan hati beliau. Ketika itu, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar berdepan dengan dua persoalan besar yang perlu beliau selesaikan. Pertama, persoalan tentang kesediaannya untuk berkahwin semula satu keputusan besar dalam hidupnya. Beliau tertanya-tanya sama ada dirinya benar-benar bersedia untuk membuka lembaran baharu sebagai suami sekali lagi.
‘’Setelah berbincang panjang dengan saya, barulah beliau mula yakin bahawa harapan untuk berkahwin semula bukan sahaja wajar malah merupakan satu langkah yang tepat dalam keadaan beliau ketika itu.
“Seperti mana Saidatina Khadijah binti Khuwailid R.A yang menjadi penenang dan pengisi jiwa Rasulullah SAW, saya percaya di sebalik kejayaan seorang pemimpin besar, pasti ada seorang pendamping yang memainkan peranan penting dalam mengurus emosi dan kehidupan peribadinya,” katanya.
Syed Hamzah melihat Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, meskipun diberikan kepercayaan dan harapan besar oleh seluruh rakyat Sarawak, masih belum memiliki pendamping sedemikian. Beliau pulang ke rumah bersendirian, sedangkan di luar rumah, pelbagai beban tanggungjawab digalasnya.
Itulah perkara pertama yang beliau suarakan kepada Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar bahawa dalam keadaan beban tugas yang besar dan tuntutan emosi mendalam, beliau memerlukan seseorang untuk menguruskan jiwanya, bukan sekadar sebagai teman, tetapi sebagai pelengkap yang menyokong kekuatan dalaman beliau.
‘’Kedua, saya nyatakan perkahwinan semula selepas kehilangan pasangan bukan hanya satu keperluan peribadi, tetapi juga merupakan saranan agama. Bagi seseorang yang pernah bergelar suami, kehilangan pasangan membawa kepada kekosongan besar dalam hidup. Dalam Islam, hal ini ditangani secara berimbang agar tidak membuka ruang kepada kesedihan berpanjangan mahupun fitnah,’’ katanya.
Mencari calon suri hati pula, melihat kepada ketampanan Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar meskipun usianya ketika itu mencecah awal 70-an, Syed Hamzah menyatakan, beliau masih kekal sebagai seorang lelaki yang segak, berkarisma dan berkemampuan.
‘’Namun begitu, saya tekankan bahawa dua persoalan utama yang disebut tadi perlu diuruskan dengan teliti. Pertama, kesediaan beliau untuk menerima teman hidup baharu. Kedua calon mestilah tepat yang bukan hanya memenuhi keperluan dan keserasian yang tinggi serta mendalam yang akhirnya akan menghilangkan duka dan membuatnya bahagia,’’ katanya.
Tambah beliau, ia penting kerana faktor usia dan beban tugas sebagai tokoh negara menjadikan pemilihan calon bukan sekadar soal perasaan, tetapi juga soal ketenangan, keseimbangan dan sokongan berterusan. Jika calon yang dipilih tidak tepat, ia berpotensi menjadi satu tekanan baharu dalam kehidupan beliau.
‘‘Dan apabila Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar sendiri menyuarakan kesediaannya untuk menerima kehadiran seseorang dalam hidupnya, beliau berasa amat gembira.
‘’Saya tahu, hasrat itu bukan sahaja akan memudahkan urusan peribadi beliau tetapi juga akan meringankan beban tanggungjawab yang dipikul demi rakyat Sarawak pada ketika itu.
‘’Saya memberikan sokongan penuh dan dorongan kepada beliau untuk meneruskan niat tersebut. Pada saya, siapa pun yang menjadi pilihan hatinya, tentulah ia pilihan terbaik.
“Saya yakin dengan kebijaksanaan, pengalaman hidup dan kehalusan pertimbangan emosi beliau dalam membuat keputusan sebesar itu,’’ kongsinya.
Syed Hamzah berkelulusan Ilmu Wahyu dan Warisan Islam (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa itu berkongsi satu kisah yang menurutnya membawa hikmah besar kepada Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar seperti kisah Imam Hambali, tokoh agung dalam sejarah keilmuan Islam.
Kata Syed Hamzah, Imam Hambali pernah melalui saat kehilangan insan tercinta. Namun dalam kesedihan itu, Imam Hambali memilih untuk berkahwin semula. Keputusan itu bukan semata-mata untuk mengisi kekosongan, tetapi memilih perkahwinan untuk menjaga keseimbangan emosi, menghindari fitnah dan memelihara kehormatan diri.
KEPERLUAN MENERUSKAN KEHIDUPAN
‘’Saya mengingatkan beliau mengenai riwayat Imam Hambali berkahwin semula pada hari yang sama isterinya meninggal dunia demi menutup pintu dosa dan mengelak fitnah.
‘’Atas sebab itu, saya menegaskan perkahwinan semula bukan hanya pilihan, tetapi satu bentuk penyempurnaan. Ialah keperluan meneruskan kehidupan seiring dengan tugas berat yang beliau pikul.
“Yang paling utama tuntutan agama yang membawa kepada kebaikan besar, bahkan menyempurnakan separuh daripada iman seorang lelaki apabila beliau memiliki seorang isteri sebagai pendamping hidup.
“Saya sampaikan kisah itu kepada Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar dengan niat yang tulus, agar beliau tahu berbuat demikian bukanlah satu kekurangan sebaliknya untuk kebaikan,” ujar Syed Hamzah.
Lebih penting katanya, bagaimana Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima pandangan itu dengan hati yang terbuka dan jiwa yang tenang. Baginya, detik itu membuktikan pemimpin tidak pernah jauh daripada nasihat dan pedoman agama malah sentiasa bersedia mendengar apabila ia datang daripada keikhlasan.
Ketika Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengambil keputusan untuk memaklumkan hasratnya kepada anak, beliau sekali lagi memilih Syed Hamzah sebagai jambatan kepercayaan antara seorang ayah dengan keluarganya untuk menyampaikan hasrat itu kepada anak-anaknya.
“Beliau meminta saya berbicara dengan mereka secara terus terang, menyentuh aspek keagamaan dan emosi yang seiring dengan keputusannya untuk berkahwin semula.
‘’Ketiga-tiga anak perempuannya menerima penjelasan itu dengan sikap yang sangat terbuka dan positif.
“Mereka memahami ayahanda mereka memerlukan seseorang bukan sahaja sebagai teman hidup tetapi juga sebagai penyokong dalam urusan perkhidmatan dan kehidupan seharian,’’ katanya lagi.
Syed Hamzah melahirkan rasa kagum terhadap kematangan mereka yang bersedia menyambut kehadiran insan baharu dalam hidup bapa mereka.
Walaupun mereka mengakui bahawa tiada siapa mampu menggantikan tempat ibu kandung, mereka memahami ajaran Islam bahawa ibu tiri statusnya tetap seorang ibu yang sah dari segi hukum dan perlu dihormati.
“Mereka faham kehadiran seorang isteri bukanlah untuk menggantikan tetapi untuk menemani dan menyokong ayah mereka. Pemahaman itulah yang akhirnya membuka ruang penerimaan yang tulus terhadap Toh Puan Fauziah.
‘’Ibu kandung, bagi sesiapa pun di dunia ini, tidak akan pernah dapat digantikan oleh sesiapa yang datang kemudian. Namun begitu, Islam menggariskan seorang ibu tiri tetap diberikan penghormatan dan kedudukan sama seperti ibu kandung, dari sudut adab dan tanggungjawab sebagai ahli keluarga.
“Mereka sendiri yang memilih untuk memanggilnya bonda, satu gelaran yang lahir daripada keikhlasan dan kasih sayang yang sebenar,” ujarnya.
Menguruskan perkahwinan seorang tokoh besar negara bukanlah tugas yang mudah.
Namun bagi Syed Hamzah amanah yang diberi Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk mengatur ikatan suci bersama-sama Toh Puan Fauziah merupakan satu penghormatan besar dan pengalaman yang cukup bermakna.
“Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Toh Puan Fauziah dan anak-anak meletakkan sepenuh kepercayaan kepada saya untuk menguruskan hal perkahwinan mereka,” ujarnya.
Bermula dengan hanya sebulan sebagai tempoh persiapan, beliau tekad menyempurnakan setiap keperluan –– daripada menghantar dokumen pendaftaran perkahwinan sehinggalah merancang dan melaksanakan keseluruhan majlis perkahwinan. Semua berjalan dengan lancar, tanpa sebarang halangan besar.
Syed Hamzah turut memainkan peranan penting sebagai wakil rasmi pihak lelaki, berjumpa sendiri dengan keluarga Toh Puan Fauziah untuk menyampaikan hasrat suci dan ikhlas Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
PENUH KASIH SAYANG
“Keluarga Toh Puan Fauziah menerima ikatan ini dengan sepenuh hati. Mereka merestui hubungan ini. Tiada kegusaran pada wajah ahli keluarga pihak perempuan.
“Sebaliknya, terpancar keyakinan dan kelegaan, seolah-olah mereka tahu bahawa anak perempuan kesayangan mereka akan diserahkan kepada seseorang yang benar-benar menyayangi dan membahagiakannya.
“Itu antara momen paling menyentuh hati saya. Keyakinan mereka bukan hanya kepada Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai figura besar negara tetapi sebagai insan yang mereka percaya akan menjaga Toh Puan Fauziah dengan sepenuh jiwa,” kongsinya.
Bagi Syed Hamzah, ikatan antara Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar dengan Toh Puan Fauziah bukan sekadar perkahwinan biasa. Ia merupakan cerminan mendalam terhadap konsep Islam yang luhur –– Mawaddah Wa Rahmah –– cinta yang dipenuhi kasih sayang dan keberkatan Ilahi.
“Mawaddah adalah cinta yang disertai kelembutan manakala Rahmah ialah ikatan yang menarik rahmat Allah,” jelas beliau.
Baginya, cinta terbina antara pasangan ini bukan hanya dirasai oleh mereka berdua, malah turut terpancar kepada insan di sekeliling –– menyentuh hati keluarga, sahabat dan juga rakyat Sarawak.
Syed Hamzah turut memerhatikan bagaimana rakyat Sarawak secara semula jadi tertarik kepada kehangatan hubungan mereka, satu bentuk ikatan yang menumbuhkan kepercayaan terhadap cinta dan rasa hormat. Apabila berkongsi tentang hubungan istimewa itu, beliau menyifatkannya sebagai sebuah percintaan yang dibina oleh keharmonian dan kefahaman yang mendalam antara dua insan yang berbeza namun saling melengkapi.
“Walaupun personaliti mereka mungkin berbeza, perbezaan itulah yang menyempurnakan satu sama lain,” katanya.
Baginya, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar tokoh yang sarat dengan pengalaman dalam kerajaan dan kepimpinan sangat memerlukan kehadiran seseorang yang boleh menjadi tunjang di rumah. Seseorang yang tenang, penyayang dan penuh belas kasihan.
Toh Puan Fauziah hadir bukan sekadar sebagai pasangan hidup tetapi juga sebagai sumber kekuatan emosi. Kehadirannya memberi kesan yang menenangkan dan perlahan-lahan mengubah rutin harian Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Paling menyerlah dalam perhubungan itu, menurut Syed Hamzah, adalah kesabaran yang tidak berbelah bahagi serta keprihatinan Toh Puan Fauziah terhadap setiap butiran kecil dalam kehidupan suaminya.
“Toh Puan Fauziah tahu segalanya daripada kegemarannya, perkara yang tidak disukainya, cara mengendalikan emosinya, hobinya hinggalah kepada cerita yang sering diulang. Walaupun cerita itu diceritakan berkali-kali, kegembiraan tetap terpancar pada wajah beliau seolah-olah mendengarnya buat kali pertama,” katanya.
Baginya, itulah cinta dalam bentuk yang paling ikhlas, keupayaan untuk membuat pasangan tersenyum dan merasa dihargai. Sesuatu yang nampak mudah tetapi sukar dilakukan oleh ramai orang.
“Namun Toh Puan Fauziah berjaya melakukannya setiap hari. Itulah, bagi saya, perkara yang paling berharga dalam hubungan mereka,” katanya.
Kehadiran Toh Puan Fauziah bukan sekadar pasangan hidup kepada Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar kerana hadirnya yang menenangkan, yang memberi perubahan baharu dalam kehidupan seorang tokoh besar negara. Tanggapan itu bukan dibuat secara terburu-buru. Ia hadir daripada pengamatan mendalam.
“Bagi saya, Toh Puan Fauziah seseorang yang sangat berdisiplin, terutama dalam ketepatan masa. Beliau juga tegas dalam membuat keputusan,” katanya lagi. Daripada titik awal perkenalan, beliau dapat melihat keserasian wujud antara dua susuk ini kerana saling melengkapi.
“Saya dapat melihat personaliti mereka serasi. Sebaliknya, saya dapati Toh Puan Fauziah menyokong beliau dengan sangat baik dalam semua aspek,” katanya.
Baginya, semua itu bukan kebetulan. Toh Puan Fauziah datang daripada latar belakang kerjaya yang mendidik disiplin dan kemahiran tinggi dalam pengurusan emosi berdasarkan 22 tahun sebagai pramugari bukan satu tempoh yang singkat.
“Saya percaya ini sebahagian besar dibentuk pengalaman beliau dalam industri penerbangan sebagai pramugari –– satu kerjaya yang menanam disiplin tinggi dan profesionalisme dalam mengurus pelbagai tanggungjawab,” katanya.
Kini, selepas hampir tiga tahun terbukti keputusan Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk memilih Toh Puan Fauziah sebagai pasangan hidup adalah satu keputusan yang tepat dan sesuai.
“Persoalan besar yang lahir di dalam benak fikiran saya hampir tiga tahun lalu akhirnya terjawab juga dengan keindahan hidup yang mereka lalui hari ini. Beliau benarbenar menjadikan Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai penaung kehidupannya yang memimpin hidupnya. Ya, boleh dikatakan begitu,” jelas beliau.
Dari segi memberi sokongan emosi, mengurus keperluan harian hingga sekadar hadir dalam rutin kehidupan suaminya, Toh Puan Fauziah memainkan peranan itu dengan penuh dedikasi dan kasih yang tidak pernah goyah.
Beliau bukan sahaja seorang isteri tetapi juga sahabat, susuk yang membawa ketenangan kepada Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang sukar dijelaskan dengan kata-kata.
“Toh Puan Fauziah memiliki aura semula jadi, sesuatu yang tidak dapat digambarkan, hanya dapat dirasai. Beliau membawa dirinya dengan keyakinan yang tenang dan rendah hati. Keupayaannya untuk menyesuaikan diri sangat mengagumkan. Beliau membuat semua orang di sekelilingnya berasa selesa,” ujar beliau.
Dan, kehadiran yang menenangkan itu bukan hanya dirasai di dalam rumah tetapi turut menyentuh masyarakat sekeliling. Sambutan rakyat Sarawak terhadap Toh Puan Fauziah membuktikan bahawa kasih sayang yang tulus tidak perlu dipaksa, ia akan diterima dengan hati yang terbuka.
“Orang ramai berasa selesa di sekelilingnya. Beliau menyesuaikan diri dengan mudah, dan itu satu anugerah yang jarang ada.
“Saya percaya rakyat Sarawak telah menerima beliau bukan sahaja sebagai isteri Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, tetapi sebagai salah seorang daripada mereka,” katanya.